Halaman

Rabu, September 26, 2007

Yazer bosan menyanyikan lagu orang

petikan Utusan Malaysia 26 September 2007
Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Bukan mahu berlagak atau pun mendabik dada, namun itulah realiti yang dihadapi oleh jejaka kacak ini. Mengakui sudah jelik kerana sering kali menyanyikan lagu-lagu rakan artis yang lain kata Yazer, “Cukuplah saya menyanyikan lagu-lagu orang, saya tak mahu expose dengan cara begitu.

Yang dah lepas itu biarkanlah, kini saya sudah ada lagu sendiri untuk dinyanyikan ketika persembahan.

“Dua tahun penantian saya akhirnya berbaloi juga kerana album sulung saya akan menemui peminat selepas raya ini. Walaupun berdebar tetapi saya tetap yakin dengan apa yang saya lakukan. Biarpun penjualan album sekarang agak lembap yang penting lagu-lagu dalam album itu sedap didengar,” kata jejaka kelahiran, Tawau, Sabah ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Yazer, dia tidak akan mempersoalkan penantiannya selama dua tahun untuk Luncai Emas menerbitkan albumnya.

“Saya akui memang lama. Tapi nak buat macam mana sebab bukannya senang nak memuaskan hati M. Nasir. Dia sangat cerewet. Untuk merakamkan sesebuah lagu, saya terpaksa ambil masa sampai enam jam untuk dapatkan feel yang dia mahukan.

“Malah sebelum saya masuk studio pun, awal-awal lagi saya sudah dibasuh dahulu oleh M. Nasir, Loloq dan Roslan Aziz,” kata Yazer.

Album yang belum mempunyai judul itu menampilkan M. Nasir sebagai penerbit. Memuatkan 10 buah lagu antaranya Citra Kau Lupa Patri, Gina, Berlindung Dalam Angan dan Fahamilah Hatiku. Malah Yazer turut mencipta sebuah lagu berjudul Spektakular.

“Saya ada mencipta lima lagu, tapi yang sangkut hanya satu,” kata jejaka berusia 25 tahun ini mengenai albumnya yang berkonsepkan rock n roll.

Raya di Sabah

Bercerita tentang raya, kata Yazer, dia akan bercuti selama seminggu untuk menyambut raya bersama keluarganya di Sabah.

“Sebenarnya saya tak sabar nak beraya bersama keluarga kerana tahun lepas saya beraya di Kuala Lumpur. Kenangan beraya sendirian di Kuala Lumpur bukan sahaja sunyi tapi melucukan kerana saya ni jenis yang tak suka menonton televisyen atau mendengar radio.

“Sampaikan dah pagi raya pun saya tak tahu. Jadi pagi tu saya berpuasa. Tetapi saya berasa pelik apabila tengok luar rumah ada orang merokok. Lantas saya buka televisyen barulah saya tahu dah raya,” cerita Yazer yang telah pun membeli dua pasang baju Melayu untuk raya tahun ini.

Masih berkawan dengan Ekin

Satu persoalan yang sebolehnya ingin dielakkan oleh Yazer ialah tentang hubungannya dengan Ekin.

Tersenyum-senyum malu ketika diusik tentang hubungan mereka namun Yazer tidak menafikan mereka masih berkawan.

“Saya masih berkawan rapat dengan Ekin. Tapi belum merancang untuk berkahwin kerana saya belum bersedia. Saya mahu menjadi penyanyi yang berjaya. Malah kalau boleh saya mahu menjadi seperti M. Nasir,” katanya mengakhiri perbualan petang tersebut.

2 ulasan:

  1. Emang gak enak nyanyikan lagu orang lain. Lebih baik nyaikan lagu sendiri yang jelek daripada nyanyikan lagu orang lain. Karena kalau nyanyikan lagu sendiri mempunyai kepuasan tersendiri.

    BalasPadam
  2. memang bosan dalam melagukan orang lain tapi jika lagu sendiri baik untuk di dengar :D

    BalasPadam