petikan Berita Harian 18 September 2007
Oleh Zainuri Misfar
Tindakan stesen radio swasta utama lagu Indonesia dibantah, lantik peguam siapkan memorandum
PERSATUAN Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) sudah melantik peguam untuk menyiapkan memorandum bantahan mengenai tindakan stesen radio swasta yang lebih mengutamakan penyanyi luar, terutama Indonesia sehingga karyawan muzik tempatan tidak dipedulikan.
Apabila memorandum itu siap, Papita akan menyerahkannya kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan ahli Parlimen supaya isu penyiaran lagu dari Indonesia yang mendapat keutamaan oleh stesen radio swasta diberikan perhatian dengan sewajarnya.
Presidennya, M Daud Wahid berkata, draf memorandum itu dibuat dengan serta merta susulan rungutan komposer dan penyanyi disegani ramai, M Nasir mengenai lambakan penyanyi luar, terutama dari Indonesia selain sikap stesen radio swasta, ketika mesyuarat agung persatuan kira-kira dua bulan lalu.
"Susulan aduan M Nasir itu, kita sudah arahkan peguam menyiapkan memorandum untuk dikemukakan kepada pihak atasan, terutama kepada kementerian berkaitan.
"Antara kandungan memorandum itu ialah untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara radio swasta memainkan lagu orang luar. Apakah mereka tidak peka dengan kesan ini?" katanya kepada Hip.
Daud berkata, buat masa ini, Papita tidak akan membuat sebarang rundingan atau perbincangan dengan mana-mana persatuan muzik dari Indonesia kerana ia tidak memberikan sebarang kesan.
Tegasnya lagi, istilah Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan budaya serumpun hanyalah retorik saja kerana ia hanya satu konsep yang menarik di atas kertas tetapi secara praktikalnya, negara ini yang lebih banyak mengalah dengan karyawan seni dari negara seberang.
"Sebelum ini Papita sudah buat memorandum persefahaman (MOU) dengan badan atau persatuan Indonesia supaya mereka juga memberikan sokongan kepada mana-mana penyanyi kita yang hendak mencari peluang di sana. Tapi mereka tidak berbuat apa-apa.
"Jadi, Papita sekarang akan banyak bertindak dari sini saja. Kita juga akan mendesak kepada mana-mana pihak seperti kerajaan, agensinya dan stesen radio dan TV supaya berpada-pada dengan kemasukan penyanyi dari Indonesia.
"Sudah tiba masanya kita berbuat sesuatu dengan lebih agresif lagi. Menyediakan memorandum untuk diberikan kepada kerajaan adalah antara langkah yang kita sedang lakukan," katanya.
Daud berkata, memorandum yang dibuat oleh Papita itu juga turut meminta kementerian dan agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar memberi perhatian kepada stesen radio yang kerap menyiarkan penyanyi luar kerana ia mengakibatkan pengaliran wang ke luar negara dalam bentuk royalti.
"Setiap tahun sejumlah royalti daripada penyiaran lagu atau muzik dibayar oleh kerajaan. Royalti itu sepatutnya diberikan kepada karyawan tempatan tetapi terpaksa digunakan untuk membayar penyiaran lagu luar oleh stesen radio kita," jelasnya lagi.
Ditanya mengenai tindakan vokalis kumpulan Search, Amy yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap stesen radio swasta, Daud berkata, sesiapa pun berhak untuk berbuat demikian selepas mendapati pihak berkaitan seolah-olah menekan kepentingan penyanyi dan pemuzik tempatan.
Katanya, Papita turut mendesak supaya Senator Tan Sri Jins Shamsudin turut membentangkan isu ini di Dewan Rakyat kerana beliau dilihat di kalangan orang seni sebagai mewakili kepentingan dan masalah karyawan seni tanah air.
Beliau akur dengan kelemahan persatuan, tetapi pada masa yang sama berharap penyanyi dan pemuzik juga dapat berbuat sesuatu bagi membolehkan persatuan boleh bertindak dengan berkesan.
Katanya, penyanyi seperti Amy boleh menulis surat aduan menyatakan rasa tidak puas hati atau bantahan supaya Ahli Jawatankuasa Papita boleh melakukan tindakan.
“Dalam masa sama, saya mintalah agar Jins dapat bawa perkara ini ke Dewan Rakyat. Masalah ini kena diberikan perhatian juga. Janganlah fikirkan masalah dalam industri perfileman saja.
"Beliau juga harus memberi perhatian terhadap kesan kemasukan penyanyi luar, penyiaran lagu Indonesia yang begitu kerap di stesen radio swasta, kemasukan drama, muzik dan album.
"Kemasukan mereka yang tidak terkawal bukan saja menyekat peluang bakat tempatan tetapi juga kerugian kepada negara kerana ia membabitkan pengaliran wang rakyat ke luar negara," katanya.
masalahnya lagu2 indon tu kebanyakannya tak sedap pun !
BalasPadamHahahah!
BalasPadamDalam paper smlm Fauzi Marzuki kata lagu tak sedap, kalau dimainkan hari-hari sedap juga....
hanya orang yang lemah dan bodoh yang takut bersaing. Persaingan meningkatkan kualitas. Kalau kalian takut bersaing siap-siaplah untuk semakin menurun kualitasnya.
BalasPadamPersoalan pokok bukan pasal kualiti tapi "periuk nasi". Mana lebih penting, tembolok yg kenyang atau nasi yang sedap?
BalasPadamSebenarnya yang paling tepat jawabannya, muzik kita dah lama korup . tu je jawaban paling tepat.
BalasPadam