Halaman

Isnin, September 03, 2007

Faizal berikrar mahu baiki kekurangan diri

petikan Berita Harian 3 September 2007
Oleh Baharom Bakar

Album sulung juara Akademi Fantasia musim keempat ini sudah berada di pasaran

PENANTIAN memang sesuatu yang sungguh menyeksakan. Apatah lagi menanti sesuatu yang begitu diharapkan. Begitulah yang bersarang di hati dan minda anak muda ini yang dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim keempat tahun lalu. Malah, gusar hatinya semakin menjadi-jadi apabila muncul pula juara baru, si kecil molek Mila dan juara sebelumnya, Mawi pula semakin melangkah jauh meninggalkannya.

Tetapi minggu lalu, Faizal Ramli atau lebih dikenali sebagai Faizal AF4 tidak lagi gusar dan berkecil hati apabila ada yang menggelarnya juara tanpa album, apabila akhirnya pihak pengurusannya Maestro Talent & Management meluncurkan album sulungnya, Lihat Lah.

"Walaupun album lewat dikeluarkan, tetapi saya berpuas hati kerana album sulung ini cukup berkualiti. Lambat tak apa kerana apa yang lebih penting ia berkualiti,” katanya dalam loghat Terengganu yang pekat.

Faizal berkata, walaupun sudah mempunyai album sendiri, tetapi dia mengakui banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki, termasuk cara berkomunikasi dan tarian.

"Sejak menjuarai AF4, saya mengakui kurang mendapat publisiti, tetapi saya tidak menyalahkan media, saya malu kerana pertuturan saya masih menggunakan dialek Terengganu pekat," katanya.

Lebih bermakna dan sungguh indah detik itu apabila ia dilaksanakan di tempat tumpah darahnya sendiri di Terengganu Darul Iman disaksikan peminatnya yang datang meraikan saat bersejarah dalam perjalanan kerjaya seninya. Jika sebelum ini kebanyakan album baru dilancarkan di beberapa hotel terkemuka tetapi Maestro melakukan kelainan apabila memilih sebuah pasar raya saja.

Dan dalam kesederhanaan tetapi cukup meriah itu dengan kehadiran lebih 5,000 peminatnya termasuk ahli Kelab Peminat Faizal, ia lebih bermakna dan manis apabila album anak kelahiran Marang itu dilancarkan Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Perpindahan lokasi pelancaran yang dibuat sejam sebelum majlis dimulakan tidak menghalang peminat setia Faizal dan pengunjung pasar raya memenuhi setiap ruang sehingga kerusi disediakan untuk media dan tetamu dicerobohi.

Pada majlis itu, Faizal menyampaikan lima lagu daripada album sulungnya iaitu lagu Sakit Orang Lelaki (Watimang Landak), Lihat Lah, Blues Senyum Sokmo, Ku Milikmu dan Tatasusila Cinta.

Hadir sama menyaksikan majlis pelancaran album Lihat Lah itu ialah Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail.

Freddie dalam ucapan aluan pada majlis itu berkata, kelewatan album Faizal AF4 disebabkan proses pemilihan lagu dan pihaknya menyusun semula muzik serta penerbit M Nasir terlalu sibuk dengan tugas lain.

Katanya, walaupun lebih setahun Faizal menjuarai AF4, tetapi album diterbitkan M Nasir cukup berkualiti selain memperlihatkan keupayaan sebenar dia sebagai seorang penyanyi berbakat.

"Walaupun sedar situasi industri pasaran album sedikit merosot, tetapi kita yakin cetakan pertama album Faizal berjumlah 30,000 akan terjual dalam tempoh sebulan," katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album sulung Faizal AF4 ialah Datang Lah, Sakit Orang Lelaki, Ku Milik Mu, Suka Tak Suka, Senja Berulang Senja, Tatasusila Cinta, Malam Kekasih, Dalam Diri Ku, Blues Senyum Sokmo dan Lihat Lah.

2 ulasan: