Halaman

Ahad, September 09, 2007

Anugerah Era 2007:Mawi bolot tiga anugerah

petikan mstar.com.my 9 September 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

GENTING HIGHLANDS: Seperti yang dijangka, juara Akademi Fantasia 3 Mawi atau Asmawi Ani mengungguli malam Anugerah Era ke 7 (AE) pada tahun ini dengan membolot tiga anugerah sekaligus mengekalkan gelarannya sebagai Raja SMS.

Mawi berjaya membawa pulang anugerah bagi kategori Lagu Nasyid Pilihan (Al-Jannah), Vokal Duo atau Berkumpulan Pilihan bersama Jamal Abdillah dan Video Muzik Pilihan (Langit Biru).

Tidak kurang hebatnya dengan Juara Wanita Pertama program realiti AF5, Nur Sharmila Jirin atau Mila yang mengondol dua anugerah iaitu kategori Artis Harapan Pilihan dan Lagu Pop Pilihan (Persis Mutiara).

Kemenangan anak kelahiran Pulau Pinang ini dalam kategori Artis Harapan Pilihan yang turut mencalonkan empat jejaka, Diddy AF4, Ebi AF5, Faizal One In A Million (OIAM) dan Fiq Mentor 2 berjaya mengiyakan kata-kata Mila "Wanita pun boleh" semasa Konsert Pra Anugerah Era pada Ogos lalu menjadi kenyataan.

M. Nasir yang memenangi kategori Vokal Lelaki Pilihan telah mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu Faizal AF4, Yazer, Diddy dan Akhil Hayy.

Manakala dalam kategori Vokal Wanita Pilihan pula dimenangi oleh penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Siti Nurhaliza yang anggun memakai gaun hijau.

AE 2007 yang bermula pada jam 9 itu turut menyediakan lima kategori lain iaitu Band Pilihan (Spider), Lagu Global Pilihan (Nafas Cahaya-Misha Omar), Artis Inggeris Tempatan Pilihan (Point Blanc dan Jaclyn Victor-Ipoh Mali), Lagu Rock Pilihan (Mahakarya Cinta-Faizal OIAM), Pilihan Kaki Wayang (Jangan Pandang Belakang-Metrowealth Movies Production).

Manakala tiga anugerah khas termasuk Anugerah Nada Dering Pilihan Hotlink (kategori baru) dimana pemilihan dibuat berdasarkan lagu yang paling banyak dimuat turun sebagai nada dering daripada Hotlink dari 1 Ogos hingga 17 Ogos lalu.

Lagu Farhana (Puteri Burung Kenyalang) yang dinyanyikan oleh Jinbara berjaya memenangi anugerah tersebut manakala Anugerah Seni Era dimiliki oleh Alleycats.

Anugerah Carta Era yang diadili dari segi lagu yang paling lama menduduki tangga pertama carta Era dari 1 Jun 2006 hingga 31 Mei 2007 diraih oleh lagu popular daripada Samsons, Kenangan Terindah.

Pemenang setiap kategori mendapat trofi dan RM5,000, kecuali Anugerah Seni Era yang menawarkan sebuah trofi.

AE 2007 yang bertemakan 'Trend dan Tradisi' ini berlangsung di Arena of Stars dengan 16 buah persembahan gilang-gemilang daripada artis tempatan serta artis Indonesia,Keris Patih yang popular dengan lagu 'Tapi Bukan Aku'.

Antara artis yang membuat persembahan adalah Jinbara, Adam AF2, Chakrasonic, Mila, Farah AF2, Vince AF1, Misha Omar, Ella dan Andy Flop Poppy.

Persembahan yang mendapat paling memukau penonton adalah lagu 'berhantu' Lelaki Ini yang disampaikan oleh Anuar Zain.

Tidak kurang hebatnya dengan persembahan daripada Kristal dan Kazar (penyanyi asal lagu Memburu Impian) dengan gimik pelakon filem Gila-gila Remaja Faizal Hussien yang menunggang sebuah motosikal

Urban Method dan Ogy Ahmad Daud yang pertama kali melakukan persembahan bersama menerusi lagu Wajah Rahsia Hati turut mendapat tepukan gemuruh apabila Ogy beraksi dipentas.

Persembahan yang diiringi oleh orkestra di bawah pimpinan komposer dan pengarah muzik Ramli MS itu cuba mencipta kelainan dengan menyediakan 'karpet hijau' berbanding 'karpet merah' yang digunakan sebelum ini.

Majlis yang mendapat tajaan Hotlink itu turut mengumumkan pemenang Sofa Hotlink (Mashita Sham) dan Saat Era Hotlink (Nur Aniqah Abdul Qahhar)

Pemenang yang kedua-duanya berusia 22 tahun itu akan ditemubual bersama penyampai radio Era AC Mizal, Hani dan Kieran dalam rancangan terbaru di Pagi Anda pada 10 September ini.

Mashita memenangi tempat duduk istimewa paling hampir dengan pentas utama dan ditemani oleh kakaknya, Rohana, 26 serta disediakan sebuah kereta beserta pemandu khas untuk perjalanan dua hala dari kediaman ke sini,diberi penginapan dua malam percuma, dibawa membeli-belah untuk membelanjakan sejumlah RM2,000 dan diberi penampilan khas di karpet hijau.

Manakala Aniqah berjaya melakar sejarah membuat persembahan bersama Ella melalui lagu Rama-rama pada malam ini.

Antara penyampai anugerah yang turut disaksikan oleh jutaan penonton disaluran Astro Ria dan @15 adalah Datuk Siti Nurhaliza, Fatimah Abu Bakar,Dato' Rahim Razali, Dynaz, Afdlin Shauki, Dafi AF5 dan penyampai radio Era. Mereka ialah Kieran, Linda Onn, Nana AF1, Rostam dan lain-lain lagi.

Majlis yang berakhir pada jam 12 tengah malam itu juga didengari melalui radio Era.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan