Halaman

Khamis, Julai 26, 2007

Sarah bawa watak Saliha

petikan Berita Harian 26 Julai 2007
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

M Nasir beri peluang pelakon baru bergandingan dengan Mawi dalam Aduh Saliha

BUKAN lagi imaginasi sebaliknya Saliha akan menjelma menjadi realiti. Sejak Jun 2006, pencarian pelakon yang bersesuaian untuk memegang watak ‘popular’ itu hangat diperkatakan media dan hanya selepas setahun Saliha akhirnya muncul menjadi kenyataan.

Bakat baru, Sarah Kamaruddin ialah wanita bertuah yang akan bergandingan dengan artis lelaki paling popular, Asmawi Ani atau Mawi dalam filem yang bakal menampilkan M Nasir sebagai pengarah.

Ketika M Nasir masih bermain tali enggan mendedahkan identiti gadis bertuah yang akan memegang watak itu, penerbit eksekutifnya, Jamal Maarif dari The CameraCrew Productions Sdn Bhd pula mengesahkan peranan itu menjadi milik Sarah.

Gadis berusia awal 20-an itu difahamkan menandatangani kontrak membintangi filem itu sejak dua minggu lalu. Penggambaran Aduh Saliha pula dijadualkan bermula awal bulan depan di Sabah.

“Berikan kami sedikit masa untuk membimbing Sarah sebelum memperkenalkannya kepada umum,” kata Jamal yang ketika dihubungi berada di Kota Kinabalu untuk membuat persiapan akhir sebelum krew Aduh Saliha diterbangkan ke sana.

Katanya, Sarah bersama Mawi akan diberi pendedahan awal dengan mengikuti sesi latihan berlakon dengan M Nasir untuk memastikan mereka berdua bersedia sebelum melangkah ke set penggambaran.

Sebagai pelakon baru, katanya, mereka mahu mempersiapkan Sarah supaya bersedia sepenuhnya selain ingin melihat pelakon itu memberikan hasil persembahan terbaik dalam filem yang menjadi perhatian ramai sejak Mawi menyatakan kesediaannya untuk berlakon.

“Semua itu mengambil masa dan ia antara sebab mengapa kami memilih untuk tidak terlalu menggembar-gemburkan berita apabila pemegang watak Saliha ditemui. Kami khuatir jika diberi terlalu banyak publisiti dan nanti hasilnya tidak memuaskan, ia akan memberi kesan kepada kami.

“Justeru, berikan kami ruang untuk mempersiapkan Sarah berdepan dengan tanggungjawab berat itu dan Insya-Allah, dalam masa terdekat dia akan diperkenalkan kepada media,” katanya lagi.

Pencarian watak Saliha menjadi perbualan apabila sesi pengenalan senarai pelakon utamanya dibuat tanpa kehadiran pemegang peranan itu, akhir Mac lalu. Gimik demi gimik dibangkitkan, namun watak Saliha terus dihantui bayangan hingga ada menyifatkan peranan itu hanya hadir dalam imaginasi pengarahnya.

Ketelitian M Nasir dalam mencari pemain yang sesuai memegang watak itu membuatkan mereka terpaksa menguji bakat lebih 400 bakat baru.

Selain bakat baru, Yasmin Isa, nama popular seperti Fasha Sandha, Sharifah Amani, Haryati Hamzah atau Yatt juga pernah disebut-sebut bakal memegang peranan itu.

“Sarah memenuhi apa yang kami cari untuk memegang watak itu,” katanya lagi.

Aduh Saliha yang menelan belanja RM1.5 juta bakal menjalani penggambaran di Keningau dan Kundasang, Sabah selain di beberapa lokasi menarik sekitar ibu kota.

Sementara itu, Mawi berkata, dia akan meneruskan perjanjian yang sudah diikat namun menyerahkan kepada syarikat pengurusannya, Maestro Talent & Management kerana mereka memegang jadualnya.

“Saya perlu menyesuaikan antara jadual persembahan dengan jadual penggambaran kerana saya agak sibuk hingga September ini. Mungkin ia akan menimbulkan sedikit masalah namun saya percaya kedua-dua pihak mampu mengatasinya hasil perbincangan bersama,” katanya.

Juara Akademi Fantasia musim ketiga itu sebelum ini berkata, M Nasir tidak pernah membelakangkan pandangannya setiap kali sifu industri muzik itu meminta pelakon menghadiri uji bakat.

Baginya, tindakan M Nasir itu wajar memandangkan dia perlu mencari keserasian dengan gandingannya sebelum mereka berdua beraksi di layar perak.

“Jika tidak ada keselesaan antara kami berdua, bagaimana kami hendak meneruskan lakonan?

Justeru, setiap pelakon yang datang uji bakat, akan ditunjukkan rakamannya kepada saya. Siapa pilihannya saya akan cuba memberi kerjasama yang sebaiknya,” kata Mawi.

Aduh Saliha juga bakal dibintangi Erra Fazira, Nasir Bilal Khan, Noniswara, Mawi, Ebby Yus, Que Haidar, Zulhuzaimy, Felix dan Yasmin Isa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan