Halaman

Sabtu, April 07, 2007

M Nasir teruskan misi cari Saliha

petikan Berita Harian 7 April 2007
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

ENTAH apa kriteria yang diinginkan M Nasir sehinggakan di saat ini Saliha yang dicari masih belum ditemui. Kenapa terlalu sukar dan cerewet M Nasir memilih?

Sudah beratus-ratus gadis cantik datang mencuba nasib, namun tidak seorang pun berjaya menawan hati pengarah filem Aduh Saliha itu.

Apabila diajukan soalan bilakah agaknya Saliha akan ditemui, penyanyi itu lantas tersenyum, seakan-akan tahu dirinya diburu dengan pertanyaan itu walaupun asalnya pertemuan kami bukan berkisar mengenai filem berkenaan.

Percayalah, sesiapa saja yang bertemu dengan M Nasir kala ini pasti akan mengajukan soalan sedemikian kepadanya. Mana tidaknya, sidang media yang sepatutnya mengumumkan pemegang watak Saliha menjadi sebaliknya apabila pihaknya mengumumkan Saliha masih belum ditemui.

“Banyak yang sesuai dengan Mawi tetapi kriteria yang saya cari tidak ada. Antaranya tidak ada tarikan di atas skrin. Ini filem, gambarnya besar setiap pergerakan orang akan cepat nampak.

“Televisyen berbeza kerana gambarnya kecil, kecacatan senang untuk disembunyikan berbanding wayang yang layarnya besar. Kita akan cuba dapatkan calon yang terbaik untuk memegang watak ini.

“Kita juga tidak mahu pelakon yang sudah biasa terdedah kepada media dan orang ramai dan sebenarnya banyak lagi perkara,” kata pengarah itu.

Kata M Nasir, Saliha akan ditemui selewat-lewatnya bulan ini sebelum memulakan penggambaran bulan depan. Malah sehingga ke hari ini masih ada gadis yang datang mencuba nasib. Setakat ini katanya lebih 400 orang hadir ke sesi uji bakat.

Selain wajah yang tidak terdedah kepada umum, M Nasir juga mencari gadis muda yang tidak dimamah usia apabila filem itu ditayangkan kelak.

Bagaimanapun, lupakan kisah Aduh Saliha. Biarkan saja M Nasir terus dengan pencariannya itu. Apabila jumpa saja Saliha kelak, akan menyusul pengumuman mengenainya. Sekarang ini kita tumpukan pula pada Anugerah Industri Muzik (AIM14) yang tidak kurang juga kontroversinya mengaitkan nama penyanyi itu.

Kontroversi timbul kerana tiga lagu milik penyanyi, komposer dan pengarah itu iaitu Juwita... Citra Terindah, Sang Pencinta dan Tujuh Nafas Lagi tercalon dalam kategori Lagu Terbaik.

M Nasir sendiri tidak menyangka tiga lagunya tercalon dalam kategori itu. Satu katanya adalah normal tetapi apabila tiga sekali gus dipilih dia sendiri akui terperanjat. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai kuasa kerana keputusan itu terletak di tangan juri.

“Kita hantar lagu saja dan juri yang memilih. Mungkin orang pertikaikan kerana mereka rasa ada lagu lain yang lebih baik. Bagi orang yang pertikaian itu, saya tidak boleh buat apa kerana ia pilihan juri.

“Sebenarnya ada kebaikan juga apabila timbul pertikaian ini. Kadang kala ada yang penganjur terlepas pandang dan dari situ mereka boleh menyedari apa yang kurang,” katanya.

M Nasir yang sudah berpuluh tahun mengabdikan diri sebagai penggiat seni sempat meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan industri muzik sekarang. Namun berkat kekuatan yang ditanamkan dalam dirinya ia menjadi satu motivasi untuk terus menghasilkan karya terbaik.

“Berapa banyak orang sekarang yang beli album? Kebanyakan orang sekarang ini hanya mendengar radio ataupun muat turun ke telefon bimbit dari internet.

“Dasar buka pintu yang kita amalkan sebenarnya boleh menjejaskan album tempatan. Indonesia banyak menghasilkan lagu dan seterusnya menguasai pasaran kita. Sementara kita pula menjalankan dasar fahaman yang terbuka, pasaran kita kecil tapi kita buka pada semua orang.

“Kita ada masalah cetak rompak yang masih belum selesai hingga kini dan kini masalah baru pula yang timbul,” katanya.

Selain lagu terbaik, M Nasir turut tercalon dalam dua lagi kategori iaitu Rakaman Album Terbaik untuk album Sang Pencinta dan kategori Album Pop Rock Terbaik. AIM14 akan berlangsung pada 28 April ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Majlis berkenaan juga akan disiarkan secara langsung di ntv7 dan juga boleh didengar menerusi saluran Hot FM selaku stesen radio rasmi.

2 ulasan:

  1. Nyata sekali kemenangan Terlalu Istimewa dalam Juara Lagu tidak telus. Komem M Nasir dulu ketika lagu tersebut dinobatkan sebagai juara ialah 'idea meramaikan juri adalah idea saya tetapi perlantikan salah seorang juri dari TV3 bukan idea saya'. Azhar Borhan adalah juri dari TV3 dan beliau bukannya dari kalangan orang seni.

    BalasPadam
  2. Telus atau tidak yg penting AJL yang lalu dah pun berlalu. Persoalannya sekarang teluskah calon Saliha kita nanti?

    Oh Saliha.....
    di mana kau?

    BalasPadam