Halaman

Sabtu, April 14, 2007

M Nasir menang awal

petikan Harian Metro 14 April 2007
Oleh Rudy Imran Shamsudin

Terima anugerah Penerbit Tempatan Terunggul pada sidang media 10 April lepas

ANUGERAH Badan Perlindungan Hak Cipta Penulis Lirik (MACP) yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini, bakal menghargai dan mengiktiraf karyawan muzik yang berjaya mengutip royalti tertinggi dalam tempoh setahun karya mereka diperdengarkan.

Tahun ini lebih istimewa apabila majlis yang ke-11 itu disiarkan secara langsung menerusi TV2, jam 9 malam. Selain anugerah tradisi yang diserahkan setiap tahun, lima kategori anugerah baru diperkenalkan untuk lagu mewakili setiap era 60-an, 70-an, 80-an, 90-an dan terkini.

Bagi memilih pemenang kategori ini, orang ramai digalakkan menyertainya menerusi undian sistem pesanan ringkas (SMS) bagi memilih lagu popular mewakili era yang ditetapkan. Undian sudah mula dibuka kepada umum bermula 5 Mac lalu.

Selain itu tiga anugerah lain, Komposer Muda Berpotensi, Pengiktirafan Khas Penyiaran dan Nadi Cipta akan diumumkan di mana pemilihan ditentukan Lembaga Pengarah MACP berdasarkan sumbangan dan pencapaian mereka kepada industri muzik.

Dua lagi anugerah, Penerbit Tempatan Terunggul yang dimenangi Luncai Emas Sdn Bhd dan Penerbit Terunggul (EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd) disampaikan lebih awal ketika sidang media pada 10 April lalu.

Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata, penyerahan awal itu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kesuntukan masa.

“Sewaktu acara berlangsung kita hanya ada dua jam dan tahun ini ada penambahan lima anugerah. Sekiranya MACP tidak menyerahkan anugerah ini sekarang, takut makan masa dan sekali gus mengganggu kelancaran produksi,” katanya.

Sebelum ini, setiap tahun M Nasir dan syarikat produksinya, Luncai Emas menguasai majlis penganugerahan MACP. Apabila Luncai Emas sekali lagi diumumkan Penerbit Tempatan Terunggul, pastinya penggiat industri muzik sudah boleh membaca penerbit album Mawi itu sekali lagi akan memenangi beberapa anugerah yang menyenaraikan namanya.

Habsah bagaimanapun menolak andaian sedemikian dengan menjelaskan perkiraan untuk memilih mereka yang memenangi anugerah utama terutama Komposer Terunggul diambil kira menerusi royalti lagu yang paling banyak diperdengarkan menerusi stesen radio, persembahan terbuka mahupun jualan album dalam tempoh setahun.

“Pemilihan Luncai Emas untuk memenangi kategori itu mungkin kerana tuah kumpulan Spider yang seperti kita tahu album mereka menampilkan lagu Rela Ku Pujuk cukup popular sebelum ini. Ia tidak bergantung kepada M Nasir semata-mata,” katanya.

Tahun ini persembahan bakal diketengahkan di majlis Anugerah MACP berbeza dan tugas memastikan ia berjalan sempurna diserahkan kepada pengarah pentas, Jalil Ngah; penerbit eksekutif, Johari Teh dan penerbit produksi, Yusni Mohd Ali.

Acara dikendalikan pelawak Bob Lokman dan pembaca berita RTM, Suriani Abdul Rahman. Antara artis yang dibariskan mengadakan persembahan malam ini seperti M Nasir, David Arumugam (Alleycats), Saleem, Nora, VE, Khatijah Ibrahim, Jeffridin, A.Halim, Zahid, Faizal OIAM dan Nita MI.

Sementara itu beberapa komposer dan penulis lirik akan digandingkan bersama artis popular untuk menyampaikan anugerah seperti Erra Fazira, Spider, Ziana Zain, Nurul, Fauziah Latiff, Ramlah Ram, Datuk Ahmad Jais dan Edry KRU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan