Halaman

Jumaat, Mac 23, 2007

Nasir akui cerewet cari ‘jodoh’ buat Mawi

petikan Berita Harian 23 Mac 2007
Oleh Zainuri Misfar

40 uji bakat babitkan 400 muka baru dilakukan sejak 2006 tetapi sifu belum temui Saliha

SUNGGUH bijak M Nasir bermain teka-teki dan mencipta gimik dengan wartawan apabila memberitahu orang yang memegang watak Saliha untuk filem arahan terbarunya Aduh Saliha belum ditemui walaupun pencariannya sudah dibuat sejak Jun 2006.

“Sebab saya cerewet,” itulah jawapannya apabila ditanya kenapa terlalu susah hendak mencari orang yang boleh memegang watak Saliha.

Persoalannya, kalau Saliha belum ditemui mengapa pelancaran filem ini diteruskan? Apatah lagi ia dilancarkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan turut dihadiri Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman.

Kebiasaannya, apabila sesebuah filem dilancarkan oleh menteri, bermakna pengarah dan produser sudah membuat persiapan yang sempurna termasuklah sudah ada senarai pelakonnya. Sudah tentu, bukan saja wartawan, Dr Rais juga pastinya ingin tahu siapakah pelakon yang dipilih memegang watak Saliha.

Senarai pelakon filem Aduh Saliha terbitan The Cameracrew Productions Sdn Bhd, yang diumumkan pengacara di majlis ini, iaitu Suhaimi Sulaiman ialah Erra Fazira, Nasir Bilal Khan, Noniswara, Mawi, Ebby Yus, Que Haidar, Zulhuzaimy dan Felix serta bakat baru, Yasmin Isa.

Yasmin, yang pernah berlakon beberapa drama selain muncul sebagai pelakon komersial, dikatakan memang calon sebenar untuk memegang watak Saliha, tetapi M Nasir dikatakan membuat perubahan pada saat akhir dengan memberikan Yasmin watak sampingan iaitu sebagai isteri kepada Nasir Bilan Khan.

Dalam pada itu, Nasir dalam ucapannya dengan selamba mengatakan teka-teki siapa Saliha memberi publisiti awal yang sangat baik kepada filem yang hendak diarahkannya itu.

Dalam sidang media sempena pelancaran filem Aduh Saliha di Kelab Shah Alam, Selangor, M Nasir tidak dapat memberi jawapan jelas dan kukuh kepada wartawan mengenai kegagalannya mencari pelakon sesuai bagi watak Saliha.

Bahkan beliau sendiri seperti terawang-awang apabila ditanya mengenai ciri-ciri pelakon yang diimpikannya. “Rupa dia (mereka yang bakal watak Saliha)? Dia perlu menawan, tetapi tidak perlu terlalu menawan sehingga Mawi tidak boleh berlakon.

“Dia juga mestilah kena dengan Mawi dan dengan keseluruhan bentuk filem ini,” katanya.

Nasir optimis Saliha yang dicarinya akan ditemui sebelum tarikh akhir yang ditetapkan produsernya iaitu pada 21 April depan.

Jika mengikut perkiraan masa, ramai yang berasakan caranya itu hanya membazirkan masa. Pada hal, sebagai pengarah, beliau boleh membentuk dan melatih pelakon baru sehingga mencapai ‘kepuasan’ yang kehendakinya.

“Penggambaran akan bermula sebulan lagi. Jadi masih ada masa lagi untuk Saliha muncul,” jelasnya yang seolah-olah seperti ‘syok sendiri’ dalam mencari Saliha.

Katanya, beliau turut menggunakan nama besar seperti Erra Fazira kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada populariti Mawi saja.

“Saya bukan setakat hendak jual Mawi (tapi) jual filem ini juga. Saya memang benar perlu watak itu, dan mereka semua memang sesuai dengan Nasir Bilan Khan, Erra Fazira.

“Memang ada orang akan tanya kenapa pelakon hebat ini perlu ada dalam filem Mawi, tapi saya rasa perlu. Tapi saya rasa saya akan buat filem yang baik,” katanya.

Tambah Nasir, beliau tidak ada kompromi langsung dalam mencari Saliha kerana nama gadis itu menjadi penggerak utama filem ini.

“Dia ada protogonis, ada antogonis dan katalis dalam filem ini. Jadi, dia yang menggerakkan, kerana nama judulnya pun Saliha. Adalah orang cakap, kenapalah susah sangat. Mawi sudah ada lepas itu panggillah saja sesiapa berlakon pun, tapi saya tidak rasa begitu,” jelasnya lagi.

“Kalau boleh nak cekik M Nasir”

SEMENTARA itu, penulis lirik filem Aduh Saliha, Loloq yang turut berada di majlis sidang media ini, mengakui betapa sikap M Nasir yang terlalu cerewet memang sangat membosankan.

“Kalau boleh nak ‘cekik’ M Nasir,” katanya secara berseloroh, tetapi boleh ditafsirkan betapa beliau juga muak dengan cara M Nasir itu.

“Filem ini dari segi visual memanglah pengarah yang ada hak. Jadi, selagi pengarah tidak jumpa pelakon yang memenuhi kehendaknya, kita tidak boleh apa-apa.

“Kita boleh bayangkan apa saja, tapi yang hendak arahkan pelakon dalam filem ini ialah dia (M Nasir). Saya pun tidak tahu apa yang dia hendak cari.

“Pelbagai orang datang untuk diuji bakat. Daripada yang tinggi, rendah yang lawa-lawa. Tapi, M Nasir tidak mencari yang lawa, cuma yang rupawan, yang ada magik,” kata Loloq yang juga penulis seni kata lagu Aduh Saliha nyanyian Mawi.

Beliau turut mendedahkan, bukan saja dirinya tetapi produser filem ini juga bosan kerana mereka sudah membuat 40 uji bakat membabitkan 400 bakat baru hanya semata-mata untuk mencari orang yang sesuai memegang watak Saliha.

“Dia masih hendak cuba lagi mencari yang lain. Lawa memang banyak, tetapi M Nasir cerewet. Saya dengan penerbit kadang-kadang bosan kerana kami sudah buat lebih 40 kali uji bakat.

“Ada kira-kira 400 orang yang jalani uji bakat untuk watak Saliha. Tapi tidak boleh buat apa-apa. Apapun yang terjadi, keputusan akhir adalah pada M Nasir,” kata Loloq.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Aduh Saliha, Jamal Maarif memberi reaksi agak diplomatik dalam menjelaskan sikap cerewet M Nasir yang sangat cerewet itu.

“Perkara ini bukan gimik. Kita sudah mula untuk uji bakat mencari orang yang boleh memegang watak Saliha sejak Oktober tahun lalu.

“Kita kalau boleh hendak cari wajah baru, yang lebih segar. M Nasir juga mahu membentuk bakat baru. Kita hendak cipta bintang baru.

“Kita akan buat filem ini dalam masa setahun, mungkin tahun 2009 hendak tayang,” katanya.

Filem Aduh Salih yang membabitkan penerbitan sebanyak RM1.6 juta akan memulakan penggambaran pada 28 April depan dengan lokasinya di Kota Kinabalu, Kundasang dan Keningau, Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan