petikan Harian Metro 1 Mac 2007
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
SELAKU penganjur majlis, Azwan Ali harus berhati-hati pada masa akan datang agar peristiwa tidak diingini seperti yang berlaku di majlis Mesra Sokmo Cit Cat Azwan (MSCCA) di Kuala Terengganu, tidak berulang.
Pesanan ini diberikan artis yang menjayakan majlis dianjurkan pada 23 hingga 25 Februari lalu. Perkara ini turut diperbincangkan sebelum majlis malam gala tajaan Kelab Teluk Warisan, Pulau Duyong.
Pelakon Marlia Musa memerangkap pengurus peribadi suaminya, M Nasir menjelaskan, bukan isu bayaran mengadakan persembahan mahu ditimbulkan, sebaliknya keikhlasan dan kejujuran penganjur sama ada Azwan mahupun agensi yang dilantik.
Katanya, sewaktu perbincangan di kalangan rakan artis, mereka mempersoalkan mengapa malam gala yang bertujuan meraikan tetamu Azwan yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur dan beberapa jemputan kerajaan Terengganu, turut membabitkan orang luar.
“Lebih daripada itu, kami terkejut apabila mengetahui meja turut dijual. Itu sudah dikira penganjur mahu mencari keuntungan. Saya faham niat mereka baik untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung mangsa banjir tetapi sekurang-kurangnya beritahu artis terbabit.
“Azwan bertuah apabila kebanyakan artis tidak meminta bayaran profesional terhadap persembahan diadakan walaupun penganjur cuba mencari keuntungan.
“Pun begitu, saya puji sikap artis yang hadir kerana tidak seorang pun membelakangkan majlis, angkat kaki dan pulang walaupun kecewa dengan layanan diberikan.
“Kehadiran M Nasir ke sana pun sebenarnya untuk memberikan sokongan kerana ini kali pertama kami menghadiri majlis Cit Cat Azwan tetapi tidak sangka apa yang berlaku memberikan pengalaman sebaliknya.
“Begitu juga dengan penganjuran bagi menghangatkan promosi Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu tahun hadapan yang diatur agensi dan produksi Azwan Ali.
“Mengapa rombongan artis tidak dibawa melawat pusat pemuliharaan penyu atau pulau-pulau menarik di sana. Kalau setakat melawat kandang kuda di belakang rumah saya pun ada. Bagi saya cara mereka tidak kena dan ia merugikan,” katanya.
Sementara itu Hattan yang menerima Anugerah Mulut Laser untuk Vokal Terbaik berkata, dia terkilan dan berasa artis yang hadir menjayakan MSCCA seperti dipergunakan.
“Seharusnya penganjur atau agensi menguruskan acara menjelaskan secara terperinci termasuk apa yang berlaku di majlis malam gala.
“Saya rasa sekiranya mereka tidak menjual meja, kejadian seperti artis tidak mempunyai tempat duduk atau pulang terus ke Kuala Lumpur tidak akan berlaku,” katanya.
Lebih daripada itu, jelas Hattan, Azwan sendiri harus menjaga keperibadiannya dalam, melaksanakan tugas dengan tenang dan melantik penolong pengarah agar kerja dapat dilakukan dengan tersusun.
“Ada kata-kata Azwan terhadap artis menyebabkan mereka terasa hati dan membuatkan orang rasa meluat terhadap dirinya. Dia harus melaksanakan kerjanya dengan ikhlas dan berhenti mengungkit terhadap apa yang dilakukan.
“Dari sudut tajaan, itu sudah menjadi tanggungjawabnya menyediakan kemudahan. Ibarat menjemput orang datang tidur di rumah, tentu kita mahu tetamu selesa.
“Itupun artis senior yang datang ke Terengganu mengeluarkan belanja sendiri. Kami ikhlas untuk menjayakan program yang dilakukan Azwan ,” katanya.
“Saya sedih sebelum datang ke Terengganu, Azwan meminta kami hadir dengan cukup baik. Dalam erti kata lain, dia cukup menjaga perhubungan awamnya dengan artis. Namun sebaik kami sampai, dia seperti tidak mempedulikan kami. Ibarat habis manis sepah dibuang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan