Halaman

Jumaat, November 10, 2006

Semakin berprestij

petikan Berita Harian 10 November 2006
Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Nurulhisham Abdul Latiff dan Farihad Shalla Mahmud

Anugerah Bintang Popular Berita Harian edisi ke-20 terus unggul setelah dua dekat harungi cabaran

BARANG MEWAH: Lima artis yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dari kiri Siti, Mawi, Ziana, M.Nasir dan Rosyam sempat melihat barang kemas Habib Jewels yang dipamerkan pada sidang media ABPBH 2006, kelmarin.

KEWIBAWAAN ABPBH terus diakui dan lebih bermakna penganjuran acara tahunan yang memasuki edisi ke-20 tahun ini mendapat tajaan yang membanggakan iaitu RM1.5 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan daripada Habib Jewels Sdn Bhd.

Ini membuktikan ABPBH bukan sekadar acara hiburan ringan, sebaliknya membawa mesej besar untuk memartabatkan penggiat industri hiburan sekali gus menarik sokongan daripada syarikat korporat untuk turut serta.

Tajaan itu juga melakar sejarah sepanjang 20 tahun penganjuran ABPBH kerana jumlah itu adalah yang terbesar pernah diterima daripada sebuah syarikat.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd merangkap Penaung ABPBH 2006, Datuk Manja Ismail berkata, bermula hanya dengan sebuah majlis kecil pada 1987, ABPBH terus meredah masa dan kini menjadi antara acara hiburan paling dinanti saban tahun.

Apa yang membanggakan katanya, biarpun disaingi pelbagai acara hiburan lain realitinya kehadiran ABPBH tetap dinanti kerana pengiktirafan diberikan lebih meluas merangkumi penyanyi, pelakon dan penyampai radio.

“Berita Harian sebagai penganjur berbangga kerana ABPBH menjadi jambatan penghubung mesra antara masyarakat dan artis. Bukan muda untuk mengekalkan reputasi penganjuran acara berprestij seperti ini, apa lagi apabila melewati jangka usia yang panjang,” katanya.

Manja berkata, seiring kematangan, penganjuran ABPBH 2006 membuktikan kesungguhan Berita Harian untuk mengiktiraf anak seni yang mampu mencipta, mengekal dan menjana populariti menerusi hasil kerja mereka.

Pencarian bintang popular itu adalah manifestasi penghargaan masyarakat secara langsung menerusi media massa yang menjadi perantara dalam menyatukan dua kelompok ini.

“Penghargaan daripada peminat ini seharusnya diinsafi dan dihargai artis itu sendiri. Bukan semua artis dapat mengecapi nikmat kejayaan yang diraih sebilangan rakan mereka yang pernah mencapai kemenangan dan gelaran popular secara rasmi seperti ABPBH,” katanya.

Manja berkata demikian ketika berucap pada sidang media ABPBH 2006 - 20 Tahun Gemilang Bersama Bintang di Royal III, Hotel Palace of the Golden Horses, kelmarin.

Dalam meniti kematangan, ABPBH 2006 juga dikejutkan dengan hasrat pemenang tujuh kali trofi Pelakon Lelaki Popular, Rosyam Nor yang mengumumkan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan itu.

Pendirian itu diluahkan Rosyam selepas memenangi trofi itu pada ABPBH 2005 awal tahun ini dan diulangi semula ketika pencalonan awal ABPBH 2006 sedang dibuat.

Bagaimanapun, penganjur menolak hasrat aktor yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2002 itu kerana selagi berkarya, nama artis dan selebriti itu layak untuk dipertandingkan.

“Berita Harian menghormati alasan Rosyam untuk menarik diri. Bagaimanapun, kaedah pencalonan ABPBH tidak memungkinkan penganjur menerima hasrat itu. Syukur kerana Rosyam memahami kedudukan dan menerima alasan yang diberikan. Untuk pencalonan awal, namanya bertanding dalam tiga kategori,” katanya.

PRIHATIN: Manja memotong kek ketika meraikan anak yatim bersama artis yang hadir pada sidang akhbar ABPBH 2006,kelmarin.

Manja berkata, artis dan selebriti seharusnya berbangga kerana semakin ramai pihak mengadakan acara pengiktirafan dan majlis penganugerahan untuk mereka. Ini membuktikan mereka sentiasa mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak sama ada peminat sendiri, media, agensi swasta mahupun kerajaan.

”Artis seharusnya menghargai usaha yang dilakukan ini dengan memberikan hasil kerja, contoh dan produk yang terbaik dalam kerjaya seni mereka,” katanya.

ABPBH 2006 menerima 649 pencalonan artis disenaraikan dalam persaingan peringkat awal. Borang undian untuk memilih lima artis popular bagi setiap 16 kategori sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian dan Berita Minggu sejak 2 November lalu.

Ia disiarkan sehingga 4 Disember ini dan selepas itu borang pencalonan akhir senarai lima finalis bagi semua 16 kategori yang disediakan.

“Jumlah pencalonan itu adalah yang terbanyak dalam sejarah dua dekad penganjuran ABPBH. Ia membuktikan semakin ramai muka baru dan penggiat seni muncul memeriahkan industri hiburan dan nama mereka menjadi perhatian,” katanya.

Penganjuran ABPBH 2006 juga membawa pengertian yang tersendiri kerana ia serentak dengan sambutan ulang tahun ke-5- Berita Harian dan kemerdekaan negara.

Justeru, beberapa acara khas dan sesi istimewa termasuk promosi jelajah di beberapa destinasi di seluruh negara untuk mendekatkan artis dengan peminat sedang dirangka bermula di Pantai Timur pada 23 Disember ini.

“Pelbagai kegiatan sampingan termasuk sesi road tour ini menjadikan ABPBH 2006 lebih meriah, penuh kenangan dan memberi impak menarik,” katanya.

Sidang media itu turut meraikan 24 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitul Saidati Khadijah, Gombak, Selangor dengan penyampaian duit raya.

Bertambah meriah apabila pemenang Bintang Paling Popular terdahulu mempersembahkan lagu popular masing-masing iaitu M Nasir dengan Mentera Semerah Padi, Ziana Zain (Anggapanmu) dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (Aku Cinta Padamu).

Bagaimanapun, Bintang Paling Popular ABPBH 2005, Asmawi Ani atau Mawi tidak menyanyi kerana mengalami masalah kesihatan manakala Rosyam Nor berkongsi liku perjalanannya di bidang seni bersama tetamu yang hadir.

ABPBH 2006 mempertandingkan 16 kategori akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 Februari depan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi), Aziz Bakar berkata tema 20 Tahun Gemilang Bersama Bintang sangat bertepatan dengan kegemilangan acara yang semakin gagah menyemarakkan industri hiburan.

“Usaha Berita Harian wajar diberi pengiktirafan kerana berjaya menjadi akhbar terunggul menganjurkan malam anugerah hebat seperti ini,” katanya.

Katanya, sokongan penonton membuktikan ABPBH kekal sebagai acara hiburan berprestij kerana menunjukkan peningkatan kepada 4.2 juta penonton tahun lalu berbanding 3.8 juta pada ABPBH 2004.

“Dengan segala jadual promosi yang sedang dirancangkan, kami yakin jumlah penonton sama ada di Arena Of Stars atau di rumah pasti akan meningkat,” katanya.

Picture from NST

Tiada ulasan:

Catat Ulasan