Halaman

Rabu, November 15, 2006

ABPBH: 'Tidak perlu bersepah di merata-rata'

petikan Berita Harian 15 November 2006
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

M Nasir kekal diminati walaupun hampir tiga dekad menghambakan diri pada seni

KARYANYA sering saja dinanti pengikut setia dan setiap kali penghasilannya disenaraikan dalam pertandingan, tentu saja ada yang diiktiraf sebagai juara. M Nasir, satu jenama yang cukup sinonim dengan seni, populariti dan kualiti dalam kariernya.

M.NasirKEKAL POPULAR: M Nasir masih berdiri teguh dengan status antara artis paling diminati di negara ini.

Insan yang dilahirkan di Singapura pada 4 Julai 1957 ini juga pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1994, mengesahkan lagi statusnya antara artis paling diminati di negara ini.

Dan, pada sidang akhbar pertama mengumumkan penganjuran edisi ke-20 ABPBH 2006 di Palace of Golden Horses baru-baru ini, artis yang digelar sifu ini turut hadir bersama beberapa Bintang Paling Popular lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Ziana Zain dan Rosyam Nor, bagi memeriahkan acara dan menunjukkan sokongan pada usaha akhbar harian ini memartabatkan lagi dunia seni.

Ditanya pandangannya terhadap aspek populariti dalam kesinambungan kejayaan seseorang artis, terutama mereka yang sudah lama terbabit dalam seni sepertinya, penyanyi dan pelakon ini menegaskan, faktor keupayaan peminat untuk melihat bintang kesayangan mereka di media massa, acara dan sebagainya cukup memainkan peranan penting dalam hal berkenaan.

“Sudah tentu setiap artis ada gelombang popularitinya. Semua itu banyak bergantung kepada visibility dirinya serta bagaimana dia membawa kelainan atau pembaharuan setiap kali tampil dengan produk baru. Jangan dilupa, penampilan diri amat penting dalam dunia seni ini. Penampilan yang sesuai dengan diri kena sentiasa dijaga. Itulah pentingnya orang yang berada di sekeliling kita seperti pembantu, keluarga dan rakan. Merekalah yang perlu dijadikan tempat rujukan.

“Artis itu sendiri perlu sentiasa seiring dengan perkembangan zaman. Jadi, jika mereka selalu saja keep up dengan arus perkembangan, kemungkinan untuk dia terus diingati dan diminati adalah lebih besar. Lihat saja Santana yang sudah pun sekian lama dalam arena muzik, tetapi dia tetap popular. Dia rajin tampil bersama pembaharuan dan mengikut kehendak semasa,” ujar artis yang hadir bersama album terbaru, Sang Pencinta, tahun ini.

Begitupun M Nasir tidak bermaksud perubahan yang perlu dilakukan seseorang artis itu adalah secara total. Sebaliknya dia percaya, faktor atau elemen yang baik, yang sedia ada pada diri artis berkenaan, harus dikekalkan.

Dia juga menegaskan, walaupun artis perlu sentiasa mendapat publisiti, mereka tidak perlu untuk berada di setiap acara atau majlis yang dianjurkan. Bak kata sifu ini, “Tidak perlu bersepah merata-rata”, bimbang orang ramai akan muak dengan dirinya. Semua itu banyak bergantung kepada bagaimana dia mengatur perjalanan karier dan hidup, serta sikapnya sendiri pada populariti yang dicari.

Pada waktu yang sama artis ini menekankan pada penghasilan karya yang baik, dalam usaha mengekalkan kedudukan sebagai pendukung seni yang dikenali. Rahsia karya yang baik pula, bagi dirinya, adalah sebuah penghasilan yang mampu ‘mengusik’ zaman itu.

“Saya pula sedikit berbeza daripada golongan artis, kerana saya masukkan diri dalam golongan yang berkarya. Dalam hal ini, kita sendiri yang merancang dan menentukan perjalanan seni kita. Namun, lebih elok juga jika ada keseimbangan. Maknanya, selain kita tentukan sendiri apa yang kita inginkan, kita juga harus menitik beratkan kehendak peminat serta khalayak pada masa yang sama,” kata bekas pengetua Akademi Fantasia musim ketiga ini.

Meskipun M Nasir tegar dengan jenama irama nusantara, etnik dan rocknya, suami pelakon Marlia Musa ini mengaku, dia juga mengikuti perkembangan muzik terkini, bagi mencari formula terbaik untuk memperkayakan lagi ilham cipta. Lagu baru itu pula sudah pasti meninggalkan kesannya juga dalam karyanya, terutama pada sikap.

“Sudah tentu saya mendengar lagu baru, malah muzik terkini Justin Timberlake pun saya ikuti,” tutur pemegang diploma dalam seni lukisan barat dari Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura ini.

Menyentuh perkembangan terbarunya pula, M Nasir memberitahu, dia kini sibuk menerbitkan sebuah album berkonsepkan rock untuk bekas anak muridnya di AF, Yazer, di samping memantau pembikinan album beberapa kumpulan muzik di bawah label Luncai Emas. Dia juga akan memulakan penggambaran filem Aduh Saliha yang menggabungkan barisan pelakon baru dan lama, awal tahun depan.

FAKTA: Pencapaian sejak 2000

2000

-Menerima pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) pada Januari 2000
-Memenangi AIM bagi Vokal Terbaik Dalam Album untuk album Srikandi Cintaku
-Memenangi AIM bagi Album Rock Terbaik untuk album Aku Amy (Penerbit Amy / M. Nasir)
-Memenangi Penyanyi Lelaki Popular untuk ABPBH 2000
-Memenangi Anugerah Penulisan Lagu Terbaik: Kategori Rock oleh Papita
-Menerima anugerah Pencipta Terunggul Anugerah MACP 2000

2001

-Memenangi Anugerah Khas & Anugerah Artis Lelaki Popular untuk Anugerah Planet Muzik 2001 di Singapura
-Memenangi Anugerah Penghibur TV Terbaik untuk Anugerah Sri Angkasa 2001
-Memenangi Penyanyi Lelaki Popular untuk ABPBH 2001
-Memenangi Penyanyi Lelaki Popular untuk Anugerah Era 2001

2002

-Memenangi Anugerah Planet Muzik 2002 di Singapura untuk kategori Album Terbaik untuk album Phoenix Bangkit, Artis Lelaki Paling Popular, Artis Lelaki Terbaik
-Memenangi Anugerah Industri Muzik 2002 (AIM 2002) bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki), Kulit Album Terbaik (Mohd Foad Hassan), Album Pop Terbaik dan Album Terbaik (semuanya untuk album Phoenix Bangkit), Anugerah Sri Wirama
-Menerima anugerah Pencipta Terunggul Anugerah MACP 2002

2004

-Menerima anugerah Pencipta Terunggul Anugerah MACP 2004

2005

-Pengetua Akademi Fantasia 3
-Memenangi kategori Skor Muzik Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 (2005) untuk -Filem Puteri Gunung Ledang
-Menerima anugerah Pencipta Terunggul Anugerah MACP 2005
-Menerima Anugerah Seni ERA di Anugerah Era 2005

2006
-Memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu Aduh Saliha dalam Juara Lagu 20
-Menerima anugerah Pencipta Terunggul Anugerah MACP 2006
-Memenangi kategori Lagu Paling Popular menerusi lagu Aduh Saliha dalam Anugerah Planet Muzik 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan