Halaman

Isnin, Oktober 16, 2006

Gandingan mantap Akustik Aidilfitri

petikan Harian Metro 16 Oktober 2006
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

BUKAN sesuatu yang mudah menggandingkan mereka serentak pada waktu yang sama. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan populariti dan bakat yang ada pada mereka cukup layak untuk digelar sebagai antara legenda muzik tanah air.

Walaupun terpaksa membahagikan masa dengan pelbagai aktiviti seni, namun hasrat mereka untuk bersama meraikan peminat sempena Aidilfitri bukan satu telahan kosong.

Sebaliknya nama besar industri seni suara tanah air yang terdiri daripada Papa Rock Ramli Sarip, M Nasir, Jay Jay dan Zainalabidin bergandingan menjayakan Konsert Akustik Raya. Selain mereka, artis muda berbakat, Andy Flop Poppy turut diundang mewakili genre muzik generasi terkini.

Sempena lebaran yang mulia, TV3 mengajak penonton mengimbau kembali nostalgia lagu Hari Raya dan rangkaian lagu popular secara ‘unplugged’ menerusi rancangan hiburan Konsert Akustik Raya ini. Rancangan hiburan ini akan menemui penonton pada hari raya keempat, Jumaat jam 6 petang.

Program istimewa raya selama sejam ini dipersembahkan secara ‘unplugged’ dan diiringi oleh peralatan akustik sahaja. Selain itu, artis juga akan berinteraksi bersama penonton di studio secara langsung di samping memainkan lagu permintaan mereka.

Tirai persembahan dimulakan Papa Rock, Ramli Sarip dengan menyanyikan lagu Senandung Hidup. Dengan kekuatan vokalnya yang masih mantap sambil diiringi petikan gitar, ia menambahkan lagi kosentrasi penonton untuk menghayati bait lagu yang dititipkan.

Kemudian, Jay Jay tampil menyampaikan lagu Belaian Jiwa yang terus mekar di hati peminat seni suara tanah air meskipun lagu itu sudah berusia hampir 20 tahun.

Alunan merdu lagu nostalgia ini seterusnya diambil alih Zainalabidin mendendangkan lagu Orak-Arek yang pernah menaikkan namanya di persada seni suara satu ketika dulu.

Menghangatkan lagi suasana, Andy Flop Poppy tampil mengalunkan dua lagu popularnya iaitu Atas Nama Cinta serta Aku Dan Kamu yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Walaupun dia penyanyi termuda konsert ini, namun kemampuannya bermain gitar dan menyanyi dengan baik dipuji ramai malah turut mendapat reaksi positif daripada penyanyi senior.

Meneruskan kesinambungan, Zainalabidin kembali dengan lagu merdu Suraya. yang pernah dipopularkannya bersama kumpulan Headwind suatu ketika dulu.

Kehadiran M Nasir dengan lagu Sang Pencinta pula menghangatkan kembali pentas dengan alunan lagu rancak daripada album terbarunya itu. Biarpun penampilannya agak lewat, namun ia tetap bertenaga dan tidak mengecewakan.

Dalam meniti usia 50-an, Papa Rock yang sering muncul dengan lagu pop ketuhanan ini meneruskan persembahan dengan mendendangkan lagu Kalau Berkasih. Seterusnya tirai persembahan diakhiri M Nasir dengan alunan lagu Satu Hari Di Hari Raya yang mula diciptanya pada awal 1980-an.

Bagaikan dijangka, persembahan kemuncak ini bukan hanya membangkitkan suasana lebaran, malah turut mengundang penonton turut sama menyanyikan lagu popular itu.

M Nasir berkata, dia berbangga dan rasa istimewa kerana diberi peluang berpadu suara di pentas yang sama.

“Saya amat terharu dan cukup bangga kerana dapat berada di pentas ini bersama nama besar industri muzik tanah air yang dianggap sebagai legenda seperti Ramli Sarip, Jay Jay, Zainalabidin dan Andy Flop Poppy selaku artis undangan.

“Mengenai kekuatan lagu Satu Hari Di Hari Raya pula, ia unik kerana liriknya melekat di hati pendengar serta diadun dengan muzik yang santai dan sedap didengar. Malahan kebanyakan lagu raya lama yang dihasilkan begitu dekat di hati peminat dan senang dihafal serta dihayati meskipun dibuat dalam bentuk seloroh, seloka dan sedih,” katanya.

Sementara itu Penerbit Konsert Akustik Raya, Muhammad Suffian Isa berkata, idea untuk menggandingkan empat nama besar ini sudah lama dirancang, namun baru kini ia berjaya direalisasikan dek kerana kesuntukan waktu untuk mengumpulkan mereka bersama.

“Apabila tibanya Aidilfitri, lagu raya menjadi kegemaran pendengar. Justeru itu, Konsert Akustik Raya ini adalah satu daripada rancangan istimewa sempena Hari Raya yang menampilkan persembahan lagu raya dan bukan raya. Gabungan artis lelaki yang hebat ini pastinya menghiburkan di samping penonton dapat berinteraksi secara langsung bersama penyanyi kesayangan mereka.

“Mengenai gandingan mereka pula, kami memilih berdasarkan kebolehan mereka bermain alat muzik selain daripada kekuatan vokal dan nama besar yang boleh dianggap sebagai legenda.

“Konsert ini juga cukup istimewa kerana buat pertama kalinya menggandingkan mereka di pentas yang sama dan satu-satunya program membabitkan persembahan secara ‘unplugged’. Apa yang menarik lagi, mereka sendiri bermain alat muzik sambil diiringi seorang pemuzik undangan iaitu Nan,” katanya sewaktu ditemui di rakaman Konsert Akustik Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan