Halaman

Isnin, Ogos 14, 2006

Artis tempatan sertai Malam Ekspresi Lubnan 2

petikan Utusan Malaysia 14 Ogos 2006

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Artis-artis terkenal tanah air akan menyertai malam Ekspresi Lubnan kali kedua yang akan disiarkan secara langsung di RTM1 dari Auditorium P. Ramlee bermula 8.45 malam esok.

Antara artis yang mengambil bahagian ialah M.Nasir, Mawi, Erma Fatima, Rosyam Noor, Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Rahim Razali, Azharina, Liza Hanim, Nasir Bilal Khan, Too Phat dan Yassin.

Rancangan khas itu bertema “Lubnan...Gurisan Anak Seni” akan menyaksikan barisan artis mempersembahkan gurindam, sajak, prolog, deklamasi dan lakonan, hasil ciptaan beberapa pencipta tanah air iaitu Habsah Hassan, Datuk Aziz Abdul Rahman, Allahyarham Osman Awang, Siso, Amir Hafizi dan Adnan Abu Hassan.

Sambutan

Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin berkata, malam ekspresi kali kedua itu diadakan bagi mengutuk serangan Israel ke atas bumi Lebanon selepas malam ekspresi kali pertama yang diadakan pada 3 Ogos lepas mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai pihak.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, Zainuddin berkata ini adalah satu cara bagi rakyat Malaysia untuk menyatakan perasaan mereka terhadap keganasan Israel terhadap rakyat Lebanon.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menyaksikan luahan anak-anak seni negara ini yang menunjukkan bahawa mereka turut bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat Lebanon dan Palestin.

“Semakin ramai jumlah penonton yang menyaksikan program ini akan menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia yang marah dengan kekejaman Israel terhadap Lebanon,” katanya.

Zainuddin berkata, RTM sebagai sebuah stesen yang melaksanakan tanggungjawab sosialnya merasakan program seperti ini yang akan diadakan dari semasa ke semasa dapat membantu meningkatkan kesedaran dan juga semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.


Malam Ekspresi Lebanon gurisan rasa anak seni

Oleh Nor Fadzilah Baharudin
lagi petikan Utusan Malaysia 16 Ogos 2006

Penuh Penghayatan: Aksi Rosyam Noor ketika melakonkan babak Jiwa Perjuangan.ATAS kesedaran kemanusiaan, awal Ogos lalu Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menerbitkan rancangan Malam Ekspresi... Kezaliman dan ia disiarkan secara langsung oleh RTM1.

Memandangkan sambutan yang diberikan cukup memberansangkan, RTM sekali lagi mengambil langkah yang sama. Malam Isnin lalu, telah berlangsung Malam Ekspresi Lebanon... Gurisan Anak Seni yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Tujuannya hanya satu iaitu ingin melahirkan tanda protes di kalangan anak seni terhadap kezaliman dan kekejaman Israel yang dilakukan pada warga Lebanon.

Segala kekecewaan dan kekesalan itu dilontarkan melalui puisi dan lagu yang merangkumi prolog, deklamasi dan nyanyian dari warga seni.

Anak-anak seni yang telah mengambil bahagian ialah Mawi, M.Nasir, Erma Fatima, Rosyam Noor, Liza Hanim, Azharina, Nasir Bilal Khan, Kelvin Lau, Tengku Khalidah, Akbar, Mirwana, Lisa Suri Hani, Juanita Ismail, Datuk Jins Shamsudin, Khir Rahman dan Datuk Rahim Razali.

Setiap prolog, deklamasi dan nyanyian yang dipersembahkan oleh para artis yang terlibat kesemuanya menceritakan tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa yang tidak berdosa iaitu rakyat Lebanon.

Menurut pelakon lelaki popular, Rosyam Nor, usaha pihak Kementerian Penerangan mengadakan program sebegini patut diberi pujian.

“Kita sebagai anak seni turut merasai penderitaan masyarakat di sana. Kita nak pergi ke sana tak mampu. Jadi program ini merupakan satu tempat untuk kita ekspresikan perasaan kita terhadap keganasan tersebut.

“Hari ini kita dah merdeka. Tapi dalam kita tak sedar, kita masih dijajah oleh budaya Barat. Dan kita juga kena bersiap sedia dan beringat supaya kita juga tidak mengalami nasib yang sama seperti rakyat Lebanon,” katanya yang menjayakan deklamasi puisi dan lakonan bertajuk Jiwa Perjuangan.

Bagi Mawi pula, penglibatannya dalam program tersebut merupakan satu penghormatan buat dirinya.

“Melalui program sebegini, kita dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang kesengsaraan orang lain.

“Semoga mesej ini dapat menjadikan kita lebih bersyukur kerana berada di bumi Malaysia yang aman dan damai. Mudah-mudahan program seperti ini dapat menyemai perasaan sayang pada negara terutamanya kepada para remaja” katanya yang segak berbaju Melayu berwarna merah.

Sementara Liza Hanim, yang tampil menyanyikan lagu Tiang Keamanan bersama Kelvin Lau pula berkata, “Ini merupakan satu program yang memberi contoh yang baik kepada khalayak.

“Kita dapat mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang keperitan hidup masyarakat di sana. Kita juga perlu ingat, bila peperangan berlaku yang menjadi mangsa ialah wanita dan kanak-kanak.

“Kalau peperangan itu memberi kesan positif tak mengapa tapi ia memberi kesan yang negatif kepada mereka. Mereka merupakan golongan pemimpin masa depan. Apabila mereka mengalami situasi sebegitu, mereka akan menyimpan dendam. Dan akhirnya apabila mereka dewasa, mereka juga bersikap sebegitu.”

Usaha pihak kementerian, di bawah pimpinan Datuk Zainuddin Maidin mengadakan program tersebut merupakan satu inisiatif terbaik bagi melontarkan segala kemarahan khalayak terhadap keganasan yang dihadapi oleh rakyat Lebanon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan