Halaman

Isnin, Julai 17, 2006

Juara berganda Hits1

petikan Harian Metro 17 Julai 2006
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lagu Jiwa Lagu Cinta nyanyian asal Mawi dan M Nasir muncul juara berganda dalam pertandingan akhir carta lagu popular Hits1 di Stadium Negara, malam tadi.

Biarpun menampilkan Felix dan Yazer sebagai pengganti Mawi yang masih lagi berkabung atas kematian bapanya, ternyata persembahan mereka tidak mengecewakan dan mendapat sokongan peminat.

Lagu ciptaan komposer M Nasir dan lirik ditulis Loloq itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000, trofi dan sijil apabila memenangi Anugerah Lagu Terbaik.

Malah seperti dijangka, lagu itu turut memenangi kategori Lagu Paling Popular menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton yang melayakkan mereka menggondol hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Kemenangan itu sekali gus mengesahkan populariti Mawi masih unggul sebagai Raja SMS.

Tempat kedua pula dimenangi Misha Omar menerusi lagu Ku Seru. Kemenangan itu melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penyertaan. Misha juga muncul juara berganda apabila turut merangkul Anugerah Persembahan Terbaik yang menawarkan wang tunai RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Felix yang mewakili Mawi ketika ditemui selepas acara itu tidak menduga lagu nyanyiannya dipilih lagu terbaik kerana dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

“Saya terharu dan gembira dengan kemenangan ini. Saya menganggapnya sebagai bonus dan hadiah paling istimewa buat penyanyi asalnya iaitu Mawi dan M Nasir.

“Apa yang memeranjatkan lagi, kami hanya berlatih bersungguh-sungguh dua hari sebelum pertandingan selepas diberitahu Maestro.

“Memang diakui saya sudah biasa menyanyikan lagu ini, tetapi sama sekali tidak menyangka ia mendapat sambutan peminat dan diterima ramai pada malam ini sehingga melayakkannya menerima dua anugerah,” katanya.

Bagi Misha pula, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang dan hanya bertekad memberikan persembahan terbaik.

“Mengenai kemenangan kategori persembahan terbaik, ini tuah sebenarnya. Awalnya saya tertekan kerana orang lain menggunakan penari iringan, tetapi saya muncul solo saja. Namun bila difikirkan balik, ia lebih sesuai secara solo dan saya lebih menekankan dari aspek penghayatan lagu,” katanya.

Selain mereka berdua, Hits1 akhir turut dijayakan enam artis popular tanah air iaitu Daniel Lee dengan lagu Mimpi, Shazzy (Kenapa), Shanon (Dilanda Cinta), Siti Nordiana dan Achik (Dilanda Cinta), Farah (Antara Dua) dan Fazley (Kerna Asmara).

Hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon. Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan