Halaman

Ahad, Jun 25, 2006

Nasir santai dalam Juwita

petikan Harian Metro 25 Jun 2006
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

SANTAI dan bersahaja. Itulah konsep klip video Juwita (Citra Terindah) dendangan sifu M Nasir. Apa yang bakal penonton saksikan di televisyen sedikit masa lagi bukan paparan kejelitaan atau keindahan wanita bernama Juwita, sebaliknya lebih menggambarkan ‘mood’ perasaan si penyanyi.

Seawal jam 8 pagi, krew AD Verse Sdn Bhd dan wakil Warner Music berkumpul di Hotel JW Marriot, Bukit Bintang. Penggambaran yang bermula beberapa jam kemudian, berjalan lancar sepertimana dirancang pengarah klip video berkenaan, Nizam Rahmat.

Tatkala menyusuri Jalan Bukit Bintang yang dipilih sebagai sebahagian lokasi penggambaran, M Nasir menjadi perhatian ramai.

Meskipun penggambaran dilakukan di tengah kesibukan kawasan segi tiga emas dan panahan terik matahari, bintang tersohor ini cukup komited dan profesional dengan setiap arahan diberikan pengarah.

Sesekali dia membalas senyuman peminat dan paling menangkap perhatian MA, bintang ini sempat berjabat tangan dengan peminat ketika melintas jalan.

Ketika menikmati makan tengah hari, penyanyi berjiwa besar yang muncul dengan album baru berjudul Sang Pencinta itu berkata, dia menyerahkan kepercayaan kepada Nizam untuk menentukan idea dan konsep klip video ini.

Sebulan sebelum penggambaran, perbincangan diadakan dan dia ternyata senang dengan cadangan pengarah berbakat besar itu.

“Saya yakin dengan kebolehan Nizam dan membiarkan dia menggunakan kreativitinya untuk klip video ini. Berbeza dengan klip video terdahulu, kali ini lebih bersahaja dan santai. Ia diperindahkan dengan pelbagai nuansa ‘mood’, tetapi paling menonjol sudah tentu keceriaan dan kegembiraan.

“Klip video ini seperti sebuah ilustrasi, tidak semestinya sama dengan lirik lagu. Ia lebih menggambarkan ‘mood’ perasaan. Dalam klip ini saya tidak terkongkong dengan plot cerita tertentu, sebaliknya bebas melakukan apa yang saya suka. Tiada cerita khusus untuk menggambarkan siapakah Juwita. Kami kerap berselisih di jalan tetapi tiada komunikasi,” kata M Nasir yang ditemani isteri tercinta, Marlia Musa.

Sementara itu, Nizam yang turut bertanggungjawab mereka bentuk kulit album Sang Pencinta berkata, persiapan klip video itu dilakukan sebulan sebelum penggambaran. Selepas mendapat persetujuan M Nasir, perbincangan dilakukan bersama Warner Music untuk mencari siapa sesuai diperkenalkan sebagai Juwita.

Awal perbincangan, seramai 40 wanita disenaraikan, tetapi mereka akhirnya memilih model dan pelakon, Rozita Che Wan selepas melihat gambarnya di dalam sebuah majalah hiburan.

Penampilan dramatis ini yang tidak terlalu tua atau muda dirasakan sesuai dengan karektor Juwita.

“Saya membesar dengan muzik M Nasir. Dia anak seni sejati dan saya sangat mengagumi bakat, karisma, pemikiran dan gayanya. Justeru, saya mahu mengekalkan identitinya dalam klip video ini. Baik M Nasir mahupun Rozita (Juwita), saya memberi sepenuh kebebasan kepada mereka untuk mewarnai karektor dalam video klip ini. Dari awal saya sudah menjelaskan tidak mahu mereka terlalu terikat dengan ‘lakonan’ kerana sebahagian besar penggambaran dilakukan di tengah kesibukan Bukit Bintang.

“Sama seperti di kehidupan realiti, M Nasir tampil sebagai pemuzik dalam klip video ini dan jalan cerita diperindahkan dengan kemunculan wanita cantik yang meminati muziknya. Namun, mereka tidak berkomunikasi dan hanya berselisih di jalan.

“Penggambaran ini dilakukan di sekitar Jalan Bukit Bintang, Asian Herritage Row, Senja Bistro (Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur), Wine Room, Bently Music dan stesen monorel. Mengikut perancangan, klip ini akan siap dalam tempoh dua minggu,” katanya yang baru menyiapkan dua klip video bintang realiti TV paling popular, Mawi iaitu Sirah Rabiulawal dan Sesungguhnya.

Menyingkap karier pengarah klip video muda ini, Juwita (Citra Terindah) bukan kerjasama sulungnya bersama Warner Music. Pada 2000, Nizam pernah menghasilkan klip video Yassin, Mimpi Laila dan disusuli ramai lagi artis, termasuk Fazley.

Bercerita mengenai album Sang Pencinta, M Nasir berkata, dia gembira dengan sambutan positif peminat. Biarpun baru tiga minggu di pasaran, album yang akan dilancarkan pada 7 Julai ini di Hotel JW Marriot, Bukit Bintang mencatat jualan memberangsangkan.

“Nampaknya tindakan mempromosikan lagu Juwita (Citra Terindah) di corong radio sejak dua bulan lalu menjadi. Namun, saya belum boleh berpuas hati dengan sambutan album ini kerana ia baru saja dipasarkan. Mungkin selepas beberapa bulan, baru boleh kita simpulkan sejauh mana penerimaan sebenar peminat terhadap Sang Pencinta,” kata M Nasir.

Serentak dengan kemunculan album baru, ‘living legend’ ini berhasrat menganjurkan konsert besar-besaran tahun ini di ibu negara. Pun begitu, katanya, masih terlalu awal untuk membicarakan soal tarikh dan tempat kerana masih dalam perancangan.

“Tidak lengkap rasanya jika kehadiran album baru tidak disusuli konsert besar. Insya-Allah, jika tiada aral ia akan terlaksana juga tahun ini. Soal penaja, saya tidak bimbang kerana ada banyak potensi.

“Saya tidak bercadang menjemput penyanyi undangan. Dalam konsert itu nanti saya akan hiburkan peminat dengan himpunan lagu dari album baru, lama dan lagu penyanyi lain yang saya minati,” katanya.

Selain Juwita Citra Terindah, album Sang Pencinta memuatkan lagu Tujuh Nafas Lagi, Sang Pencinta, Setiap Dambaan, Balada Seorang Teman, Vendeta, Tangisan di Hujung Galaksi, Bahtera Raudah, Destinasi.. Eterniti dan Apa Lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan