Halaman

Rabu, Mei 17, 2006

Ramli, Nasir ikon sejati

petikan Harian Metro 17 Mei 2006
Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

“Ikon bukan sekadar menyanyi atau menghiburkan. Ia juga turut membabitkan semangat serta perjuangan seseorang anak seni”- RAMLI SARIP

“Maknanya, segala apa kita lakukan pada waktu itu kita betul-betul suka dan lahir dengan sepenuh jiwa raga”- M NASIR


MUDAH sangat kita memberikan gelaran ikon kepada seseorang penyanyi atau pun kumpulan muzik. Asal saja popular dan diminati ramai, kita terus mengangkat mereka sebagai ikon.

Walhal, ikon bukanlah sekadar imej atau lambang seseorang yang berpengaruh serta menjadi ikutan masyarakat saja.

Sebaliknya, ia merangkumi segala kelangsungan pembabitan seseorang itu secara serius di dalam industri muzik, termasuk falsafah, ilmu, pemikiran serta prinsip yang dibawa.

Atas sebab itu, tidak hairanlah mengapa ASA Asia Group memilih Ramli Sarip dan M Nasir untuk menjayakan Ikon Unplugged Dinner Show di Palace Of The Golden Horses, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kedua-dua anak seni itu bukan saja dianggap ikon di kalangan masyarakat kita tetapi mempunyai pengaruh cukup besar terhadap perkembangan industri muzik kita selama ini.

Namun, baik M Nasir mahu pun Ramli, mereka tidak begitu teruja dengan gelaran ikon yang diberikan yang diberikan itu. Mengapa?

Ketika ditemui, M Nasir berkata, dia sebenarnya berasa kekok apabila diangkat sebagai ikon di dalam majlis persembahan itu.

“Namun, sudah tentulah perasaan itu bercampur menjadi gembira. Cuma, saya tidak tahu pula perjalanan muzik yang saya lalui akan berada sejauh ini.

“Pada waktu mula-mula berkecimpung di dalam bidang ini, ada satu perkataan yang saya praktik iaitu ‘teliti.’

“Maknanya, segala apa kita lakukan pada waktu itu memang betul-betul kita suka dan lahir dengan sepenuh jiwa raga,” katanya.

Ramli turut melahirkan pandangan sama dengan Nasir.

“Memang tidak pernah terfikir apa yang saya lakukan ini akan menjadi satu ikutan. Hanya apabila sudah berada di pertengahan jalan, barulah saya dapat berasakan ‘sesuatu’ akan berlaku di dalam kerjaya seni saya.

“Maka saya teruskan kerja dengan penuh tanggungjawab. Mudahan-mudahan ini dapat dilihat sebagai satu pencapaian.

“Lebih tepat lagi, kita berkemampuan mencari ikon yang lebih menyerlah kerana kalau kita lihat hari ini, gelaran ikon mahu pun diva digunakan terlalu bebas dan melampau.

“Ikon bukan sekadar menyanyi atau menghiburkan. Ia juga turut membabitkan semangat serta perjuangan seseorang anak seni.

“Pembabitannya bukan sekadar tugasnya dalam kerja persembahan semata-mata, dia harus terbabit dalam kerja-kerja penerbitan mahu pun penciptaan lagu.

“Kalau hendak cerita lagi memang panjang. Namun, saya dan Nasir boleh menyiapkan satu biografi yang indah mengenai perjuangan kami di dalam industri muzik ini,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai pemilihan M Nasir dan Ramli Sarip sebagai ikon dunia hiburan tanah air, penganjur majlis, Raja Mazian Raja Idris, berkata pemilihan kedua-dua penyanyi itu bertepatan sekali kerana mereka memiliki karisma serta kredibiliti tersendiri di dalam bidang seni.

“Malah, kedua-duanya juga mempunyai pengalaman cukup luas di dalam industri muzik serta pengaruh cukup besar di kalangan masyarakat kita.

“Hal ini dapat dilihat menerusi karya yang dihasilkan serta muzik yang dibawakan mereka selama ini.

“Malah hingga ke saat ini pun, kemampuan mereka sebagai penyanyi atau penghibur, masih belum ada tandingannya di kalangan orang baru,” katanya.

Penganjur bersama, Edi Azma Abdul Aziz pula berkata melihat pada senario industri muzik pada masa ini, sememangnya kekurangan hero atau seseorang yang boleh diangkat sebagai ikon sejati.

“Sebaliknya, gelaran ikon itu terlalu bebas diberikan kepada sesiapa termasuklah bintang baru yang dipilih menggunakan undian SMS.

“Kita mahu ubah tanggapan ini. Gelaran ikon hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak serta terpilih saja berdasarkan sumbangan, pembabitan serta pencapaian mereka di dalam bidang yang diceburi itu.

“Untuk itu, kita turut memberikan anugerah kepada kepada Ramli dan Nasir di dalam persembahan ini nanti,” katanya.

Lebih info berkaitan Anugerah Ikon

Tiada ulasan:

Catat Ulasan