Halaman

Khamis, April 20, 2006

Loloq berubah selepas dileteri nenek

petikan Utusan Malaysia 20 April 2006

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM bidang seni, Loloq atau Rosli Khamis, 49, dikenali bukan kerana imejnya tapi idea yang dicetuskan daripada akal fikirannya lalu diterapkan pada lirik-lirik lagu karyanya.

Itulah kelebihan Loloq yang diberi penghargaan khas sempena Anugerah Planet Muzik di Singapura baru-baru ini kerana sumbangannya dalam bidang seni. Sebelum itu Loloq turut mendapat anugerah Penulis Lirik Terunggul untuk kali kelima anjuran Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (MACP).

Kata Loloq, dia sendiri tidak percaya dia mampu berkarya seperti sekarang. Loloq berasal dari Singapura. Katanya, “Semasa remaja saya bukanlah seorang yang suka mengatur masa depan. Senang cerita saya lebih banyak buang masa daripada berusaha seperti orang lain. Saya lebih senang mengikut kata hati tanpa berfikir.’’

Sikap Loloq itu tidak disenangi oleh neneknya. Menurut Loloq, dia sering dileteri oleh nenek. Suatu hari dia yang dipanggil Peter di kalangan ahli keluarga akhirnya termakan nasihat neneknya supaya mencari ilmu yang dikatakan oleh neneknya lebih penting daripada memiliki wang.

Lalu pada usianya 23 tahun Loloq nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berdikari. Malangnya sikap Loloq masih tidak berubah.

“Sebenarnya saya lebih senang merujuk kata pepatah ulat dalam batu boleh hidup, inikan pula saya yang bernafas di muka bumi ini. Disebabkan kebebasan itulah saya pernah terjebak dengan najis dadah selama beberapa tahun,’’ kata Loloq tentang pengalaman hitamnya itu.

Namun Loloq bernasib baik kerana cepat tersedar lalu berusaha memulihkan diri daripada narkotik. Dia segera insaf mungkin kerana sejak usia 14 tahun lagi Loloq biarpun suka merayap namun sering juga menyertai kumpulan tasauf atau tabligh.

Berdasarkan pengalaman tersebut, Loloq tidak menghadapi masalah untuk menghasilkan lirik lagu berunsur ketuhanan.

“Kita perlu tonjolkan keaslian dan yang penting mesti faham lirik. Saya lebih suka menghasilkan lirik yang segar,’’ katanya yang sering menulis lirik untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir.

Jelas Loloq, hubungannya dengan M. Nasir bukanlah baru. Mereka sudah sering lepak bersama sejak remaja lagi dan disebabkan itu jugalah mereka boleh bertahan sehingga kini.

Fasih bertutur dalam bahasa Hokkien, suami kepada Hariah Yaacob, 32, dan ayah kepada Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5, ini pernah menghasilkan tujuh lirik sekali gus untuk album M. Nasir. Lirik-lirik tersebut antaranya adalah Mantera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Gurindam Gunung Tahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan