Halaman

Ahad, Mac 12, 2006

M Nasir tampil santai

petikan Harian Metro 12 Mac 2006
Oleh ABIE ABDULLAH

KULIT album bukan sekadar penghias atau pembungkus sesebuah cakera padat atau kaset. Penampilan wajah kulit album yang cantik mampu menjadi tarikan kerana ia cinta pertama peminat untuk membeli produk itu.

Justeru, pembikinannya sangat diambil berat. Nizam Rahmat yang pernah memenangi trofi Kulit Album Terbaik Anugerah Industri Muzik 2005 menerusi album Ning Baizura, Erti Pertemuan, menyedari hal ini.

Bukan saja memastikan gambar cantik, sebagai pengarah, Nizam sangat mementingkan konsep dan genre lagu yang dimuatkan dalam sesebuah album.

Mengambil kira kepentingan itu, Nizam bersama pasukan syarikatnya, Adverse Sdn Bhd memerlukan masa untuk menganalisis setiap lagu.

“Kulit album adalah gambaran untuk mewakili apa yang dipersembahkan dalam album itu. Seperti yang saya lakukan untuk album baru M Nasir, Juwita. Terlebih dulu saya berbincang dengannya, dua tiga kali kami bertemu untuk mendapat persetujuan.

“Melalui pengalaman hampir 15 tahun di bidang ini, saya melihat banyak pembaharuan dalam pembikinan kulit album. Bukan saja konsep, malah penerimaan masyarakat terhadap kepentingannya.

“Kalau dulu kebanyakan label hanya menggunakan tenaga artis grafik dalaman, hari ini mereka memberi kepercayaan kepada profesional untuk melakukannya,” kata Nizam yang merekabentuk lebih 50 kulit album.

Nizam baru saja selesai penggambaran untuk album Juwita yang dilakukan di sekitar hotel JW Marriott dan Starhill Gallery.

Katanya, muzik M Nasir kali ini berlainan daripada yang pernah ditonjol dan dikenali sebelum ini.

Muziknya yang lebih kepada pop memaksa Nizam mencari kesesuaian supaya imejan yang ditampilkan pada kulit album serasi dengan kandungannya.

“Kalau konsep rock, mungkin lebih mudah saya tampilkan imej M Nasir tetapi untuk pop, saya perlu mengembalikan penyanyi ini yang dulu. Hasil perbincangan, dia bersetuju dan kami luangkan masa lima enam jam saja untuk penggambaran itu.

“Tujuh lapan baju ditukar, tetapi M Nasir tak kisah kerana dia profesional. Saya cuba membuat kelainan daripada segi penampilan. Dia banyak menggunakan jeans, nampak lebih santai dan muda.

“Baru pertama kali saya bekerja dengannya, tak sangka kerana dia bijak bergaya di depan kamera dengan cepat,” katanya yang mendapat tajaan pakaian daripada Replay, Starhill.

Juwita bakal dipasarkan akhir bulan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan