Halaman

Selasa, November 15, 2005

Tiada istilah ‘cincai’ dalam Mawi.... Yang Tercinta

petikan Berita Harian 15 November 2005
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


ALBUM terbaik! Mungkin agak keterlaluan, tetapi itulah beberapa ungkapan yang mampu diringkaskan setelah wartawan Hip mendengar CD master album Mawi ...Yang Tercinta, yang akan dilancarkan esok.

Sebagai wakil media pertama diberikan peluang mendengar lapan lagu yang sudah siap sepenuhnya, petikan album studio pertama juara Akademi Fantasia 3 itu, berasa juga bangga di dada. Lebih membanggakan kerana hasil tangan sifu M Nasir, Fauzi Marzuki, Yasin dan Ajai amat bermutu dan memuaskan telinga.

Paling tidak, inilah antara album paling berkualiti daripada syarikat rakaman tempatan yang diterbitkan sepanjang tahun 2005.

Jarang sekali kita terdedah kepada sebuah album yang memuatkan lagu yang kesemuanya sedap didengar. Namun, lain sekali dengan Yang Tercinta apabila daripada trek pertama, Kian, sehinggalah trek terakhir, Yang Tercinta, semuanya berada pada kelas atas mutu penghasilannya.

Sifu sendiri bagai menganggap album ini seperti album dirinya sendiri kerana kualiti lagu dan bunyi yang dihidangkan cukup enak pada pendengaran, bak album Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan.

Muziknya padat, pelbagai dan begitu diperincikan. Setiap bunyian kecil jelas kedengaran, yang menambahkan kekayaan album berkenaan.

Maknanya, tiada istilah cincai dalam pembikinan. Setiap penerbit nyata memberikan kerja terbaik mereka ketika penghasilan.

Mahukan sentuhan nasyid, padang pasir, rock dan a-go-go? Segala-galanya terkandung dalam album Mawi. Persembahan vokal? Jangan risau, kerana Mawi masih mengekalkan lenggok mahalnya. Penyanyi ini juga tetap tegar dengan suara ketat dan jantan miliknya.

Pujian juga harus diberikan kepada anak muda Felda Taib Andak ini kerana bisa menyanyikan irama yang mencabar.

Selain ciptaan M Nasir, album ini turut memuatkan lagu daripada Yasin, berjudul Cinta Hakiki. Ia meneruskan usaha pencipta muda itu memperkenalkan elemen Arab dengan aliran pop Melayu melalui penyampaian Mawi yang mendayu.

Ajai pula meneruskan elemen muzik sejagat (atau World Music) melalui lagu Kurniaan Tuhan. Cukup kuat unsur nasyid dalam irama ini, yang muziknya mendapat sentuhan rock.

Komposer veteran, Fauzi Marzuki menampilkan lagu berjudul Kian yang bakal mengimbas kembali kehebatan dan kesyahduan lagu malar hijau ciptaannya sebelum ini, Kekasih Awal Dan Akhir. Penyampaian Mawi untuk lagu ini membuktikan dirinya antara penyanyi versatile yang bakal mewarnai dunia muzik tempatan dan bukan sekadar bertahan untuk satu atau dua album.

M Nasir sendiri menyumbangkan lima lagu, termasuk single pertama Aduh Saliha. Lagu lain ialah Perempuan, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Di Pintumu dan Yang Tercinta.

Jika elemen Arab dan pop tradisional Melayu diketengahkan komposer terkenal ini menerusi lagu Perempuan dan Di Pintumu, Lagu Jiwa Lagu Cinta yang juga single kedua dan diputarkan di stesen radio Era membawa konsep pop a-go-go. Istimewanya, lagu berkenaan menggandingkan dua vokal lama baru, M Nasir dan Mawi, yang menghiburkan.

Duet terbabit dikatakan berlaku secara spontan apabila penyampaian Mawi membuat gurunya itu tergerak untuk menyumbangkan suara bagi lagu berkenaan. Hasilnya membanggakan dan tidak mustahil lagu ini melebarkan lagi penguasaan juara AF3 itu dalam carta lagu popular tempatan.

Sementara Yang Tercinta, lagu yang diangkat sebagai judul album, memaparkan lirik dan sentuhan yang menyentuh topik kemanusiaan manusia sejagat dalam menghadapi cabaran dan rintangan untuk mencari keadilan dan keamanan, baik dari segi persekitaran mahupun secara spiritual.

Album ini pada awalnya dijangka menjengah pasaran pada 25 Oktober lalu. Namun, berikutan matlamat syarikat rakaman Maestro Records dan penerbit yang mahukan ia menjadi khazanah tidak dilupakan, maka Yang Tercinta ditangguhkan pengedaran. Akhirnya ia menemui peminat pada 16 November.

M Nasir yang berperanan sebagai peneraju konsep dan arah tuju A&R keseluruhan album ini berpendapat, dia perlu mengambil sedikit masa tambahan bagi memastikan album ini muncul dengan visi muzik yang seadanya dari hati sanubari Mawi sebagai penyanyi, dan dirinya, Yasin, Ajai serta Fauzi sebagai karyawan seni.

Album ini juga membawa mesej kemanusiaan sejagat yang menyentuh setiap individu berhubung hal yang tersirat di hati, hinggalah ke persoalan dunia dan akhirat.

Dengan itu juga judul album bertukar dari tajuk asal Aduh Saliha kepada Mawi …Yang Tercinta. Tajuk ini dipilih berdasarkan peranan Mawi dalam album ini - penyampai maklumat yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang penghibur yang menggunakan bakat nyanyian suaranya, bagi menarik perhatian umum untuk berhibur sambil berfikir bersamanya.

FAKTA: Album Mawi …Yang Tercinta

* Pesanan cetakan pertama untuk album ini mencecah angka 53,000 unit dengan 58 peratus (31,000 unit) daripada jumlah itu adalah untuk CD dan selebihnya iaitu 22,000 unit adalah kaset. Ini bermakna, pada hari pertama berada di pasaran album Yang Tercinta berhak menerima anugerah platinum berkembar (bagi penjualan melebihi 50,000 unit).

* Terkini, koleksi anugerah dari segi penjualan album Mawi ialah anugerah platinum berkembar enam (penjualan melebihi 150,000 unit) untuk Best Of Mawi World dan platinum untuk Best Of Mawi World Versi MTV Karaoke.

* Lagu Aduh Saliha pula menduduki tangga pertama di setiap carta seluruh tanah air dan meneruskan fenomena Mawi di corong radio. Apa yang memberangsangkan ialah keupayaan lagu terbabit menduduki carta nombor satu Muzik Muzik TV3 pada minggu pertama sejak 6 Oktober lalu dan akan dipertandingkan pada Separuh Akhir Juara Lagu TV3 2005 esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan