Halaman

Jumaat, November 18, 2005

‘Bukan mudah mencari aktor sehebat M Nasir’

petikan Berita Harian 18 November 2005
Oleh Hanisah Selamat

Badi Gusti Putri Retno Dumilah yang tercari-cari kekasih hatinya, Hang Tuah seperti mana ditonjolkan menerusi filem Puteri Gunung Ledang (PGL) terbawa di alam realiti

HINGGA kini Datin Seri Tiara Jacquelina belum menjumpai aktor bersesuaian bagi watak itu untuk muzikal PGL.

Melihat tarikh pementasan yang dijadualkan bermula sepanjang Februari depan, ketiadaan pelakon bagi peranan Hang Tuah adalah situasi membimbangkan. Namun Tiara selaku tulang belakang produksi ini masih mampu menguntum senyuman.

“Siapa yang tidak risau kalau Hang Tuah belum ditemui. Bukan mudah mencari aktor sehebat M Nasir. Kami sudah membuka peluang kepada ramai pelakon menerusi uji bakat tetapi hingga kini belum menampakkan hasilnya.

“Kalau mahu memilih calon watak ini, banyak perkara perlu dititikberatkan. Orang sudah biasa dengan visual M Nasir sebagai Hang Tuah. Jadi kami perlu mencari calon setandingnya. Tugas ini bukan mudah. Takut kalau salah pilih nanti kata tak macho lah, kurang sesuailah dan macam-macam lagi.

“Tapi kami tidak akan berhenti mencari Hang Tuah. Peluang dan ruang masih dibuka. Tak kira orang baru atau lama, kalau sesuai kita akan pertimbangkan,” katanya ketika ditemui di rumah terbukanya dan suami tercinta, Datuk Seri Effendi Norwawi di kediaman mereka, baru-baru ini.

Ramai rakan termasuk daripada kalangan orang industri perfileman, teman sealiran serta warga penerbitan berbesar hati menghadiri majlis istimewa itu. Lebih bermakna, pasangan berkenaan turut meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.

Mendengar ceritanya berkenaan persediaan menjayakan produksi PGLM yang bakal bergema di Istana Budaya Kuala Lumpur selama sebulan nanti, terdetik di hati betapa gigih produser ini mahu memastikan muzikal terbabit dapat direalisasikan.

Melihat hasil yang diperoleh menerusi kemaraan filem PGL di mata dunia serta laluan getir yang terpaksa ditempuhi, pasti ramai di luar sana yakin usahanya tidak sia-sia. Lambat atau cepat, ‘Hang Tuah’ pasti ditemui sedikit masa lagi.

Ditanya sama ada nama-nama besar seperti Eman Manan atau Rosyam Nor sudah dirisik, Tiara sambil tersenyum mengakui kedua-dua aktor terbabit awal-awal lagi sudah angkat tangan kerana mereka hanya boleh berlakon tetapi tidak menyanyi.

“Mereka sudah saya temui. Sama ada Eman atau Rosyam tidak mungkin mampu menyanyi kerana konsep pementasan adalah muzikal. Sampai satu tahap saya berkata kepada Adlin (Aman Ramlie), susah susah biarlah dia menjadi Hang Tuah.

“Tetapi apabila difikir semula, di layar perak orang sudah kenal dia sebagai Sultan. Nanti agak janggal pula jika tiba-tiba wataknya berubah kepada Hang Tuah.

Bagi karektor itu sudah pasti kami mahu mencari calon yang boleh berlakon dan menyanyi dengan bagus,” ujarnya lagi.

Biarpun tanpa Hang Tuah, sejak beberapa bulan lalu dia sudah mula berlatih termasuk menjalani latihan vokal di bawah bimbingan Syafinaz Selamat malah hanya perlu mempertajamkan semula lenggok tarian dan tertib puteri Kraton.

“Kalau ikutkan persediaan saya sudah 50 peratus. Untungnya kerana saya pegang watak yang sama. Paling sukar mungkin pada vokal tetapi saya sudah mula berlatih. Cuma saya akan ke Solo semula untuk tempoh dua minggu memperhalusi tarian Jawa.

“Segala-galanya perlu diambil perhatian termasuk cara bercakap, berjalan dan bermacam lagi. Dulu saya perlu mempelajari sejenis peralatan muzik, rebab yang mengajar kita menjadi lebih sensitif. Sukar atau tidak, saya mahu mengembalikan semangat puteri Kraton untuk muzikal ini,” tambahnya.

Manakala latihan secara berkumpulan, ia sudah bermula minggu lalu termasuk menghimpunkan 35 bakat muda daripada Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan Audition yang akan membawakan pelbagai watak serta pelapis kepada barisan tunjang utama.

Bercakap mengenai pembikinan lagu, kira-kira 20 dendangan akan diperdengarkan sepanjang pementasan dan sudah pasti kebanyakannya lebih menjurus kepada tema cinta berlandaskan paparan keseluruhan pementasan yang lebih kepada kronologi perhubungan puteri dan Hang Tuah.

“Seperti mana Asmaradana dulu yang mampu membuka mata masyarakat mengenai kehadiran PGL, mengikut perancangan kami akan menerbitkan single dulu. Susunan muziknya masih cenderung kepada elemen komersial.

“Kisah yang diketengahkan juga ringkas tetapi dramatik. Pastinya selain skrip, pelakon dan aspek lain, keutamaan diberikan kepada lagu serta menonjolkan ‘feel’ epik menerusi penataan pentas di bawah sentuhan Raja Malik Raja Mohamad,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan