Halaman

Selasa, Oktober 11, 2005

Duet Idola semarakkan Aidilfitri

petikan Berita Harian 11 Oktober 2005
Oleh Hanisah Selamat

Semua stesen televisyen kini bersiap sedia untuk menyajikan program hiburan menarik sempena kedatangan Syawal termasuk TV3

PERJALANAN Ramadan, bulan yang penuh kemuliaan ini, ia akan berakhir dengan diraikan kesyukuran sempena 1 Syawal kelak. Selepas sebulan berpuasa, tibalah saat yang ditunggu-tunggu iaitu menyambut hari kemenangan.

Sempena kehadiran Syawal, TV3 juga tidak ketinggalan menyerikan hari lebaran dengan pelbagai program istimewa termasuk muzikal yang diberi judul Duet Idola Aidilfitri. Berbeza rancangan hiburan lain, program bertemakan Sentuhan Ikhlas itu menggandingkan ramai penyanyi tersohor yang dipadankan secara berpasangan, malah ada yang pertama kali berpadu suara.

Penerbitnya, Khalijah Mohamed, berkata pihaknya inginkan kelainan apabila memilih lagu duet sebagai penyeri Aidilfitri kali ini sekali gus menggabungkan dendangan hari raya dan lagu hits dalam satu program.

“Pemilihan artis dan lagu diadakan sejak sebulan lalu. Sama ada penyanyi atau dendangan, ia dipilih bersandarkan populariti. Sudah tentu setiap artis adalah idola peminat.

“Bukan saja dendangan menyentuh kalbu menerusi lagu raya yang sentiasa segar diingati. Duet Idola turut menyelitkan rangkaian lagu hits untuk mengembalikan nostalgia kepada penonton,” katanya ketika ditemui selepas rakaman rancangan itu di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.

Rakaman yang dibahagikan kepada dua segmen itu membabitkan Ramli Sarip dan Misha Omar, Amy (Search)-Ning Baizura, Nash (Lefthanded)-Ezlynn dan Anuar Zain-Dayang Nurfaizah bagi siaran pada hari raya pertama, jam 6.30 petang.

Manakala sesi kedua disertai Jamal Abdillah dan Ella, Jaclyn Victor-Nita (Juara Malaysian Idol 2), Nurul-Ajai serta M Nasir-Zainalabidin untuk siaran pada hari raya kedua, bermula pada waktu sama.

Jika Ning Baizura bersama Amy menyampaikan Senandung Hari Raya Untukmu dan Fantasia Bulan Madu, Misha yang pertama kali beraksi duet dengan Papa Rock itu pula bakal menambahkan sendu hari raya kelak menerusi lagu Musafir Di Aidifitri dan Doa Buat Kekasih.

Gandingan Nash dan Ezlynn juga tidak menghampakan menerusi lagu Aidilfitri dan Dua Insan. Pasangan duet serasi, Dayang bersama Anuar juga terus menyuntik semangat hari raya ini apabila mendendangkan Seloka Lebaran selain Kini Bebas.

Suara Takbir yang dilagukan Jamal dan Ella pula punya kesyahduan tersendiri, manakala dendangan Jac bersama Nita menerusi Indahnya Beraya Di Desa seakan menggamit ramai untuk segera pulang ke kampung halaman.

Begitu juga lagu Bergembira Di Hari Raya yang dialunkan beramai-ramai sebagai penutup tirai. Antara lagu lain ialah Diakhir Garisan (Jac/Nita), Satu/Ada (M Nasir/Zainal Abidin), Jangan Pisahkan (Nurul/Ajai), serta Mendung Tak Bererti Hujan (Jamal/Ella).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan