Halaman

Isnin, Oktober 24, 2005

Aduh Saliha masuk Muzik-Muzik 20

petikan Berita Harian 24 Oktober 2005
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Aduh Saliha nyanyian juara bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi adalah antara 30 lagu daripada tiga kategori yang layak menyertai Muzik Muzik 20 Separuh Akhir, November ini

LAGU sentuhan komposer tersohor, M Nasir yang dinyanyikan Mawi pada konsert kemuncak AF3 itu mengiringi sembilan lagu lain untuk bertanding dalam kategori Etnik Kreatif dan Irama Malaysia.

Mawi apabila ditanya mengenai pencalonan Aduh Saliha berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang pantas memandangkan lagu berkenaan baru saja beberapa minggu tersenarai dalam carta Muzik Muzik 20.

“Memang terlalu awal tetapi ini yang dikatakan rezeki. Baru beberapa minggu, Aduh Saliha sudah layak ke Separuh Akhir sedangkan lagu lain yang sudah lama gagal mara. Saya sangat bersyukur.

“Namun, saya tidak berani meletak harapan tinggi. Saya hanya berserah di samping mempertingkatkan mutu vokal dan persembahan untuk tidak menghampakan kepercayaan yang diberikan ini,” katanya.

Melihat kepada senarai pencalonan Muzik Muzik 20 Separuh Akhir, komposer prolifik, Adnan Abu Hassan mendahului apabila empat lagu sentuhannya terpilih, disusuli M Nasir dan komposer muda, Cat Farish dengan tiga lagu.

Tiga daripada lagu ciptaan Adnan bertanding dalam kategori Balada, dua daripadanya dinyanyikan bintang Akademi Fantasia iaitu Tangisan Dalam Kerinduan (nyanyian Farah) dan Memori Bahagia (Sahri).

Turut terpilih ialah lagu nyanyian Aishah, Tiada Lagi Tangisan selain Nurul Ain nyanyian penyanyi baru, Rayna Hairina yang bertanding dalam kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif.

Sementara itu, Cat Farish daripada Ruffedge pula menyandarkan harapan kepada dua lagu yang dipertandingkan dalam kategori Pop Rock iaitu Dayang Sayang Kamu (Dayang Nurfaizah) dan Milikku (Zahid).

Sebuah lagi ciptaan Cat iaitu Goyang Habibi nyanyian Ruffedge bertanding bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif.

“Saya menghasilkan lagu untuk Dayang Nurfaizah dan Zahid pada masa yang hampir sama. Tidak sangka kedua-dua lagu itu diterima baik. Ini yang dikatakan rezeki dan syukur sentuhan saya diiktiraf.

“Sebagai komposer baru, saya melihat pencalonan ini sebagai tiket untuk meneruskan perjuangan dalam arena penciptaan lagu,” kata Cat.

Bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, Noraniza Idris masih mempertahankan keunggulan apabila kembali bertanding dalam siri program berprestij yang memasuki edisi ke-20.

Untuk tahun ini, dia mengharapkan tuah sentuhannya, Ayuh Juragan. Selain Noraniza, Waheeda juga kembali menerusi sentuhan Trabye, Binafsha manakala Syazliana mengharapkan tuah kepada sentuhan Pak Ngah iaitu Gurindam Sang Puteri. Pak Ngah juga mempertaruhkan sebuah lagi lagu nyanyian Zehra Zambri, Semalakama.

Berbanding Irama Malaysia & Etnik Kreatif, kategori Balada menyaksikan persaingan sengit apabila nama besar dalam industri hiburan menghadapi tentangan daripada penyanyi bakat baru.

Kategori ini memperlihatkan kehadiran semula Misha Omar, Aishah dan Ning Baizura yang akan bersaing dengan penyanyi baru seperti Farah, Jaclyn Victor, Sharifah Zarina, Azharina dan Sahri.

Dari segi pencalonan, Adnan mengungguli kategori ini dengan tiga lagu, disusuli adiknya, Azlan Abu Hassan yang mempertaruhkan dua lagu, Dedebu Cinta (Misha Omar) dan Elegi Sepi (Azharina).

Saingan mereka tentu sekali daripada Langit Ke-7 ciptaan Master G nyanyian Sharifah Zarina dan Awan Yang Terpilu (Lin Li Zhen/Ning Baizura) yang terlebih dulu dinobatkan sebagai Lagu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 12.

Kehebatan vokal bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor juga membantu memberi laluan mudah kepada Gemilang untuk menempa tiket ke final.

Dalam kategori Pop Rock, pencalonan juga dikuasai nama besar membariskan penyanyi seperti Spider, Dayang Nurfaizah, Hazami, VE dan Zainalabidin. Mereka menghadapi tentangan daripada artis baru seperti Zahid, Jinbara dan Gerhana Ska Cinta.

Persoalannya apakah VE yang menyandarkan harapan dengan dua pencalonan, Pop Ye Ye dan Message Girl mampu mara ke peringkat akhir? Mungkinkah Cinta Dewa Dewi sentuhan M Nasir mengulangi kejayaan yang dicipta Spider dalam Anugerah Juara Lagu Ke-19 tahun lalu?

Semua persoalan itu akan terjawab dengan berlangsungnya Muzik Muzik 20 Separuh Akhir. Separuh Akhir Irama Malaysia & Etnik Kreatif akan berlangsung pada 15 November ini, jam 4.30 petang, disusuli Balada (16 November) dan Pop Rock (17 November).

“Pemilihan lagu dibuat berdasarkan kepada kedudukan lagu di dalam carta mingguan selama 47 minggu yang disiarkan menerusi program Muzik Muzik setiap Khamis, jam 4.30 petang,” kata Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi, Azhar Borhan.

SENARAI LAGU YANG LAYAK KE SEPARUH AKHIR MUZIK MUZIK 20

IRAMA MALAYSIA & ETNIK KREATIF:

1. Binafsha Trabye/Waheeda/Waheeda
2. Goyang Habibi Cat Farish/Ruffedge
3. Dendang Sahutan To’ki/To’ki dan Andy Flop Poppy
4. Aduh Saliha M Nasir/Loloq/Mawi
5. Benang Emas Eddie Hamid/Ku Seman/Achik & Siti Nordiana
6. Senang Tari Farihin/Ain & Alia Elkine/Ning Baizura
7. Gurindam Sang Puteri Pak Ngah/Siso/Syazliana
8. Nurul Ain Adnan Abu Hassan/Faris/Rayna Hairina
9. Semalakama Pak Ngah/Ce’Kem/Zehra Zambri
10. Ayuh Juragan Noraniza Idris/Ahmad Fedtri Yahya/Noraniza Idris


BALADA:

1. Dedebu Cinta Azlan Abu Hassan/Ucu/Misha Omar
2. Tangisan Dalam Kerinduan Adnan Abu Hassan/Farah
3. Gemilang Aubrey Suwito/Asmin Mudin/Jaclyn Victor
4. Tiada Lagi Tangisan Adnan Abu Hassan/Mohariz/Aishah
5. Langit Ke-7 Master G/Marsya/Sharifah Zarina
6. Awan Yang Terpilu Lin Li Zhen/Loloq/Ning Baizura
7. Tangisan Marhaenis M Nasir/Loloq/Hattan & Dia Fadila
8. Elegi Sepi Azlan Abu Hassan/Julfekar/Azharina
9. Memori Bahagia Adnan Abu Hassan/Faris/Sahri
10. Bila Rindu Azan Addin/Ruffedge


POP ROCK:

1. Cinta Dewa Dewi M Nasir/Loloq/Spider
2. Dayang Sayang Kamu Cat Farish/Dayang Nurfaizah
3. Pop Ye Ye VE/Zaf & Cham/VE
4. Senyuman Ragamu Eddy J Herwan/Edy & Radhi OAG/Gerhana Ska Cinta
5. Kata Hazami/Hazami, Tris & Arab/Hazami
6. Milikku Cat Farish/Zahid
7. Rahsia Fathul/Flop Poppy
8. Kasihnya Laila Mala/Pak One/Jinbara
9. Message Girl Damien Shortysoul/VE
10. Gaia Pacai & Zainalabidin/Pacai/Zainalabidin

Apa kata penyanyi yang pertama kali bertanding

Farah

“SYUKUR kerana walaupun Tangisan Dalam Kerinduan sudah lama popular, namun peminat terus memberi sokongan hingga layak ke Separuh Akhir. Secara peribadi, Farah tidak mahu meletak harapan yang terlalu tinggi.
“Apa yang penting, Farah akan membuat latihan secukupnya untuk tidak menghampakan semua. Farah tidak mahu terlalu memikirkan soal pertandingan kerana ia akan memberi tekanan. Farah harap tidak melakukan kesilapan kerana perkara remeh,” katanya.

Zahid

“GEMBIRA kerana dapat bertanding dengan mereka yang sudah biasa dalam pertandingan ini. Hati siapa yang tidak berbangga kerana tersenarai bersama komposer dan penyanyi yang sudah terkenal di negara ini.
“Zahid sangat bersyukur dan berterima kasih kerana Milikku mendapat kepercayaan besar peminat. Peluang ini adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan,” katanya.

Sahri

“TERPERANJAT kerana banyak lagu yang bagus dan popular menyertai pertandingan ini. Namun, pada masa sama terselit juga perasaan bangga. Saya berada di sini adalah atas kehendak peminat.
“Memori Bahagia mempunyai kekuatan pada melodi dan liriknya yang indah. Penghayatan juga memainkan peranan besar kerana gagal menghayatinya, saya tidak mampu menyanyikan lagu ini dengan baik,” katanya.

Jaclyn Victor

“PERASAAN bercampur baur, teruja kerana pertama kali bertanding dan takut apabila melihat nama besar yang bertanding. Memikirkan itu saja sudah buat saya berdebar. Saya tidak berani menaruh harapan tinggi.
“Kalau ada rezeki, adalah... Muzik Muzik menjadi landasan terbaik untuk memberi pendedahan kepada penyanyi baru seperti saya. Satu pengalaman yang cukup berharga terutama apabila dapat berkumpul dengan ramai penyanyi yang baik,” katanya.

Dia Fadila

“DARI segi melodi, Tangisan Marhaenis adalah sebuah lagu yang kuat. Saya melihat gabungan ini sebagai sebuah pakej kerana ia disertai penulis lirik yang baik, Loloq serta Hattan, penyanyi yang diakui bakatnya.
“Cuma, saya sebagai penyanyi baru agak gerun apabila menerima penghormatan ini. Banyak yang perlu diperbaiki. Apabila mendapat tahu lagu ini layak, saya asyik memikirkan soal latihan saja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan