Oleh WANDA IDRIS
petikan Utusan Malaysia
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan kalau M.Nasir mencetuskan kontroversi. Setiap butir kata yang dilontarkan, seringkali menjadi topik perbualan ramai.
Kehadirannya sebagai pengetua Akademi Fantasia 3 (AF3) bukan sahaja diperkatakan malah pandangan kritisnya terhadap beberapa pelajar juga dipertikaikan. Khususnya apabila dia menyebut nama Mawi sebagai pelajar yang patut tersingkir, ramai peminat fanatik program itu menjadi marah.
Ramai yang kata, sebagai pengetua, M. Nasir tidak sepatutnya berkata begitu; sekalipun itu sekadar pandangannya sebagai seorang profesional.
Malah bahasa `kau/aku' yang digunakan sewaktu bercakap dengan para pelajar di akademi pun turut menjadi isu.
Mega berkesempatan bertemu M. Nasir baru-baru ini di pejabatnya di Luncai Emas, Sungai Buloh, Selangor dan bertanya kepadanya tentang kontroversi yang tercetus di samping pandangannya terhadap para pelajarnya di akademi.
MEGA: Bila anda menyebut Mawi patut disingkirkan beberapa minggu lalu, ramai yang marah-marah. Apa pendapat anda?
M. NASIR: Kalau sekarang ini saya nak buang pun boleh. Saya kan pengetua (ketawa).
Kadang-kadang orang bermain dengan emosi kerana pilih kasih. Tapi kadang-kadang tak mengaku. Kerana mereka ni dah jatuh cinta dengan program itu. Jadi mereka mempunyai emosi yang semacam... sokong orang yang dia suka sekali.
MEGA: Apa perasaan anda bila orang marah-marah begitu sedangkan itu hak anda?
M. NASIR: Saya lihat dari sudut, siapa yang beri komen. Tapi saya rasa saya punya satu kedegilan.
MEGA: Apa yang cuba disampaikan sebenarnya apabila anda memberi komen begitu.
M. NASIR: Kenapa tak boleh pula? We are in a business of memberitahu. Dalam memberitahu, ada benda yang lebih menarik yang orang nak tahu lagi. Media... televisyen... ia menerangkan. Dalam hiburan juga. Jadi banyak perkara yang akan berlaku dan memberi kesan kepada emosi orang.
Kadang-kadang dia macam politik juga. Kadang-kadang macam business. Kalau dalam bidang media, kebanyakannya kerana business. So kita nak duduk kat mana, itu terpulang kepada kita. Dan saya tidak akan memberitahu, saya duduk di mana...
MEGA: Sebagai pengetua, apa pandangan anda?
M. NASIR: Sebagai pengetua, sasaran saya ialah untuk membawa pelajar ke tahap yang saya rasa mereka boleh tercapai - untuk jadi penyanyi dan pelaku (performer). Pandangan saya dalam dunia hiburan begitulah. Kita mencari kedua-duanya.
Mungkin ia satu tugas yang boleh dikatakan mustahil dalam jangka masa tiga bulan. Sebab untuk kenal mereka sahaja mengambil masa tiga minggu. Dari situ baru kita boleh bergerak mencari kebolehan mereka.
Sejauh ini, kebanyakan yang datang ke akademi tidak mempunyai dasar. Itu sebab ramai yang tak interpretasikan lagu yang dinyanyikan dengan baik. Macam mana nak interpretasikan ialah dengan cara meniru. Tapi itu satu daripada cara belajar.
Jadi sebenarnya ia mengambil masa yang lama kalau betul-betul nak jadi artis yang baik. Umpamanya kalau orang pergi ke sekolah seni persembahan, mereka belajar bertahun-tahun untuk dapatkan dasar saja.
MEGA: Macam mana nak `masukkan' semua pelajaran itu dalam masa yang singkat?
M. NASIR: Mereka yang masuk memang sudah punyai satu benda yang in common iaitu bakat alam. Kebanyakannya mempunyai keistimewaan. Bakat alam menyanyi dan the next to perform. The next maknanya bukan sebarang orang boleh, `eh! kau nyanyi' dan dia menyanyi di depan orang. Tak semua orang boleh buat begitu. Ada orang malu. Tapi budak-budak ini, mereka buat. Dalam kekok ke... apa ke... dia buat juga. Maknanya, dia dah ada kemahuan untuk menjadi penyanyi/pelaku. Hanya pengetahuan dan kemahiran yang kita sedaya upaya hendak berikan kepada mereka dalam tempoh yang singkat.
MEGA: Bila terajui AF3, apa sebenarnya yang M. Nasir nak buat?
M. NASIR: Pada dasarnya sesiapa yang masuk akademi ialah untuk mempertingkatkan kualiti persembahan dan kemahiran. Tapi kalau boleh satu hari nanti saya mahu mereka menjadi artis... yang ada gred. Jadi artis yang berkaliber dalam erti kata sebenar. Tapi itu hanya cita-cita kecil saya untuk dia orang.
MEGA: Orang juga mempertikaikan mengapa anda sebagai pengetua bercakap `kau/aku' dengan pelajar. Ada kata tak bagus.
M. NASIR: Beginilah... orang kadang-kadang lupa bahawa kita dalam akademi persembahan yang berhadapan dengan mereka yang berjiwa seni.
Kita bukan akademi tentera. Kita berurusan dengan artis tau. Artis satu golongan yang agak berbeza daripada orang lain. Satu golongan kreatif yang emosinya lebih... sensitivitinya tinggi.
Jadi saya rasa pendekatan yang diambil perlulah menjadikan dia lebih meluahkan... sebab dia nak memberikan hiburan kepada orang. Bukan dalam ketakutan dia nak memberi hiburan kepada orang. Ada pendekatan yang tertentu. Tapi tak bererti dia mesti tegaskannya...
MEGA: Apakah anda merasakan cara aku/kau lebih diplomatik?
M. NASIR: Tapi saya rasa, kau dan aku daripada saya tak sama dengan kau dan aku bila budak-budak bercakap. Bahasa yang saya gunakan agak berbeza sedikit. Kau dan aku ada peringkatnya... Kalau kekasih berbual, jadi lain. Tapi aku daripada Nasir (M.Nasir) lain tau... Dia tak kurang ajar. Dia tak kasar tau... Dia masih ada standard lagi. Nak percaya atau tidak, suka hatilah... terpulang... (ketawa)
MEGA: Selepas sebulan kita dapat lihat, ada kalangan pelajar berpotensi terkeluar. Jadi sebagai pengetua, bagaimana anda boleh memberitahu kepada pengundi agar menilai bakat pelajar?
M. NASIR: Saya ingat itu bukan tugas saya. Apa yang kita buat, cuma ajar orang, beri ilmu kepada mereka. Kita bagi tahu tentang kualiti setiap hari. Tapi kalau seseorang itu mempunyai sesuatu yang luar daripada kualiti... yang menjangkau kualiti... itu dipanggil genius ataupun yang dipanggil x-factor. Suara yang sedap pun ada satu standard. Tapi manusia yang telah dilahirkan ada suara sedap dan perangai menarik umpamanya, akan menutup segala keburukannya.
Kita nak ajar orang apa yang bagus tapi kadang-kadang antara kita pun ada pendapat masing-masing. Akhirnya kita serahkan pada masyarakat balik. Tapi kalau mereka yang tahu dan nak belajar, dia akan datang kepada kita. Itu kepada mereka yang sedar.
MEGA: Anda pernah komen, Elliza. Ada yang berpendapat, komen itu telah mempengaruhi kejatuhan peratusan undian untuknya.
M.NASIR: Saya komen di dalam sekolah. Saya kata, `Kalau begini (sikap) kau, tak boleh jadi artis besar. Kau boleh jadi artis la... Tapi tak boleh jadi artis besar.'
Mungkin saya memberi dia satu pandangan kerana dia tak kan bertahan jika dia macam itu dalam dunia entertainment yang lebih zalim.
Beginilah... Dunia entertainment luar, kadang-kadang ada artis yang jangka kerjayanya pendek... ada artis yang jangka kerjayanya panjang. Orang memerhatikan kelakuan kita. Ada artis yang apa sahaja dia lakukan pun, orang masih lagi memberikan tumpuan pada dia. Kebanyakan itu ada sangkut paut dengan kehidupan manusia. Macam orang yang dah berkahwin, macam mana suami dia buat jahat pun, dia masih sayang. Atau isteri dia dah buat macam-macam, tapi dia masih sayang.
Begitu juga dengan artis bila orang dah jatuh cinta kepadanya. Sebab ada sebahagian artis kita macam tu. Tapi ada artis yang tak boleh jadi artis besar. Saya tak mahu train artis kecil... Itu saya punya prinsip.
Nak jadi artis, jadi artis besar. Kalau tidak let it go. Sebab ada sikap negatif yang buat orang tak suka terhadap diri kita.
MEGA: Dan maksud anda, sikap negatif Elliza ialah sikap keanak-anakannya?
M. NASIR: Saya tak tujukan kepada Elliza. Semuanya sekalilah... Tapi saya tak effect dia keluar. Itu di tangan peminat. Saya akan beri komen pada semua pelajar sama ada dia dalam keadaan berseorangan atau pun beramai. Dan dalam program itu, semua orang akan tengok.
Jadi komen akan tetap ditujukan pada pelajar. Dia dah masuk ke situ, dia harus menghadapinya. Itu sebab saya kata, orang yang masuk AF semuanya berani-berani. Dia dah menjual satu bahagian daripada hidup dia. Bayangkan berdiri di atas pentas dan orang komen tentang kau begini-
begini... dan kau, `terima kasih'. Kau perlu tunjukkan muka tebal kau dengan tersenyum. Artis kita tak boleh... menangis (ketawa)... Tapi itulah games...
MEGA: Komen anda tentang sikap dan perangai pelajar-pelajar anda?
M. NASIR: Budak-budak tu ada bakat. Tak ada seorang pun yang tak boleh menyanyi. Buat masa sekarang, saya tidak terasa kecewalah kalau perangai mereka begini atau begitu. Lebih penting mereka orang muda. Tapi tak muda sangat. Itu yang masalah... muda tak muda sangat... tengah-tengah. Sedang menghadap kematangan.
Bila dah terkurung, perangai sebenar pun keluar. Having fun tu dia orang suka. Kadang-kadang kita nampak dia tak belajar tapi sebenarnya dia belajar. Tapi kita tak tahu masa bila dia belajar. Walaupun dia dalam keadaan ketawa, kita tak tahu dia belajar, jangan kita nak hentam dia sebarangan hanya kerana dia ketawa. Tak boleh.
Kita pun dah tahu dari mana mereka datang... kebun mana, kampung mana, kota mana dan negara mana dan kita dah dapat agak sedikit perangai mereka.
Bila kita dah mempelajari perangai mereka, jadi kita tahu pendekatannya. Misalnya, Mawi daripada Kulai, felda... takkan sama dengan Fuad umpamanya yang dah terkeluar tu kan... Jadi warna-warna ini yang menarik dalam Akademi Fantasia ni.
MEGA: Apa pandangan anda terhadap para pelajar anda?
M. NASIR: Felix seorang murid yang rajin dan perangainya disenangi kawan-kawan. Dia mempunyai bakat alam, kalau kata bakat besar tak bolehlah... tapi dia ada bakat istimewa. Istimewanya ada daripada tone dan range suaranya. Tapi teknik tu dia kena belajarlah. Kekekokannya itu keistimewaan dia. Tapi dia tak boleh bertahan di luar jika selamanya kekok je... (Tapi) dia tidak boleh juga berubah overnight.
Mawi... ini satu dunia baru bagi dia. Dia rajin juga... dan improving hari demi hari.
Yazer juga seorang murid yang rajin. Bila dapat lagu terus belajar. Amylea seorang penghibur yang baik, Idayu menyanyi dengan bagus. Begitu juga dengan Akma, Ekin, Marsha dan Amy. Reza, Kefli dan Aidil pun boleh develop, in fact dia orang dah develop.
Macam saya katakan tadi, ada benda yang kena ditinggalkan, ada yang perlu ditambah. Kalau siapa yang degil, saya tak hairan... saya boleh faham sikap mereka... Apa yang pasti, semua rajin. Mereka memang nak jadi penyanyi/pelaku... bukan sekadar nak masuk Akademi Fantasia untuk glamor.
Of course mereka ada kelemahan. Perangai manusia. Daripada luahan dia orang tu, lagi kita boleh baca.
MEGA: Siapa pelajar yang berpotensi untuk menjadi pelaku dan penyanyi.
M. NASIR: Beberapa pelajar... tapi buat masa sekarang terlalu awal untuk diperkatakan sebab ada beberapa perkara yang mereka tak lepas lagi. Terutama dalam kelas nyanyian dan vokal.
MEGA: Antara bakat dan populariti, mana lebih penting untuk jadi pelaku dan penyanyi?
M. NASIR: Dua-dua penting kalau nak hidup dalam industri ini.
MEGA: Mawi berada di kedudukan mana? Pada pandangan seorang pengetua?
M. NASIR: Antara bakat, kadang-kadang seseorang itu jadi popular. Tapi bakat untuk persembahkan diri pun bakat juga. Jadi orang yang tak popular tapi ada bakat jangan cemburu dengan orang popular. Sebab orang popular ini ada bakat untuk popularkan diri dia. Jadi anda maksudkan bakat apa? Bakat menyanyi? Orang popular ada banyak sebab. Tarikan yang ada pada dirinya. Dia mungkin seorang yang cantik, pipi pauh di layang, bibir delima merekah... Ada juga orang yang pendek tapi dia cute dan popular juga. Ada sesuatu yang menarik pada dia yang memang ada secara natural dan di develop sejak dia kecil lagi. Bakat juga datang dari persekitaran dia, cara dia bawa diri dia di khalayak.
Kadang kadang yang rebellious pun menarik. Bakat ini ada macam-macam. Kerana itu dia jadi popular.
MEGA: Pada pandangan anda, siapa yang kekal sampai ke peringkat akhir?
M. NASIR: Sebahagiannya kita tahu dan ada yang kita suka tapi berada dalam kedudukan bahaya juga.
caya lah ... best baca interview dengan sifu ... cool.
BalasPadam