Halaman

Rabu, April 13, 2005

Interaksi: Pasaran muzik kita kecil

Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my
petikan Harian Metro 13 April 2005

PEMBABITANNYA sebagai penulis lirik dan pemain teater bermula ketika dia melanjutkan pengajian Diploma Western Painting dari The Nanyang Academy Of Fine Arts di Singapura pada 1978.

Kemudian, bakatnya dalam bidang nyanyian pula dikesan produser Polygram Singapura, Wan Ibrahim.

Segala-galanya bermula apabila dia membuat persembahan bersama sebuah band tempatan di Kota Singapura.

Bertitik-tolak dari situ, M Nasir kemudian diperkenalkan dalam dunia rakaman seni suara.

Lahirlah sebuah album, Pencinta Seni. Sayangnya, album itu tidak mendapat sambutan yang baik daripada peminat muzik.

Nasir kemudian menubuhkan Kembara dan sempat merakamkan tujuh album bersama..

Malah, dia muncul sebagai pelakon utama dalam filem Kembara Seniman Jalanan ketika itu. Filem itu juga menyaksikan pembubaran Kembara.

Pada 1985, Nasir mengambil keputusan kembali semula sebagai penyanyi solo. Bersama PMC yang kini dikenali sebagai BMG Music, Nasir menghasilkan album berjudul, Solo, Saudagar Mimpi serta Canggung Mendonan. Bersama Warner Music pula, Nasir muncul dengan album berjudul Raikan Cinta.

Apakah Nasir akan muncul dengan album terbarunya tidak lama lagi? Bagaimana pula dengan reunion Kembara?

Adakah M Nasir akan kembali di layar perak selepas membintangi filem cinta agung, Puteri Gunung Ledang?

Bagaimana pula dengan kembara M Nasir menerusi program M Nasir: Destinasi.. Dunia yang dipaparkan di Astro Ria? Ikuti wawancara bersama sifu muzik ini.

Soalan (S): Boleh ceritakan sedikit perkembangan program dokumuzikal M Nasir: Destinasi...Dunia yang anda kendalikan sendiri sebagai pengacara.

Kalau mengikut jadual asalnya, pembikinan program ini sepatutnya sudah berakhir. Tapi, apa yang menyebabkan ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan?

Jawapan (J): Tidak mudah sebenarnya menghasilkan program sebegini. Paling sukar mendapatkan ‘contact’ orang luar dari setiap negara yang dituju.

Mereka ini pula haruslah mempunyai kepakaran yang boleh membantu kita melaksanakan pembikinan program ini ketika berada di sana (di luar).

Tapi, setakat ini, kita tidak hadapi masalah terlalu mencabar dan kita akan meneruskan lagi kembara kita ke destinasi yang seterusnya selepas ini.

S: Khabarnya, anda baru sahaja pulang dari salah satu destinasinya iaitu Maghribi. Bagaimana pengalaman anda ketika berada di sana?

J: Sebagaimana yang ditonjolkan dalam dokumentari lain, orang mungkin sudah tahu kelainan dan keistimewaan yang terdapat di Maghribi.

Tapi, kehadiran saya ke sana adalah untuk melihat sendiri dengan mata kepala saya mengenai kehebatan negara ini.

Apabila berada di sana, ia menambahkan lagi keyakinan saya Maghribi punya sebahagian asal usul muzik moden. Tidak kira apa genre sekalipun, sama ada blues, rock n roll dan sebagainya.

Ini berdasarkan latar belakang sejarah serta geografi negara itu yang pernah dijajah Sepanyol sebelum ini tetapi menjadi sebahagian empayar benua Afrika.

Secara tidak langsung juga orang kulit hitam juga banyak tertumpu di situ serta mereka yang datang dari Timur dan Eropah.

Pertembungan budaya ini mewujudkan segala jenis muzik di sana tetapi yang lebih kelihatan dominan ialah muzik Arab (pengaruh Sepanyol yang pernah dijajah empayar Islam) dan Afrika dalam bentuk yang sudah pun diberikan suntikan fusion.

Menerusi sistem hamba abdi yang dulunya berlaku dengan meluasnya di Eropah dan Amerika Syarikat, segala jenis muzik ini kemudian berkembang apabila ia dibawa keluar.

Memang banyak sebenarnya ciri-ciri kebanyakan muzik dunia yang boleh dilihat di Maghribi dan pastinya sudah ada kajian mengenainya dilakukan.

S: Selepas Maghribi, ke mana pula destinasi seterusnya?

J: Setakat ini kita masih belum punya perancangan lagi. Tetapi, yang pastinya, kita cuba untuk pergi ke negara yang agak berbeza daripada apa yang sudah kita tuju dulu.

Mungkin ke negara yang tidak mempunyai kaitan dengan Turki, Sepanyol dan Maghribi atau Mediterranean. Kita tunggu sajalah nanti kerana kita masih belum mendapat jadualnya lagi.

S: Sedikit hari dulu timbul cerita di dalam ruangan gosip Soseh-Soseh terbitan akhbar ini, syarikat produksi milik anda, Luncai Emas akan dijual kepada syarikat rakaman Warner Music Malaysia. Bagaimana reaksi anda selepas membaca berita itu?

J: Sudah tentu saya terperanjat. Saya juga suruh salah seorang kakitangan di syarikat ini untuk jelaskan perkara sebenar bahawa Luncai Emas tidak akan dijual kepada syarikat rakaman itu.

Sebab saya tidak mahu orang menimbulkan macam-macam spekulasi mengenai perkara ini. Tapi, dalam perniagaan, jual beli adalah perkara biasa. Apa yang memeranjatkan?

S: Tapi, bagaimana boleh timbulnya desas-desus sedemikian?

J: Mungkin juga ia berpunca daripada perbincangan kami bersama Universal Music.

Hasil perbincangan itu, wujud perjanjian antara Luncai Emas dengan syarikat rakaman itu tetapi membabitkan artis di bawah naungan syarikat produksi kami.

Mungkin dari situlah, tercetusnya desas-desus itu. Tapi, kalau hendak diikutkan, tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu.

S: Kenapakah album artis naungan Luncai Emas diedarkan syarikat rakaman lain. Kenapa, tidak Luncai Emas saja menguruskan pengedarannya?

J: Penubuhan asal syarikat ini sebenarnya lebih tertumpu kepada penerbitan, bertanggungjawab mengurus dan menjaga hak cipta karya pencipta lagu dan penulis lirik tempatan. Ia kemudian dipecahkan pula menjadi produksi.

Tapi, untuk bab pengedaran, kita rasa orang lain lebih bagus menguruskan hal berkaitan dengan bidang ini. Jadi, biar mereka sajalah melakukannya. Perlu ada penumpuan khusus kepada sesuatu bidang yang dilakukan.

S: Apa perancangan yang sedang dilakukan Luncai Emas ketika ini?

J: Selain buat perkara biasa, kita sedang berusaha untuk mencari bakat baru yang boleh dijadikan artis naungan syarikat produksi ini.

Kita sudah bentuk Spider dan sekarang ini ada beberapa kumpulan yang datang dan menjalani uji bakat di Luncai Emas.

Kita lihat ada di antara mereka ini berbakat tetapi kita masih belum menandatangani apa-apa kontrak dengan mereka lagi.

Selalunya, kita bagi peluang kepada mereka untuk buat demo. Kita biayai sendiri kos produksinya.

Daripada demo dihasilkan itu, kita nilai semula bakat mereka. Nampaknya ada yang berpotensi dan kebanyakan mereka ini tampil dengan pelbagai idea muzik kreatif.

Tapi, tidak tahulah sama ada ia akan diterima masyarakat Malaysia atau tidak kerana hakikatnya kita sentiasa tidak berasa yakin dengan apa yang dihasilkan industri muzik kita.

Satu persoalan besar juga ialah pasaran muzik kita. Pasaran kita terlalu kecil kerana itu putarannya sama, ia lebih tertumpu kepada pendengar Melayu saja.

S: Tidak ada jalan untuk mengatasinya?

J: Kita benar-benar buntu. Kita ada lebih 25 juta penduduk di Malaysia. Tetapi daripada jumlah itu hanya sebahagian kecil saja masyarakat yang menyokong pasaran muzik kita.

Anggarannya mungkin 500,000 orang. Jumlah ini mungkin akan dipecahkan lagi kepada lain-lain. Tapi, artis kita masih tidak mampu jual album melebihi 100,000 unit.

Mungkin juga kita perlu tinjau pasaran muzik Malaysia kerana hakikatnya hanya orang Melayu saja mendengar muzik Melayu.

Orang Cina, India mungkin kenal artis Melayu tetapi mereka tidak akan beli album Melayu. Industri filem juga mengalami nasib sama.

Kadang-kala kita tidak tahu macam mana nak cakap atau salahkan sesiapa dalam hal ini. Mungkin juga ia berpunca daripada budaya toleransi yang diamalkan masyarakat Malaysia. Begitu juga dengan sejarah pembentukan Malaysia itu sendiri.

Kita tidak seperti Indonesia yang berpegang kepada Pancasila. Tidak kira apa bangsa, mereka ini berpegang kepada satu bahasa iaitu bahasa Indonesia.

Hingga kini, kita masih belum dapat mencari apa formula boleh kita gunakan untuk menghasilkan seni yang berjiwa Malaysia.

S: Bagaimana dengan pembikinan album baru?

J: Sedang dalam perancangan. Bahan sudah ada dan sebahagiannya sudah dirakamkan.

S: Hala tuju muzik anda kali ini?

J: Buat masa ini, saya hanya cuba membuat lagu yang sedap didengar. Hala tuju akan diketahui selepas selesainya pembikinan album ini.

S: Bila pula ia akan dipasarkan?

J: Selewat-lewatnya dalam tahun ini juga. Kalau boleh kita juga merancang untuk mengadakan konsert sempena kemunculan album baru itu.

S: Bagaimana dengan filem?

J: Ada beberapa tawaran filem yang saya terima. Tapi, ia masih dalam perancangan. Namun, ada satu yang benar-benar serius sudah saya pertimbangkan.

Wataknya cukup dramatik dan tidak pernah saya lakukan sebelum ini dan saya juga belum pernah bekerja dengan pengarahnya sebelum ini.

S: Dalam majlis ABPBH 2004, anda tampil dengan persembahan reunion Kembara bersama A Ali dan S Sahlan. Adakah ini titik-tolak kepada kewujudan kembara semula.

J: Reunion itu diadakan sekadar untuk menjayakan segmen persembahan majlis ABPBH 2004 itu semata-mata.

Rasanya tiada masalah untuk Kembara menjayakan persembahan di mana-mana, tapi kalau reunion sebenar untuk buat album, rasanya mungkin tidak.

S: Khabarnya, ada tribute album reunion yang bakal diterbitkan Luncai Emas. Adakah ia bersempena dengan kemunculan Kembara dalam majlis ABPBH 2004 ini?

J: Sebenarnya, projek album ini sudah lama ingin dilaksanakan. Ideanya wujud daripada beberapa band muzik. Ada yang dikenali dan ada yang kurang dikenali. Orang lain yang terbitkan album ini tapi kosnya dibiayai Luncai Emas.

Sememangnya juga kemunculan album ini bertepatan reunion Kembara dalam segmen persembahan ABPBH 2004.

S: Benarkah anda mengucapkan selamat tinggal kepada bidang seni suara tidak lama lagi. Ada ura-ura mengatakan anda akan menjayakan konsert persaraan anda itu di Istana Budaya?

J: (ketawa) Tidak adalah. Saya menyanyi sebab saya mahu menyanyi. Saya akan terus lakukan apa yang saya suka lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan