Petikan Utusan Malaysia 24 April 2005
Ada peminat M. Nasir yang kurang percaya apabila dia menerima tawaran sebagai pengetua Akademi Fantasia (AF) yang baru. Bermimpikah aku? Tanya seorang peminat setia M. Nasir kepada saya.
Kata peminat ini, kenapa M. Nasir perlu merendahkan reputasinya menerima tawaran melatih budak-budak baru hendak belajar menyanyi? Satu lagi, bukankah sebelum ini M. Nasir antara komposer yang banyak kritik ``bintang segera'' realiti televisyen? Jadi kenapa?
``Saya tahu ada yang kecewa dengan keputusan ini, tetapi saya percaya, akhirnya mereka tidak akan dikecewakan,'' ujarnya mengenai rasionalnya terlibat dalam rancangan berkenaan.
Setelah `konfrontasi' dengan banyak orang, termasuk rakan-rakan terdekat akhirnya M. Nasir setuju menggantikan kerusi yang ditinggalkan Ramli M.S yang sebelum itu mengambil tempat Freddie Fernandez.
Ditanya apakah ini satu cara untuk M. Nasir meraih semula populariti, dia menjawab soalan nakal saya dengan selamba.
``Apakah aku tak cukup popular?''dengan ketawa yang panjang.
Kenapa terima tawaran pengetua AF3?
Saya sebenarnya adalah pengkritik setia AF. Tetapi begitulah jadinya, kalau senang-senang kritik orang. Kita selalu dengar cerita bila tak suka orang tetapi akhirnya kita ditemukan. Dalam pemikiran saya ada sesuatu yang boleh diberi kepada rancangan ini walaupun ini adalah sebuah rancangan televisyen. Elemen hiburannya tidak akan lari. Tetapi mungkin saya boleh suntikan elemen serius atau kualiti dari sudut pemahaman saya.
Apakah akan menggunakan pendekatan baru dalam melatih pelajar-pelajar?
Saya bermula dengan industri ini dan saya sudah kenal banyak penyanyi. Saya sudah bekerja dengan mereka. Antaranya ada yang baik dan ada yang tak bagus. Yang tak bagusnya, dia punya tahap tak bagus... Nauzubillah. Yang bagus tu pula tidaklah sebagus mana pun. Dan saya terpaksa membuat dia cantik apabila dia keluar album. Jadi saya rasa pendekatannya tidak jauh bezanya dengan menerbitkan album. Bukan maksud saya memperkecilkan teknik persembahan artis kita, tetapi ada persamaan kaedahnya. Kita kena melihat potensi, mencari sudut positif dalam setiap bakat yang ada. Mungkin anda menantikan M. Nasir yang lagi dahsyat perangainya. Wallahualam. Saya bertindak melihat keadaan.
Ketika Astro menawarkan jawatan ini, apakah reaksi pertama?
Saya rasa mengarutlah ni. Awalnya saya tak terima. Tetapi di saat-saat akhir saya ditawarkan lagi. Masa saya hendak terima anak saya kata, ``Apalah wawa ni, wawa kata tak suka rancangan macam ini. Kenapa ambil?'' (ketawa).
Apa jawapan?
Kau tak tahu, kecil lagi. Jujurnya, saya kurang menonton sebab kurang gemar dengan realiti televisyen. AF ke, Survivor ke, apa ke saya memang tak suka. Tetapi saya melihat ada `sesuatu' di situ.
Sesuatu itulah yang memungkinkan kita melihatnya. Banyak orang yang keliru tentang konsep melahirkan bintang. Bintang itu dilahirkan, bukan dicipta. Pernah tengok Academy Award masa Chris Rock cakap tak ada bintang di sini, yang bintangnya Clint Eastwood saja. Orang lain tepuk tangan sebab mereka terima fakta itu. Bintang tak boleh dicipta, tetapi kita boleh pupuk bakat dan asah. Itulah yang `sesuatu'.
Sebagai pengetua Af, apakah cabaran utama yang rasanya perlu dihadapi?
Satu daripadanya ialah masalah pengurusan diri. Bahagian itu yang kita kadang-kadang abaikan. Kadang-kadang perkataan atau kata-kata kita tak sampai kepada orang lain. Keduanya soal komunikasi dan ketiganya, murid yang bengap.
M. Nasir sukakan sesuatu yang abstrak, simbolik bila bercakap susah orang hendak faham. Macam mana hendak fahamkan pelajar-pelajar yang rata-ratanya masih terlalu `naif' tentang seni?
Pada saya, memahamkan orang tentang sesuatu yang simbolik itulah cabaran yang lebih kuat.
Sejujurnya apakah rancangan realiti televisyen kita telah melahirkan karyawan seni yang membanggakan?
Awak suka tanya soalan yang besar-besarlah. Ia bergantung kepada tujuan. Kalau tujuan kita hendak letakkan diri, standard kita di mana? Sebelum buat sesuatu kena letakkan satu tahap, kalau di tahap yang tinggi kita akan pergi ke situlah. Tapi kalau kita letak rendah, kita tak akan capai apa-apa.
Isteri Nasir (aktres Marlia Musa) turut menjadi tenaga pengajar AF3, ada unsur-unsur persepakatan?
Bila ditawarkan dan dia rasa macam hendak terima lama kami tak bercakap. (terdiam seketika). Saya tak mempengaruhi keputusannya. Saya ingat Marlia terima dulu, tapi dia tak mempengaruhi saya. Dalam bidang ini kita kenalah profesional.
Adakah Nasir tahu Marlia ditawarkan?
Sayakan tidur dengan dia (ketawa). Saya menggalakkan dia. Dan dia pun menggalakkan saya, tapi galakan dia lain sikit.
Af sebelum ini sarat dengan kontroversi sehingga menenggelamkan aspek lain yang lebih penting. Di bawah pentadbiran Nasir, adakah hasrat untuk mengurangkan sedikit kontroversi?
Kontroversi ialah entertainment. Kau nak serius pergi ASK (Akademi Seni Kebangsaan), kenapa datang sini? Memang kita tak mahu benda ini akan jadi terus macam tu. Sebab itu kita hendak buat perubahan. Tetapi ia bergantung kepada murid-murid juga. Bila ada sesuatu, tenaga pengajar ada semangat buat sesuatu yang lebih bagus. Bila tak ada, itu yang kena `cipta'.
Apakah standard penghibur bagi M. Nasir?
Dia kena tahu letak ukuran dia sendiri. Katakan dia hendak jadi seorang penghibur hendak macam Sudirman. Mereka kena tahu sekarang zaman sudah lain. Kita kena bekerja dengan cara sekarang, bukan cara dulu. Kerja di sini kena kejar masa.
Apakah saudara boleh memberi banyak benda dalam masa tiga bulan?
Apalah maknanya masa tiga bulan yang diberi? Tak banyak benda kita boleh buat. Tetapi sekurang-kurangnya pelajar dapat ilmu. Ini adalah peluang yang orang lain susah hendak dapat. Pendedahan yang diikuti seluruh negara. Bagus ke tak bagus ke, negara akan ikuti.
Realiti televisyen diikuti apakah kerana bakat peserta?
Awak ingat sebab bakat? Bukan (menggeleng kepala). Tetapi semuanya kerana emosi. Kita ikut sebab emosi. Saya sendiri bila ikut, terus tertangkap. Semuanya sebab emosi itulah.
Apakah sebelum ini saudara memaksa diri supaya tidak menonton realiti televisyen di Malaysia?
Memang saya tak mahu tengok. Tak hendak tengok walaupun semua orang sibuk bercakap. Tetapi saya faham realiti televisyen ni, itulah konsepnya. Di sebaliknya ada realisme yang jarang orang boleh dapat. Alah, persembahan artis profesional pun bukan realisme. Tetapi itu yang kita nampak, macam real. Ia hanyalah acting saja. Realisme itulah yang sudah tangkap kau orang punya realiti, bukan asuh bakat mereka di sini.
Ada yang anggap jawatan pengetua AF merosakkan reputasi M. Nasir sebagai komposer terbilang. Apa komen?
Ada orang cakap ya? Memang itulah yang banyak datang kepada saya masa mula-mula. Susah juga hendak terima. Macam-macam bermain di fikiran. Kawan-kawan pun ada yang bagi macam-macam pendapat, SMS. Sifu jadi pengetualah, apalah. Tetapi inilah cabarannya. Saya sudah pertaruhkan reputasi aku di sini. Saya letak di sini. Nah! Bukan sekejap saya fikir, sudah berbahas dengan banyak orang. Tapi akhirnya terima sebab mahu tahu elemen yang ada di sebalik realiti televisyen ni. Banyak benda lain saya sudah buat. Sekarang aku mencari elemen di sebalik realiti televisyen ni pula.
Apa kata kawan-kawan rapat bila M. Nasir terima?
Banyak yang bagi positif. Kawan-kawan rapat bagi pemikiran positif. Saya rasa benda ini (realiti televisyen ) macam arus yang kita tak boleh lawan. Apa saja pembaharuan yang berlaku dia datang macam sungai yang besar. Dia jalan terus dan kita tak boleh halang benda ini. Kalau kita buat tak tahu saja, kita akan duduk sambil makan hati sajalah.
Apa yang mahu M. Nasir katakan kepada peminat kecewa?
Mereka akan kecewa. Tetapi akhirnya aku pasti mereka tidak akan kecewa.
Apakah M. Nasir rasa seperti ditinggalkan oleh zaman jika tak terlibat dengan arus baru ini?
Kadang-kadang saya rasa macam tu. Rasa juga. Tapi ini semua cabaran bagi saya. Kalau tak ambil tak jadi hal pun. Tapi sebab ini cabaran, saya ambil. Kau tahu tak ini semua sebuah lakonan? Engkau tahu tak?
Tahu, kenapa?
Habis tu kenapa awak ambil benda ni serius? (Ketawa). Sebabnya dalam lakonan itu ada seriuskan? Sebab lakonan itu memberi kesan kepada masyarakat. Itu kecantikannya dan tak semua orang akan tahu.
Sesuatu yang menghairankan, kenapa lulusan realiti televisyen kita bakatnya sangat menyedihkan? Lupakan Indonesia, dengan bintang mereka, Siangapura pun kita kalah. Kenapa?
Budaya. Ada asasnya yang kita telah terlepas. Masa persekolahan yang kita telah tinggalkan. Kita bermula di tengah dan bersandarkan bakat alam. Pendedahan tentang ilmu seni sangat kurang. Di sekolah lagi cikgu kita tak ajar teknik menyanyi dengan betul, berbeza di negara seperti Indonesia misalnya. Budak-budak kecil dia sudah bagus menyanyi sebab mereka serius perjuangkan seni. Kita anggapkan bidang muzik atau seni di sini hanya hiburan semata-mata. Sebab kita ada satu golongan yang anti benda-benda macam ini, tak boleh buat serius sangat. Di sana tak macam tu. Jadi, kita silap dari segi dasar dan kemudiannya pergaulan kita dengan masyarakat, perbualan dengan orang tua, dengan khalayak. Percakapan kita dengan orang ternama. Kita dengan budak Indonesia memang ada bezanya. Ia ada kena-mengena dengan budaya dan ini tidak boleh kita selesaikan dalam Akademi Fantasia.
Apa yang bagusnya tentang bakat realiti televisyen di luar?
Mereka pandai apa saja. Menyanyi, pengucapan dan segala unsur penting menjadi penyanyi yang baik. Retorik mereka dahsyat. Artikulasi sangat bagus. Di sini kita tak ada. Ini pula ada kena- mengena dengan penguasaan bahasa. Penguasaan bahasa kita longgar sebab kita menggunakan bahasa yang bercampur aduk, Melayu, Inggeris, Cina dan slanga. Sudah tentu ada yang bagus pada mereka bila cara membesar mereka berbeza.
Kekurangan artis kita?
Banyak yang kurang, tapi bukan sebab budak kita tak ada bakat. Ada. Cuma perbezaannya artis kita hanya boleh cakap fasal album dengan jelas. Bagus sangat tetapi mereka tidak menguasai bahasa kita. Itu sebab nyanyian orang Melayu terapung. Di awang-awangan. Menyanyi orang Indonesia melekat. Kita tak menghayati. Menghayati macam mana? Bukan menghayati makna liriknya, lagunya. Tetapi menterjemahkannya. Terjemahan semula, itu yang kita tak ada.
Sebelum ini M. Nasir merdeka, berkarya sendiri boleh buat apa saja. Tetapi kali ini ada pihak lain yang akan pantau, maksudnya Astro. Macam mana?
Selama-lamanya kita tak merdeka. Kau ingat kita merdeka? Dari segi karya pun tak sebenarnya. Di sini pun aku dapat satu `kerehatan'. Rehat daripada terlalu memikirkan perkara yang serius.
Apakah ini caranya M. Nasir mencari keseronokan?
Mungkin juga, itu yang saya cari. Mungkin ada yang mengkritik. Tapi tak apalah.
Apakah ini maknanya M. Nasir pun sudah terikut-ikut dengan budaya popular?
Budaya popular ni satu aliran. Kalau kita pandai gunakannya ia adalah seni juga. Pandai-pandailah hendak buat macam mana.
Berhadapan dengan budak-budak naif ni, adakah M. Nasir akan mengurangkan tahap `keceluparan'?
(Ketawa). Di situlah datangnya realiti televisyen yang orang nantikan. Sesuatu yang jarang orang nampak hari-hari. Itu kena tunggu sajalah.
Harapan orang cukup tinggi bila M. Nasir pegang sebuah rancangan seperti ini. Mampukah membaiki kecacatan yang dihadapkan kepada kita melalui rancangan sebelum ini?
Saya tahu (ketawa). Cabarannya besar. Tapi macam yang saya kata, masa tiga bulan tak boleh ubah banyak benda. Cuma kita cari bakat, korek dan gali. Biar mereka tahu apa yang ada dalam diri mereka. Lain-lain tu kenalah banyak belajar lagi, tak boleh harap kepada akademi saja.
cayalah mnasir !
BalasPadammmg aku suka baca artikel ini kat pancaindera. best gila jawapan2 dia. dgn yakin mnasir jawab, di akhir AF nanti orang tidak akan kecewa dgn hasil ajaran dia kelak.
superb !
Hihihih. Mmg bisa jawapannya.
BalasPadamHarap pelajar & peminat AF dapat membezakan antara seni, emosi dengan popular :)