Halaman

Rabu, Ogos 04, 2004

Puteri Gunung Ledang dapat sentuhan M Nasir

Oleh Suraiya Mohd Nor
petikan Berita Harian online 4 Ogos 2004


MENONTON sesebuah filem tanpa muzik runut bunyi boleh diibarat seperti menyaksikan filem bisu. Mata memandang dan menyalurkan ke minda sedangkan pendengaran diabaikan sehingga hilang sebahagian nikmat tontonan.

Muzik memainkan peranan penting dalam membangkitkan mood dan memberi jiwa pada sesebuah filem. Justeru, filem Puteri Gunung Ledang (PGL) yang dijadualkan menemui penontonnya pada 31 Ogos ini, tidak banyak bezanya.

Namun penonton dapat menyaksikan satu kelainan kerana muzik runut bunyi filem ini bertunjangkan muzik etnik, meletakkan PGL dalam kelasnya yang tersendiri.

Muzik etnik - fusion antara muzik tradisional tempatan, Indonesia dan sedikit pengaruh muzik Barat, dijangka dapat memberi satu pengalaman baru lagi menarik kepada penonton PGL.

Seperti kesan khas terbaik yang membantu memantapkan filem, muzik runut bunyi juga adalah satu elemen penting yang perlu diberi perhatian. Selain paparan visual untuk santapan mata, muzik menjadi halwa telinga.

Sekiranya paparan visual cantik dan berseni, diiringi pula muzik runut bunyi yang tersendiri, membentuk citra baru pada filem kembara epik romantis terbitan Enfiniti Productions Sdn Bhd (Enfiniti Production).

Skor muziknya menggabungkan pelbagai unsur tradisional dari dua negara serumpun, diberi sentuhan segar dan baru sehingga ada kala membentuk alunan muzik seperti bunyi hujan turun mengikut kesesuaian babak.

Sebagaimana kenyataan Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Openg, baru-baru ini yang mahukan muzik etnik diperkenalkan secara agresif bagi membolehkan lebih ramai khalayak menghargainya, muzik runut bunyi PGL mampu memperkayakan pendengaran penonton dengan rencam bunyi kepelbagaian instrumen.

Malahan muzik etnik Malaysia diperbincangkan secara meluas dan dipersembahkan di Persidangan Muzik Etnik Antarabangsa Sarawak Malaysia Borneo, bertemakan Rhythms of Communities, baru-baru ini, meniupkan kesedaran, muzik etnik perlu sentiasa dipelihara.

Elemen etnik ini menghidupkan PGL. M Nasir mengambil masa sebulan untuk menyiapkan dan menggubah untuk filem ini. Sementara jurutera muzik muda, Tan Yan Wei mengendalikan kerja rakaman selepas cuba mendapatkan skor terbaik selama dua bulan.

Ratib, nyanyian berharmoni, muzik silat malahan tembang Indonesia, sejenis puisi yang dinyanyikan, dihimpun membentuk muzik nukleus. Kemewahan bunyi-bunyian dari alat muzik konvensional termasuk penggunaan orkestra dan sejenis alat muzik berbentuk seperti trumpet kecil dari Borneo yang dipanggil Pupuik, digabung untuk melahirkan bunyi yang luar biasa kedengarannya.

M Nasir berjaya menggabung jalin irama dengan paparan visual sebagaimana dapat dilihat dan didengar menerusi beberapa adegan berkaitan, misalnya ketika sekumpulan kuda berlari di tanah gersang dengan bunyi gemerincing perisai mereka berlaga.

Dalam babak peperangan, bunyi percussion yang semakin kuat meningkatkan ketegangan pasukan perang dan kejatuhan Kerajaan Melaka. Bunyinya seperti ombak menongkah ombak, mewujudkan rasa cemas.

M Nasir cuba lari dari bunyi gendang perang dengan menyuntik perasa etnik dalam alunan bunyi dan muzik. Gubahannya agak lain dan jarang didengar. Iramanya kaya, lebih global dan menyentuh kerohanian. Ada sinergi antara imej dan bunyi yang saling membantu memberikan pengalaman menarik.

Mutu dan ketelitian sehingga ke saat terakhir, runut bunyi filem ini turut menyaksikan duet antara M Nasir dan Siti Nurhaliza, M Nasir dan bintang utamanya, Tiara Jacquelina, juga Misha Omar.

Iramanya memukau, sesuai dengan latar zaman, jalan cerita yang menyelitkan sejarah, drama dan percintaan, ia menjadi penghubung dan pengikat naratif PGL agar tampak lebih kemas.

Mendengar hasil kerja kreatif M Nasir, membawa anda ke zaman lampau. Apapun pengalamannya, bersedialah menghadapi keunikan Puteri Gunung Ledang, bulan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan