Halaman

Jumaat, Ogos 13, 2004

Bintang: Hajat Siti tercapai

Oleh Nor Akmar Samudin
petikan e-media.com.my

HASRAT Siti Nurhaliza berduet dengan M Nasir tercapai jua biarpun mereka hanya berpeluang menyanyi bersama untuk lagu tema Puteri Gunung Ledang yang akan dimuatkan di dalam album runut bunyi filem itu nanti.

Lagu tema berjudul Bagai Sakti itu adalah hasil ciptaan Nasir sendiri.

Kelmarin bertempat di GSC, Summit, Subang Jaya, Siti dan Nasir merakamkan klip video lagu itu. Sesuai dengan ‘mood’ filem itu, Bagai Sakti disuntik elemen muzik Melayu dan Jawa serta boleh dikategorikan sebagai lagu pop.

Sebelum pembikinan klip video itu diadakan sidang akhbar yang amat ringkas oleh Penerbit Eksekutif PGL, Datuk Shazally Ramli.

Klip video itu diarahkan Virginia Kennedy yang juga pengarah filem pendek, Pua yang diterbitkan oleh Elyna Effendi.

Sebelum ini Tiara Jacquelina yang juga teraju utama PGL sudah pun merakamkan lagu Asmaradana yang merupakan single pertama dari album runut bunyi itu.

Inilah kali pertama Siti bekerjasama dengan Nasir.

“Melihatkan wajah abang Nasir yang agak serius, pada mulanya sukar untuk memahami perwatakannya. Tetapi semakin saya mengenalinya, rupanya abang Nasir seorang yang kelakar, peramah dan banyak cakap. Tetapi ketika kerja dia kembali serius.

“Saya suka bekerja dengannya. Memang saya teringin hendak berduet dengannya tetapi kerana kami berlainan syarikat maka hasrat itu terpaksa dilupakan seketika kerana kami terikat dengan peraturan tertentu.

“Jikalau kedua-dua syarikat rakaman mencapai persetujuan saya sedia merakamkan lagu duet dengan abang Nasir dalam album studio penuh. Siapa yang tidak mahu berduet dengan komposer terkenal itu. Lagu dia pun menjadi rebutan apatah lagi jikalau dapat menghasilkan album dengannya,” cerita Siti.

Menurut Siti rakaman Bagai Sakti dibuat di studio Syncrosound, Petaling Jaya. Sebelum masuk ke studio dia kena membiasakan diri dengan lagu itu dan beberapa perkara perlu diubah kerana ‘key’ suara Siti tidak sama dengan key lagu yang digubah oleh Nasir.

“Mula-mula saya kena buat ‘vocal guide’ dulu untuk mendapatkan key yang sesuai. Saya juga mengambil masa sedikit untuk membiasakan diri dengan lagu itu. Kami merakamkan lagu itu hampir lima jam.

“Bagai Sakti adalah lagu cinta tetapi dalam klip video itu babak antara kami berdua dirakamkan secara berasingan iaitu seperti klip video lagu Jika dendangan Melly Goeslaw dengan Ari Lasso,” kata Siti lagi.

Sehingga kini Siti sudah menyanyikan dua lagu tema untuk filem Paloh dan terbaru PGL serta lagu tema untuk VCD Air Mata Ibu dan Zaleha Ayam Patah. Jadi bila lagi hendak berlakon?

“Saya memang teringin hendak berlakon tetapi saya mahukan watak sebagai gadis lasak. Kalau ada rezeki saya hendak berlakon filem yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Production,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan