Halaman

Sabtu, Jun 22, 2002

Malam Phoenix Bangkit di UUM

petikan Utusan Malaysia 24 Jun 2002

Konsert M. Nasir yang akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 28 Jun ini pukul 8.30 malam dianggap sebagai usaha untuk memberikan hiburan yang bermutu dan sihat kepada remaja yang berada di menara gading dan juga di sekitar kawasan berkenaan.

Kalau sebelum ini konsert hiburan selalu dilihat dengan pandangan prejudis kerana begitu banyak penyimpangan moral, konsert M. Nasir ini dijangka boleh membetulkan persepsi itu.

M. Nasir memang terkenal sebagai seorang tokoh muzik yang mempunyai jatidiri yang tebal dalam karya-karya lagunya. Ini boleh dikongsikan oleh remaja untuk menjadi seorang karyawan yang bukan saja popular tetapi bermutu.

Ini yang perlu ditekankan bahawa tidak sukar untuk menjadi popular tetapi sukar untuk muncul sebagai karyawan yang popular dan memberikan karya-karya bermutu.

Konsert yang dinamakan Malam Phoenix Bangkit - M. Nasir ini dianjurkan oleh Unit Budaya dan Seni serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM.

Penolong Pengarah Unit Budaya dan Seni, Huzaidy Hussain berkata, antara tujuan diadakan malam persembahan tersebut ialah memberi pendedahan kepada pelajar yang terlibat dalam penganjuran itu sebut terhadap aspek-aspek penganjuran sebuah produksi pentas yang bertaraf nasional.

Selain itu, persembahan itu untuk mengisi tabung pembangunan kesenian dan kebudayaan bagi bagi pelajar merancang aktiviti yang lebih besar.

Pada malam itu pihak Luncai Emas sebagai penganjur bersama akan memberi persembahan yang mantap selama dua jam itu.

Seramai 30 orang krew dan pemuzik yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur akan menjayakan persembahan tersebut.

Dua buah kontena yang membekalkan sistem bunyi dan lampu juga dibawa bersama oleh rombongan itu.

Persembahan ini diharap dapat memberikan hiburan yang bermutu dan membina kepada pelajar selain mengenali M. Nasir dari dekat.

Ini juga merupakan satu program Ekspresi seni M. Nasir dalam menjelajah ke institut pengajian tinggi awan seluruh negara.

Bagi peminat-peminat sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang ingin menyaksikan persembahan tersebut boleh mendapat kupon sumbangan sebanyak RM 20.00 dengan menghubungi Unit Budaya dan Seni, UUM talian 04 - 9285851 dan O19 - 3775310.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan