Halaman

Isnin, Mei 06, 2002

Konsert Pilihan Hits - Sambutan luar jangkaan

petikan Utusan Malaysia 6 Mei 2002

Oleh ROSLI MANAH
Lagu Seandainya Masih Ada Cinta nyanyian Dayang Nurfaizah memenangi anugerah Pilihan Hits Pendengar Radio Malaysia Kuala Lumpur dan Radio Muzik di Dataran Merdeka Sabtu lalu.

Konsert yang menampilkan penyanyi-penyanyi yang layak ke peringkat akhir pilihan pendengar itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan oleh stesen radio tempatan.

Lagu terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 2002 (AIM) itu memenangi anugerah berdasar kepada populariti yang menjadi pilihan pendengar kedua-dua buah stesen radio itu.

Biarpun konsep pertandingan jauh berbeza dengan AIM 2002 tetapi lagu itu adalah yang menjadi saksi kepada populariti dan kehebatan seseorang penyanyi.

Lagu Seandainya Masih Ada Cinta mengetepikan lagu-lagu Raikan Cinta nyanyian M.Nasir, Bicara Manis Menghiris Kalbu (Siti Nurhaliza), Barangkali (Deja Moss), Bungaku Bakawali (Elly Mazlein), Mimpi Laila (Yassin) dan beberapa lagi.

Pada konsert yang menampilkan 12 buah lagu yang popular dalam senarai akhir itu disaksikan oleh lebih 50,000 penonton dan ini adalah sambutan yang di luar jangkaan.

Lagu-lagu lain termasuk Niat (Elyana), Jesnita (Exists), Kukunci Rindu Buatmu (Izzla), Keranamu Suhaila (Ways), Gurauan Berkasih (Siti Nordiana dan Achik Spin) dan Kini (Spoon).

Sementara itu Siti Nurhaliza masih unggul dalam kategori persembahan apabila memenangi Persembahan Terbaik manakala M. Nasir pula memenangi tempat kedua dalam kategori yang sama.

Di depan pentas di Dataran Merdeka bagaikan lautan manusia dan suasana menjadi tidak terkawal apabila ada yang merempuh pagar penghalang. Ini membuatkan konsert tersebut tergendala seketika pada awal persembahan.

Namun keadaan tegang itu mampu diatasi dan terkawal oleh petugas yang berada di barisan depan penonton. Barangkali pengalaman mendepani kekalutan konsert yang sama tahun lalu di Taman KLCC digunakan untuk mengatasi keadaan ini.

Melihat bilangan peminat yang membanjiri Dataran Merdeka menunjukkan mereka masih meminati dan memberi sokongan kepada penyanyi tempatan.

Sekiranya syarikat rakaman menghasilkan lagu mengikut keinginan mereka, mungkin masalah penjualan album yang merosot dapat diatasi.

Walaupun ia sebuah konsert percuma, namun mungkin ada tarikan tertentu yang membuatkan mereka mengenepikan aktiviti hiburan lain.

Kesemua penyanyi menampilkan persembahan terbaik. Malah menyanyi di hadapan ratusan ribu penonton memberikan semangat yang lebih kepada mereka.

Walaupun sistem bunyi kurang memuaskan, namun mereka cuba mengimbanginya dengan persembahan terbaik bersama muzik iringan Orkestra RTM di bawah pimpinan Jari.

Penyanyi cilik Indonesia, Sherina dan penyanyi veteran Sohaimi Mior Hassan turut diundang membuat persembahan. Jeslina Hashim dan Benjy pula bertindak sebagai pengacara utama di samping juruhebah-juruhebah kedua-dua stesen itu.

Konsert ini disiarkan secara langsung menerusi Radio Malaysia Kuala Lumpur dan Radio Muzik. TV1 akan menayangkan rakaman konsert tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan