Halaman

Jumaat, Mac 22, 2002

AIM 2002 - Penyanyi popular terus monopoli

petikan Utusan Malaysia 22 Mac 2002

Oleh ROSLI MANAH
Calon-calon akhir Anugerah Industri Muzik 2002 (AIM 2002) yang diumumkan kelmarin memperlihatkan pertandingan itu masih dimonopoli oleh sebahagian besar penyanyi dan penerbit yang pernah memenangi anugerah sebelum ini.

Penyanyi baru hanya bersaing dalam kategori khas, Artis Baru Terbaik dan Artis Harapan.

Difahamkan ini disebabkan masalah pasaran yang melanda album artis tempatan dan syarikat berhati-hati menghasilkan album pendatang baru.

Calon peringkat akhir AIM 2002 boleh dijadikan ukuran bahawa industri muzik tempatan semakin menirus apabila penyanyi baru begitu terhad untuk mengembangkan kerjaya mereka.

Kemaraan mereka disekat oleh sikap syarikat rakaman yang memilih penyanyi popular untuk merakamkan album.

Bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Wanita, Siti Nurhaliza mendapat dua pencalonan menerusi album Safa dan Konsert Mega Siti Nurhaliza.

Dia dicabar oleh Dayang Nurfaizah (Seandainya Masih Ada Cinta), Ziana Zain menerusi album Aku Cintakanmu dan Syafinaz untuk album Syyh...

Kategori lelaki pula menyaksikan persaingan antara M.Nasir (Phoenix Bangkit), Ferhad (Soul Alive), Saleem (Ratu Sanubari), Yassin (Mimpi Laila) dan Fairuz Bozz (Bozz).

Album Perjalanan Seni daripada Tan Sri S. M. Salim bersaing dengan album Firus (Siti Nordiana dan Syura) dan Helmi Gimmick masing-masing tercalon akhir untuk kategori Album Pop Etnik Terbaik.

Album Abstrak Versi Fantasi (Preety Ugly), Ilham Bicara (Ella), Ratu Sanubari (Saleem), Remifasolatido (Def-Gab-C) dan 3 (Kamikaze) berentap untuk kategori Album Pop Rock Terbaik.

Album Pop masih menampilkan persaingan nama-nama biasa dalam siri pertandingan iaitu Ziana Zain, M.Nasir dan Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza dengan dua pencalonan.

Album Aman (Rabbani), Demi Masa (Raihan), Intifada (Rabbani), Pelita Hidup II (Hijjaz) dan Salamun Alaik (Amal) bersaing merebut anugerah Album Nasyid Terbaik.

Dalam kategori Lagu Terbaik, empat buah lagu yang bersaing dalam Juara Lagu 2001 turut terpilih iaitu Percayalah (Siti), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang), Raikan Cinta (M.Nasir) dan Mimpi Laila (Yassin).

Sebuah lagi lagu M. Nasir berjudul Masirah turut layak.

Lagu-lagu Phoenix Bangkit Dari Abu (M. Nasir), Only Dancin' (Innuendo), Curiga (Ning Baizura dan Fairuz Hussein), Merisik Khabar (Saleem) dan Tak Seindah Wajah (S.M Salim) tercalon dalam kategori untuk penggubah, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.

Artis Baru Terbaik menampilkan saingan antara Joe Radzwill, Maya Karin, Sarimah, kumpulan Preety Ugly dan Frequency. Elyana, Izzla, kumpulan Nitrus, Pop Shuvit dan Uno bersaing untuk kategori Artis Harapan.

Album Enter Posthuman, M. Nasir, Too Phat, Butterfingers dan Ferhad tersenarai dalam kategori Rakaman Album Terbaik, satu anugerah untuk jururakam.

Kumpulan Flop Poppy, Love me Butch dan Naked Breed berebut anugerah Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik.

Kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik pula menyaksikan persaingan di antara Innuendo, Enter Posthuman, Butterfingers, Too Phat dan Flop Poppy.

Harvey Malaiholo, Sheila On 7, Kris Dayanti dan Anang, Padi dan Gigi pula terpilih untuk kategori Album Indonesia Terbaik menerusi album masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan