petikan NSTP emedia 17 Februari 2002
Laporan dan foto MARSLI NO
Megah kita kata dikota
tiada indah secantik bahasa
hayatilah puisi warisan kita
kata berlagu gurindam bangsa
DEMIKIAN pantun juruacara Zainordin Mohamad dari RTM Kuantan membuka majlis Kembara Puisi Pahang yang berlangsung di Laman Budaya Kuantan, Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Pahang pada malam 9 Februari lalu.
Sebelum tampil Datuk Maznah Mazlan dengan ucapan perasmian mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang berhalangan kerana tugas rasmi di Cameron Highlands, Pengarah Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Pahang, Abdul Hamid Muhammad dalam ucapan aluannya menyatakan rasa gembira atas sambutan penonton dan lebih-lebih lagi kerjasama yang diberikan Pena, Berita Harian, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan kerajaan negeri Pahang semakin menguatkan azam jabatannya untuk membawa acara ini ke setiap daerah di negeri Pahang.
Menyusul dengan ucapan perasmian Exco Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Pahang, Maznah secara puitis menyatakan betapa puisi dan kaitannya dengan kehidupan manusia sekali gus berharap semoga acara kembara puisi Pahang tetap mendatangkan manfaat kepada penonton: “Puisi itu melembutkan dan membolehkan kita melihat sesuatu dengan lebih indah.”
Usai ucapan perasmian dan penyampaian sijil penyertaan oleh Maznah kepada wakil pelajar enam sekolah yang menyertai bengkel penulisan pada sebelah petangnya, tampil 25 pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum, Kuantan yang dipimpin oleh Rahmat Md Noh dengan persembahan dua nazam berjudul Nasihat dan Rukun Iman.
Tersentuh juga sanubari mendengar anak-anak yang masih hijau menuturkan patah demi patah nasihat, yang antara lain berbunyi:
Kita ini akan mati sudahnya
Tidak tahu bila datang ajalnya
Kalau sungguh kamu yakin akan mati
Jangan kamu lalai pada nafsu hati
Benar tidak bila ada bekal kamu
Puas hati tiada lagi sesal kamu.
Lebih terasa menyentuh lagi bila direnung baris-baris ini:
Muka orang tiada sembahyang tiada cahaya
Pandang kamu kalau tiada percaya
Pendek rezeki pendek umur tanggal Islam
Pada muka lalu gelap macam malam.
Demikian juga dalam gurindam Kenal Diri yang ditampilkan oleh Daeng Ramliakil bersama anak-anaknya Mohd Hidhir dan Siti Aishah:
Mulanya tiba suci sekali
hadirnya Dia ke dalam hati
Tapi mengapa empunya diri
Kotorkan Dia dengan pekerti
Roh kotor tidak dicuci
Sukarlah belajar gelaplah hati
Sekali berdusta gelaplah diri
Payah mengerti ilmu Ilahi
Mencuci Roh di atas sejadah
Lima solat sempurnakan mudah.
Seperti biasa Amaruszati Noor Rahim tidak sendirian tampil ke pentas. Kalau di Muadzam Shah, anaknya yang mendahului, kali ini beliau tampil dengan puisi Kitalah Tuan karya Hashim Yacob dan mungkin untuk mengelak berterusan bisikan nakal kenapa beliau asyik mendeklamasikan puisi orang lain, dideklamasikan juga puisi beliau berjudul Catatan Sarah Untuk Hajar:
Maafkan aku Hajar!
Cemburu telah meramas seluruh tubuhku,
telah menjerut tangkai jantungku,
telah meradak hatiku,
telah menikam ubun-ubunku,
telah merodok mulia pekertiku,
telah membunuh warasku.
Mengiringi Amuraszati ialah anaknya Mohd Amsyar Azli mendeklamasikan puisi Mencari Wira karya Mohamad Saleh Rahamad.
Dari puisi berpindah ke lagu rakyat. Roslan Madun tampil mendendangkan lagu Wau Wau Pepeh dan Kelebihan Nabi. Menariknya untuk diteladani ungkapan dalam rangkap lagu Kelebihan Nabi yang antara lain menyebutkan:
Nabi kita apabila bersabda
perlahan-lahan sekadar nyata
memberi faedah semata-mata
menyata hukum Yang Maha Esa.
Seperti yang dijanjikan, Kopratasa tampil dengan lagu Alang Beralang dan Bulan dan Dara yang dipetik dari album terbaru mereka berjudul Kopratasa yang dijangka akan diedarkan akhir bulan ini atau awal Mac. Lagu Alang Beralang adalah ciptaan M Nasir dan liriknya oleh Siso. Sementara Bulan dan Dara juga ciptaan M Nasir dan liriknya oleh Loloq.
Mesej lagu ini dapat ditelusuri di dalam liriknya secara lengkap yang berbunyi:
Kata pujangga: Alang bertukang, kayu terbuang
alang berkajang, basah sebadan
Katanya lagi: Alang berbesan, anak merana
kalau alang-alang
Kata pujangga: Alang belajar, pandai setengah
alang memasak, nasi mentah
Katanya lagi: Alang bertingkah, rebana pecah
kalau alang-alang
Jangan elok yang dibuang
jangan buruk yang ditatang
jangan bengkok yang diturutkan
alang beralang sesat haluan
tidak biduk sampai ke tujuan
Alang beralang: Yang rugi sendiri, sendiri
Kata pujangga: Alang beralang baik perbuatan
pangkalnya lesap hujung tak dapat
Katanya lagi: Seluk pekasam, ke pangkal lengan
jangan alang-alang
alang berguru, habis tak tentu
diri sendiri, dalam kerugian.
Lagu Bulan dan Dara menyampaikan mesej betapa sebelum melaksanakan sesuatu kerja, perlu berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang sia-sia dan membazir.
Wakil Pena dan Berita Harian, Sutung Umar Rs tampil mendeklamasikan beberapa puisi. Menyusul Sutung ialah penyair Nazri Mohd Sham (mewakili DPMP) dengan sejumlah puisi pendeknya: Belakang Parang, Matinya Kelkatu, Semut dan Lebah, Jangan Salahkan Kopiah dan Jangan Cepat Marah-Marah.
Turut sama memeriah acara kali ini ialah Pegawai Daerah Kuantan, Alias Abdullah yang mendeklamasikan puisi Nikmat Kemerdekaan dengan iringan tiupan seruling pelukis Mohd Shaimy Hashim. M Rajoli dan Sharifah Sahira yang kebetulan berada di Kuantan untuk rakaman sitcom Salam Pantai Timur turut tampil ke pentas. Masing-masing mendeklamasikan puisi pendek karya penyair wanita Pahang, Khairul Bariah Arop.
Sebelum Maznah tampil ke pentas dengan dendangan syair dan sebuah puisi untuk Toh Puan Rafeah Buang, Ras Adiba tampil dengan dendangan dua lagu dan bersyair bersama Siso.
Kembara Puisi Pahang kali ini turut dimeriahi peserta bukan Melayu. Huang Yee Ching tampil mendeklamsikan puisi Merdeka dan Nandini Ganeson, pelajar tahun enam Sekolah Perempuan Methodist tampil mendeklamasikan puisi Malaysiaku karyanya sendiri. Secara jujur dinyatakan Nandini mengenai negaranya Malaysia:
Malaysiaku, tanah tumpahnya darahku
dari kecil hingga dewasa
kesetiaanku tidak berbelah bagi
kepadamu aku mencurahkan bakti
menjadikanmu negara aman
maju dan sejahtera.
Negeriku ini, tempat aku berbakti
Segala musuh dan pengkhianat negara
akan kutumpaskan
dengan hati berani.
Untukmu Malaysiaku tercinta.
Kopratasa sekali lagi tampil dengan lagu Permata dan Kita Orang Melayu. Dihubungkan dengan puisi patriotik Nandini, elok juga sama direnung maksud tersirat di dalam lirik lagu Kita Orang Melayu:
Dari manakah asalnya kita
pernahkah kamu memikirkannya
Ke mana pula destinasi
Apakah sudah disuratkan begini
Bagaimana nak mengubah nasib
kalau fikiran kita sempit
manakah pula yang lebih baik
Antara kejujuran dan cerdik
Kita orang Melayu
dari rumpun yang satu
ada cabaran di hadapan
Orang-orang Melayu
Kenallah sejarahmu
adakah mimpi kita sama
Kalau terlalu banyak berangan
nanti tersungkur di tengah jalan
Bermula dengan pantun, berakhir juga dengan pantun. Demikianlah acara Kembara Puisi Pahang di Kuantan kali ini. Jurucaranya Zainordin Mohamad mengakhir majlis dengan pantunnya:
Hidup bersatu sesuai serasi
Setiap bermula pasti berhenti
Terima kasih di baris puisi
Catatan pena di kelopak hati.
Meski tidak dapat bersama di majlis, namun di sebelah pagi 10 Februari 2002, Menteri Besar Pahang telah meraikan penyair jemputan Kopratasa, Rasa Adiba Radzi, Sharifah Sahira, M Rajoli dan wakil Berita Harian di kediamannya. Tidak hanya dijamu dengan sarapan enak, kepada tetamu dihadiahkan pula kain tenun Pahang sebagai tanda kenangan. Dalam bualan, Adnan turut menyatakan sokongan terhadap acara Kembara Puisi Pahang dan berjanji akan bersama dalam majlis berikutnya jika berkesempatan.
Sebagaimana dijadualkan, Kembara Puisi Pahang berikutnya akan ke Pekan pada 9 Mac depan. Selain Kop-ratasa dan wakil Pena serta Berita Harian, antara penyair yang akan dijemput ialah Hamer Habeb Mohd.
Thanks for reporting about this... I'm Huang Yee Ching... I m so happy about this....
BalasPadam