Halaman

Isnin, Disember 31, 2001

Juara Lagu 2001 sengit

petikan NSTP emedia
Oleh HARTATI HASSAN BASRI

Hantar kepada kenalan! | Format untuk pencetak

MALAM ini akan menjadi penentu lagu mana daripada 12 lagu hebat tahun ini dinobatkan Juara Lagu 2001, sekali gus menentukan juara bagi setiap kategori iaitu Pop Rock, Balada dan juga Etnik Kreatif.

Dalam pertandingan yang memberi pengiktirafan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan juga penyanyi, tentunya membuat ramalan tidak dapat dielakkan. Jika diukur dari segi tradisi, nampaknya pertarungan masih berlegar antara M Nasir dengan Siti Nurhaliza kerana masing-masing pernah bergelar juara tiga kali secara bergilir-gilir.

M Nasir pertama kali menang pada 1994 menerusi lagu Tanya Sama Itu Hud Hud kemudian Siti muncul juara pada 1996 (Jerat Percintaan) serta dirampas kembali oleh Nasir pada 1997 (Ghazal Untuk Rabiah berduet dengan Jamal Abdillah), Siti dengan Cindai (1998), diikuti Nasir (Andalusia) dan tahun lalu Siti (Balqis).

Nampaknya giliran Nasir tahun ini apabila mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Raikan Cinta. Bagaimanapun Siti mempertaruhkan tiga lagu, Percayalah, Engkau Bagaikan Permata dan Ya Maulai.

Namun masih ramai menaruh harapan agar Juara Lagu kali ke-15 ini tampil dengan keputusan yang cukup mengejutkan serta mampu membuka mata ramai pihak dengan memilih muka baru iaitu antara Dayang Nurfaizah dan Yasin yang tampil dengan konsep dan gaya tersendiri.

Apa yang pasti segalanya bergantung kepada persembahan lapan penyanyi yang diberi tanggungjawab membawakan 12 lagu yang menjadi taruhan 10 komposer. Contohnya kemampuan Yasin agak meragukan kerana kurang konsisten sementara Dayang masih baru serta agak tertekan dengan tumpuan yang diberikan kepadanya.

Untuk juara bagi setiap kategori, pertarungan cukup sengit dalam kategori Balada yang mempertaruhkan empat lagu hebat dan popular iaitu Andainya Aku Bersuara, Menyemai Cinta Bersamamu, Seandainya Masih Ada Cinta dan Percayalah.

Dua lagu yang dijangka berentap hebat ialah antara Siti Nurhaliza melalui lagu Percayalah dan Dayang Nurfaizah (Seandainya Masih Ada Cinta).

Begitu juga saingan bagi kategori Etnik Kreatif yang menyaksikan kelainan tahun ini dengan sentuhan konsep world music menerusi Raikan Cinta (M Nasir) dan Mimpi Laila (Yasin) yang condong kepada irama Arab dan juga Latin. Dua lagu ini berentap dengan irama Melayu tradisional bagi lagu Ya Mualai (Siti) dan Desa Tercinta (Nora).

Cabaran

Yasin yang juga mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri dikatakan bakal memberi cabaran hebat kepada M Nasir.

Untuk Pop Rock, DEf-Gab-C, satu-satunya calon berkumpulan serta mempunyai peluang besar menerusi lagu Marilah Maria. Calon lain ialah Siti dengan lagu Engkau Bagaikan Permata, Bahagia (Dayang) dan Maafkan Aku (Nurul-Ajai).

Metro Ahad sempat mendapatkan komen komposer terkenal, Adnan Abu Hassan, untuk mengulas peluang 12 lagu ini untuk diumumkan sebagai Juara Lagu 2001 kerana tidak bertanding tahun ini.

“Semua lagu yang berjaya ke peringkat akhir bagus serta mempunyai peluang yang sama untuk menang. Untuk meramalkan siapa juara, saya melihatnya dari dua aspek. Jika dilihat dari segi tradisi mungkin milik M Nasir tetapi jika diukur dari segi populariti saya memilih Seandainya Masih Ada Cinta kerana bagi saya lagu itu sungguh romantik. Saya suka lagu ini tetapi tidak semestinya menang.

“Lagu Menyemai Cinta Bersamamu yang dicipta oleh adik saya (Azlan) juga bagus kerana lagunya advance (gaya muzik Barat) tetapi Seandainya Masih Ada Cinta (Ajai) mempunyai kombinasi gubahan muzik Barat tetapi melodinya tetap kemelayuan.

“Bagi saya peluang kategori balada bergantung kepada cita rasa juri. Jika suka melodi Melayu, mereka mungkin pilih Andainya Aku Bersuara (Liza Hanim) ataupun penyampaian Siti (Percayalah),” katanya yang pernah mengecap saat manis apabila lagu ciptaannya, Jerat Percintaan diumumkan sebagai Juara Lagu 1995 sekaligus juara kategori Balada sementara penyanyinya, Siti Nurhaliza menang Persembahan Terbaik.

Selain mempertaruhkan lagu, persembahan penyanyi juga tidak dilupakan kerana penganjur menyediakan anugerah Persembahan Terbaik. Jika tiga tahun lalu Noraniza Idris menyandang gelaran berturut-turut tetapi dengan ketiadaannya tahun ini, nampaknya bakal menyaksikan peluang muka baru. Apapun Siti dan M Nasie pernah memenangi kategori ini.

Untuk mengetahui jawapan pasti, jangan lepaskan peluang menanti di depan tv anda untuk menyaksikan siaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, menerusi TV3.

Ataupun anda boleh mendengarnya menerusi radio Time Highway Radio (THR) sebagai stesen radio rasmi malah melayari internet melalui laman web rasmi http://juaralagutv3.time.net.my hasil kerjasama dengan Kumpulan Time selaku penaja rasmi.

Penerbit Juara Lagu 2001, Michael Simon, mempertaruhkan tema Terbaik Dari Malaysia Ke Pantas Dunia untuk kelangsungan pertandingan kali ini. Untuk segmen interlud, Michael memilih gabungan persembahan koir dan tarian diiringi lagu Irama Malaysia yang pernah dinobatkan Juara Lagu sebelum ini.

Pemilihan ini irama ini kerana ia dikatakan milik mutlak tanah air berbanding pop rock atau balada. Sesuai dengan tema serta mahu memperkenalkan keunikan Irama Malaysia di mata dunia, tirai Juara Lagu dibuka dengan persembahan gabungan alat muzik tradisional seperti kompang jambi, tabla, guzheng dan sape.

Sementara pengacara majlis, Zalina Azman dan Aidil Abdul Ghafar akan mengendalikan majlis dalam dwi-bahasa. Dua personaliti popular TV3 ini pernah diberi tanggungjawab mengendalikan acara ini tahun lalu.

Debaran Juara Lagu 2001 akan dimulakan oleh lagu Marilah Maria, Percayalah, Desa

Tercinta, Bahagia, Andainya Aku Bersuara dan Ya Maulai. Ini diikuti Maafkan Aku, Menyemai Cinta Bersamamu, Mimpi Laila, Engkau Bagaikan Permata, Seandainya Masih Ada Cinta dan Raikan Cinta .

APA KATA KOMPOSER BERTANDING

Johan Nawawi
“Susah untuk diramalkan lagu mana yang akan menang Juara Lagu 2001. Tapi untuk kategori Etnik Kreatif saya pilih Raikan Cinta walaupun lagu saya, Desa Tercinta turut dipertandingkan dalam kategori ini.

“Untuk Balada pula saya ramalkan milik Seandainya Masih Ada Cinta kerana lagunya bagus dan sedap ditambah pula kemantapan vokal Dayang. Apapun segalanya bergantung kepada persembahan penyanyinya,” katanya enggan meramalkan lagu isterinya, Menyemai Cinta Bersamamu.

Ajai
“Bagi saya keempat-empat lagu saya yang bertanding sama saja. Masing-masing ada peluang untuk menang. Kalau ditanya antara lagu Percayalah oleh Siti dengan Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang), sekali lagi saya katakan kedua-dua lagu itu hebat. Malah penyanyinya juga mempunyai keistimewaan amsing-masing. Tunggu sajalah keputusan diumumkan nanti.

“Apapun tumpuan utama saya ialah lagu Maafkanku kerana saya akan berduet dengan Nurul untuk memastikan kejayaan lagu itu bagi kategori Pop Rock.”


SEJARAH JUARA LAGU
Pada 2 Mac 1986, TV3 menghasilkan program Muzik Muzik untuk menghargai jasa pencipta lagu, penulis lirik serta penyanyi yang mewarnai seni muzik tanah air seterusnya memartabatkan muzik tempatan.

Juara Lagu yang menjadi acara kemuncak carta Muzik Muzik dipancarkan secara langsung dari Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 1986 yang menyaksikan lagu Sekadar Di Pinggiran diumumkan Juara Lagu tahun itu.

Ini diikuti Menaruh Harapan (Zaiton sameon), Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (Ramlah Ram), Isabella (Search), Janji Manismu (Aishah), Takdir Dan Waktu (Mega), Pada Syurga Di Wajahmu (Nash), Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff), Tanya Sama Itu Hud Hud (M Nasir), Cinta Beralih Arah (Aishah), Jerat Percintaan (Siti Nurhaliza), Ghazal Untuk Rabiah (Jamal Abdillah/M Nasir), Cindai (Siti Nurhaliza), Andalusia (M Nasir) dan tahun lalu Balqis (Siti Nurhaliza).

Tahun ini merupakan kali ke-15 TV3 menganjurkan Juara Lagu dan sekali lagi memilih Auditorium MBSA untuk merealisasikan usaha murni ini. Selain PWTC dan MBSA, Juara Lagu juga pernah diadakan di Dewan San Chonn, Wisma MCS dan juga Auditorium Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan