Halaman

Selasa, Oktober 16, 2001

Siti, M Nasir sama hebat

petikan Berita Harian 16 Oktober 2001

"SITI tidak akan jual atau hadiahkan Proton Waja ini kepada sesiapa. Sebaliknya Siti akan gunakannya sendiri bagi urusan seharian kerana ia adalah hadiah hasil kesetiaan peminat terhadap Siti," kata Bintang Paling Popular - Siti Nurhaliza.

Katanya, kemenangan menerusi majlis tahunan anjuran Berita Harian itu cukup bermakna kerana sukar baginya untuk mengekalkan kedudukan sedia ada. Dia berpendapat untuk sentiasa memberikan yang terbaik bukanlah mudah.

Namun berkat sokongan padu peminat setianya, Siti berkata dia berjaya pulang trofi Penyanyi Wanita Popular sekali gus bergelar Bintang Paling Popular 2001.

"Memang anugerah ini dugaan paling hebat buat Siti kerana perlu mengekalkan populariti. Terima kasih Siti ucapkan kepada semua peminat terutama pembaca Berita Harian yang memilih Siti.

"Siti hargai sokongan anda selama Siti berkecimpung dalam bidang seni dan anugerah kali ini menguatkan lagi semangat Siti untuk terus memberikan yang terbaik," katanya yang ditemui pada Majlis Penghargaan selepas selesainya Gala Pesona Bintang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting (GICC), kelmarin.

Sementara itu, penyandang anugerah Penyanyi Lelaki Popular, M Nasir menyatakan kemenangannya itu adalah hadiah serta pemberian paling bermakna daripada peminat yang selama ini menyokong perjuangannya.

"Banyak faktor menyumbang kepada kemenangan ini. Antaranya, saya tidak pernah tinggalkan dunia seni. Sekali pun tidak menghasilkan album solo, saya masih tetap menggubah lagu untuk penyanyi lain. Jadi, orang mungkin sentiasa sedar kehadiran saya.

"Sudah menjadi resam kepada indusri hiburan, peminat suka memuja seseorang personaliti. Namun yang membuatkan seseorang itu bertahan adalah kualiti yang dimiliknya.

"Keunikan yang ada pada diri seseorang bintang itulah akan membuatkan peminat mengingati mereka. Setiap penyanyi ada keistimewaan tersendiri dan saya bertuah kerana memiliki peminat setia," katanya ditemani isteri, Marlia Musa.

Sementara itu, perancangan awal untuk menggandingkan dua penyanyi hebat Sharifah Aini dan Ziana Zain dalam persembahan kemuncak di Arena of Stars, Genting Highlands, kelmarin Ain terpaksa dibatalkan kerana kesihatan biduanita itu terganggu.

Namun sebagai ganti, Ziana tetap muncul solo dengan menyanyikan medley lagu popularnya, Madah Berhelah dan Menadah Gerimis dengan bertenaga sekali, walaupun dia baru bergegas tiba dari Melaka.

Artis lain yang membuat persembahan ialah Krisya, Jeslina Hashim, Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain yang mendendangkan lagu Tema ABP-BH, Kaulah Bintang.

Gala Pesona Bintang terbitan Fadzliniza Zakaria juga meriah dengan kemunculan Sheila On 7. Dua lagu mereka Ð Sephia dan Sahabat Sejati Ð mengundang jeritan tepukan gemuruh lebih 6,000 penonton yang membanjiri Arena of Stars.

Liza Hanim juga berjaya mengekploitasi kelebihan vokalnya apabila menyampaikan lagu Legenda ketika segmen khas untuk penyampaian Anugerah Seniman dan Seniwati Veteran yang diberikan kepada Ahmad Mahmud dan Mariani.

Dalam segmen itu, pelakon terkenal, Tiara Jacquelina mendeklamasikan puisi Sinar Terpilih. Walaupun sajaknya berkesan namun ada berpendapat penampilannya dengan fesyen unik gabungan gaun petang dan sari, sedikit kurang sesuai.

Mungkin jika Tiara memilih gaya klasik 50-an seperti kebaya pendek, ia dapat membangkitkan suasana Studio Jalan Ampas atau Malay Film Productions (MFP).

Selain persembahan nyanyian, ramai terhibur dengan rakaman sketsa komedi Senario bersama Raja Azura yang disiarkan sebelum setiap kategori diumumkan.

Di samping itu, kehadiran sekumpulan penari dari Ukraine serta pakar ilusi Itali, Gianni Mattiolo dari Fiesta Magica Ð Genting Highlands, berjaya menyuntik kelainan. Malah keberanian Normala Samsudin dan ND Lala yang berceloteh sambil ditemani seekor harimau belang jinak di pentas, mendapat tepukan gemuruh ribuan penonton.

Turut menyerikan Gala Pesona Bintang ialah Amuk dengan lagu terbaru, Dikir Timur, Siti Nurhaliza (Percayalah) dan Erra Fazira yang menutup tirai dengan melodi rancak, Sandarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan