petikan Utusan Malaysia 6 September 2001
Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin
Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) perlu melihat bahasa-bahasa puitis yang disampaikan di dalam puisi dan sajak daripada sudut yang pelbagai sebelum membuat penilaian terhadapnya.
Paling penting, mereka yang berkenaan perlu melihat mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang penyair daripada sudut intelek dan kefahaman yang luar biasa sifatnya.
Untuk menilai sesebuah karya, pihak berkenaan wajar melihat ia dari sudut pandangan sebagai seniman dan karyawan yang berjiwa besar.
``Jika kita melihat sajak dan puisi daripada sudut politik, ia akan menjadi isu politik.
``Tetapi jika kita melihat sesebuah karya daripada sudut pandangan sebagai seorang seniman, ia menghantar makna yang lebih mendalam dan jauh lebih intelek,'' kata penyanyi lagu-lagu puisi dan penyair Sani Sudin.
Sani mengulas mengenai tindakan LPFM yang tidak meluluskan penyiaran segmen puisi yang disampaikannya dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir, baru-baru ini.
Turut mendeklamasikan puisi dalam konsert yang disiarkan di stesen ntv7 itu ialah Pyanhabib dan Marsli N.O.
Penampilan penyair-penyair ini dalam konsert berkenaan sealiran dengan konsep itu yang disiarkan pada malam menyambut kemerdekaan negara yang ke-44 30 Ogos lalu.
LPFM mengeluarkan arahan berkenaan kepada stesen ntv7 dengan alasan sajak yang dideklamasikan oleh penyair terkemuka tanah air ini boleh mengundang kontroversi dan provokasi.
Di dalam konsert berkenaan, Nasir memilih tiga rakan baiknya itu untuk menyampaikan puisi masing-masing di dalam memberi nadi dan kelainan, berbanding dengan konsert yang pernah diadakannya sebelum ini.
Menurut Sani lagi, puisi seharusnya tidak hanya menceritakan perihal yang memuji-muji dalam sesuatu perkara.
Sebaliknya, ia boleh juga menyampaikan kritikan yang berada di tahap seharusnya dan semua pihak wajar menerimanya daripada sudut positif.
Sementara itu, menurut Marsli N.O, puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah Airku yang dideklamasikan olehnya pada konsert berkenaan dihasilkan bertolak daripada perasaan dan tanda tanya di dalam dirinya setelah melihat cara kebanyakan rakyat menyambut malam keramat, 31 Ogos.
``Puisi berkenaan mempersoalkan apakah sudah cukup untuk kita menjadi seorang warganegara Malaysia yang mencintai tanah airnya jika menyambut 31 Ogos dengan berdansa dan hiburan semata-mata?''
Menurutnya, jika kontroversi dijadikan alasan puisi berkenaan disekat penyiarannya, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.
``Nama pun puisi. Banyak menggunakan bahasa perlambangan dan simbolik. Sebagai penyair, kami melihat sesuatu dari sudut pandangan yang berbeza,'' jelasnya yang didatangkan khas dari Pahang untuk terbabit dalam persembahan berkenaan.
Sementara itu, Pyanhabib yang turut muncul dalam konsert berkenaan mendeklamasikan sajak Assalamualaikum Malaysia yang ditulis pada awal tahun 80-an.
Sajak berkenaan pernah dibacakan di hadapan pemimpin-pemimpin negara dan di universiti tempatan di pelbagai tempat.
``Sajak ini mengenai kecintaan terhadap Malaysia tetapi daripada pandangan yang terbalik. Kalau orang lain cakap fasal merdeka setahun sekali, saya pun cakap fasal merdeka juga, tetapi `merdeka' yang bagaimana?.
``Semua orang dilahirkan berbogel, kemudian diberi berpakaian. Tetapi pakaian masing-masing tidak sama saiz dan coraknya,'' jelasnya, sinis.
Menyentuh mengenai LPFM, Pyan menjelaskan ``saya tak tahu apa relatifnya segmen puisi tu kena `gam'. Setahu saya, LPFM kerja tapis filem, bukan tapis puisi.
``Banyak kerja lagi yang sepatutnya LPFM tapis. Siri kartun TV bersepah babak yang sepatutnya mereka tapis,'' katanya lagi.
Sementara itu, M. Nasir yang kecewa dengan penilaian LPFM itu turut menjelaskan kenapa dia memilih puisi di dalam persembahannya selama satu setengah jam itu.
``Saya pilih mereka sebab itulah yang paling tepat dengan memaknakan hari kemerdekaan. Tidak ada apa-apa yang silap pada bacaan dan puisi mereka, pada pandangan saya,'' jelasnya.
Selain itu, deklamasi tiga penyair itu juga selari dengan aliran yang ingin disampaikan di dalam album Phoenix Bangkit itu sendiri. Nasir turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan LPFM itu dan menyifatkan persembahan penyair berkenaan sebagai sesuatu yang memberangsangkan walaupun daripada sudut hiburan.
``Sayangnya ia tidak sampai kepada penonton. Sesuatu yang tidak sampai, hasilnya tentu mengecewakan,'' katanya lagi.
Konklusinya, jika kontroversi menjadi alasan pihak LPFM untuk menidakkan penyiaran sajak berkenaan di TV, ia satu kesilapan besar.
Kreativiti seniman sewajarnya tidak disekat oleh pihak berkenaan kerana karya mereka seringkali menjadi penyampai mesej penting ke arah kesejahteraan dan keamanan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan