petikan Berita Harian 2 Julai 2001
SAYA hanya mampu menggeleng-geleng kepala sebaik saja mendengar keseluruhan album terbaru M Nasir ini.
Bukan kerana pengisiannya lagu, melodi dan lirik serta susunan muziknya saja yang hebat tetapi juga gambar lukisan yang diselitkan dalam setiap lirik.
Saya cuba membayangkan, bagaimanakah keadaannya apabila dua seni dicantumkan iaitu muzik dan lukisan?
Sebenarnya kedua-duanya saling berkaitan. Tapi sudah tentu saya tak mampu menjelaskannya dalam ruangan ini. Biarlah M Nasir dan pelukisnya saja yang
lebih memahaminya.
Terus kepada lagu dalam album ini. Saya tidak begitu berminat untuk memperkatakan mengenai Raikan Cinta kerana ramai yang sudah mendengarnya saban hari di radio. Pun begitu saya tidak nafikan lagu itu memang menarik.
Apapun, saya juga gemar mendengar lagu Sahabat Gua. Kekuatan pada lagu ini adalah bunyi gambusnya dan ia menguatkan lagu bunyi elemen padang pasir dalam lagu itu. Sesuai dengan liriknya, malah dinyanyikan pula secara beramai-ramai. Begitu juga dengan lagu Apabila Rumi Menari.
Satu lagi yang menarik perhatian ialah Langgam Pak Dogo yang menggunakan suara latar Bob dan Sabree Yunus dengan loghat Kelantan dan sedikit bunyi rebab tetapi ada juga elemen Cina diselitkan menerusi strings. Memang kreatif.
Nasir juga mungkin secara peribadi menyukai lagu keroncong dan kerana itu dia mengabadikan sebuah lagu keroncong berjudul Oh!... Anak dalam album ini.
Malah, dia juga banyak menggunakan lirik ciptaannya sendiri dalam album ini. Dalam 10 lagu hanya tiga lagu saja yang menggunakan lirik S Amin Shahab, Loloq dan Seth. Mungkin banyak mesej peribadinya yang ingin disampaikan.
Apapun, album ini memang sebuah pembikinan album yang hebat. Anda tidak perlu berfikir dua kali untuk membelinya. Tapi ingat, yang original saja!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan