Halaman

Selasa, Julai 10, 2001

M. Nasir -- Pelbagaikan muzik Nusantara

petikan Utusan Malaysia 10 Julai 2001.

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin
Album terbaru komposer M. Nasir, Phoenix Bangkit dianggap karya muzik yang unik lagi unggul kerana menyelongkar filosofi muzik nusantara untuk menerjah dunia yang lebih luas.

Menurut M. Nasir, kelahiran album Phoenix Bangkit bertolak daripada kehendaknya yang ingin mempelbagaikan lagu-lagu berentak nusantara.

``Selepas menghasilkan album Canggung Mendonan kira-kira tujuh tahun lalu, saya sudah terfikir untuk melakukan sesuatu untuk album seterusnya,'' demikian kata M. Nasir ketika ditemui di pelancaran album Phoenix Bangkit di Hotel Concorde Kuala Lumpur Khamis lalu.

Dalam sejarah muzik Melayu Malaysia, Phoenix Bangkit dianggap telah mengembangkan sayap kembara dengan meninjau hubungan sejarah dan budaya dengan elemen-elemen muzik masyarakat di timur tengah.

``Lagu Akar Kita dan Lembayung Sukma yang pernah saya hasilkan sebelum ini adalah pembayang kepada apa yang saya lakukan sekarang,'' jelas M. Nasir lagi.

M. Nasir mempunyai matlamat dalam muzik biar pun album Phoenix Bangkit terpaksa melalui galur masa yang panjang untuk dijelmakan kepada khalayak muzik.

Ini menurut M. Nasir, keadaan kemuraman ekonomi dan turunnya kuasa membeli di kalangan peminat pada tahun 1998 membuatkan sebahagian besar syarikat rakaman memilih untuk menghasilkan album kompilasi.

``Kerana itu saya terpaksa menunggu hampir tujuh tahun menzahirkan album ini seperti yang anda dengar hari ini,'' jelas komposer yang mencipta semua lagu dalam album terbarunya itu.

Phoenix Bangkit juga adalah gambaran jiwa M. Nasir yang sentiasa mahu memberikan nafas dan suasana baru kepada lagu-lagu berentak tradisional Melayu.

``Rentak lagu Melayu asli seperti inang ada tarikan yang agresif. Dalam Pheonix Bangkit saya mendekatkan dengan muzik disko supaya ada satu rentak moden berlandas muzik kita,'' tegasnya.

``Tujuannya supaya ada elemen tradisional yang boleh ditarikan oleh orang muda.''

Mengenai penerimaan peminat terhadap album ini yang dikelaskan oleh sesetengah pihak sebagai berat dan sarat dengan filosofikal, M. Nasir berkata, selera peminat terlalu sukar ditelaah.

Ini kerana menghasilkan album adalah satu ``perjudian'' dan di negara ini orang selalu bertanya tentang album baru.

``Di Barat orang tidak buat banyak album. Sebab itu sekali mereka buat album yang meletup dan mereka sudah tidak boleh buat album lagi selepas itu,'' jelas M. Nasir.

Majlis pelancaran Phoenix Bangkit itu turut diserikan dengan persembahan M. Nasir yang menyanyikan lima lagu dari album terbaru itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pengedaran album kompilasinya, Prahara Seni Abadi oleh syarikat rakaman BMG Music, M. Nasir berkata, itu adalah suatu yang tidak sepatutnya terjadi ketika album barunya berada di pasaran.

Jelas M. Nasir, tindakan memasarkan album kompilasi seiring dengan pasaran album terbaru adalah sesuatu yang menyalahi etika profesionalisme.

M. Nasir menafikan dia menghadapi ``masalah'' dengan BMG Music yang menaunginya sebelum ini tetapi dia tidak mungkin dapat membantu syarikat itu untuk mempromosikan album kompilasi tersebut.

``Masanya bukan sekarang. Mungkin saya akan beri kerjasama. Ada caranya walaupun saya sudah berada di syarikat rakaman lain,'' katanya.

Kewujudan dua album penyanyi yang sama di pasaran boleh menimbulkan kekeliruan peminat untuk memiliki album berkenaan.

Bahkan memasarkan album kompilasi ketika artis muncul dengan album terbaru semacam menjadi gaya baru bagi sesetengah syarikat rakaman di negara ini.

Sebelum ini, Warner Music pernah menerbitkan album kompilasi penyanyi Nora ketika album barunya, Kencana baru beberapa hari berada di pasaran.

Menyentuh keadaan itu, M. Nasir berharap, peminat boleh menilai untuk mendapatkan satu album berkenaan di pasaran.

``Saya fikir sebelum ini sudah banyak album kompilasi saya berada di pasaran. Sebaliknya album Phoenix Bangkit adalah sesuatu yang terbaru. Tentu elok beri laluan kepada album terbaru,'' jelas M. Nasir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan