petikan Berita Harian 25 Jun 2001
SEPANJANG dua, tiga hari lalu, entah berapa kali agaknya saya asyik mendengar Masirah - lagu M Nasir daripada album terbarunya, Phoenix Bangkit.
Apa hendak dikata, lagu itu sudah jadi ‘berhantu’!
Kalau sejak beberapa minggu ini, saya kerap mendengar dan terhibur dengan single pertama, Raikan Cinta yang seronoknya macam Andalusia, fokus saya sekarang beralih pula kepada Masirah.
Tidak dinafikan, Masirah yang konsepnya seperti langit dan bumi dengan Raikan Cinta, satu karya yang terlalu indah daripada Nasir dan S Amin Shahab.
Masirah berentak perlahan tetapi yang uniknya, lagu itu cantuman seni Melayu, Perancis dan Timur Tengah. Bagi menghidupkan bab Perancis dalam lagu itu, Nasir dan Amin dibantu penulis lirik bernama Tok Mat Sungai Congkak.
Unik juga – namanya kampung habis tetapi handal pula si dia itu berbahasa Perancis!
Masirah turut memperlihatkan kerjasama baru Nasir dengan Roslan Aziz, penerbit dan komposer bualan hangat. Dalam lagu itu, Roslan bertindak selaku jurutera mixing dan dibantu Greg Henderson.
Apakah pembabitan Roslan dalam album Nasir kali ini satu titik tolak untuk kembali aktif? Kalau begitulah hasilnya, kepakaran Roslan nampaknya masih belum hilang dan tidak seharusnya terhenti di situ saja.
Apapun, Masirah cukup touching. Melodi, lirik, susunan muzik (tiupan oboe Emmanuel Rey), penyampaian Nasir, suara latar kanak-kanak (termasuk anak Sifu sendiri - Hidayat dan Syafi’i) serta hal teknikal di sebaliknya, berjaya memberikan dimensi berbeza kepada lagu tempatan (Melayu). Ia memang tidak malu sama sekali kalau hendak diperdengarkan ke tahap antarabangsa.
Sebenarnya, bukan saja Masirah malahan semua lagu lain dalam Phoenix Bangkit hebat belaka dan berada di luar kebiasaan daripada album mahupun lagu tempatan lain yang disumbat di pasaran.
Bagi saya, Phoenix Bangkit bertaraf dunia dan patut sangat diletakkan sebaris album lain dalam rak artis world music di gedung hiburan.
Nasir, laksana seekor phoenix yang bangkit daripada abunya, kini sudah bersedia untuk menyegarkan semula senario muzik tempatan bersama karya marhaennya yang berkualiti, spiritual dan berfalsafah.
Asasnya, lirik Nasir terus memperkatakan mengenai hubungan manusia dengan Tuhan serta hubungan manusia sesama makhluk lain.
Dalam bersantai pun, Nasir tetap berdakwah dengan cara tersendiri. Beliau peka dengan sejarah Islam dan pergolakan yang berlaku di sana-sini.
Saya dapat kesan, pengaruh Arab semakin nyata dalam Phoenix Bangkit.
Seawal track pertama lagi, Raikan Cinta, album ini memperlihatkan elemen Timur Tengah yang disemarakkan dalam kebanyakan lagu.
Mengambil contoh lagu ketiga, Sahabat Gua – tidak ubah seperti pesta keramaian kaum Badwi di tengah padang pasir. Namun seperti yang saya katakan, dalam bersantai pun, Nasir tetap berdakwah dan mengingatkan daripada mana asal-usul manusia serta ke mana semua akan pulang.
Sebuah lagi lagu berunsur Arab yang tidak kurang menariknya ialah Melawan Arus (hmm... ada juga suara Marlia Musa diselitkan).
Selain pengaruh Timur Tengah, Nasir tidak lupa muzik Nusantara di kepulauan Melayu. Apa yang saya katakan itu terserlah dalam lagu seperti Dah Lagu Tu! (dah macam tu!) serta Oh! ... Anak yang kedua-duanya berentak keroncong. Seperti biasa, tiupan serunai mohar sentiasa memberi kekuatan kepada Nasir.
Sebuah lagi lagu yang pada pandangan saya menjadi forte Nasir sejak kebelakangan ini ialah Bila Rumi Menari. Melodi dan rentak latinnya nyata memberikan impak.
Bagi mereka yang berasal dari Pantai Timur terutama Kelantan, lagu Langgam Pak Dogo (lirik Loloq) boleh menjadi kebanggaan dan akan rasa dekat di hati. Dalam lagu itu, Nasir turut menggunakan dialog humor Sabri Yunus, Bob Lokman dan Ya Daud. Senyum juga bila mendengarnya.
Rentak asli pula kedengaran dalam track terakhirnya, Hijab Kekasih (lirik oleh Seth). Saya sebenarnya tidak pasti, adakah lagu itu ditujukan buat arwah isteri Nasir, Nana? Ia begitu merintih dan mendayu-dayu.
Kecintaan bekas graduan Nanyang Academy of Fine Art ini terhadap seni ketara apabila dia memuatkan koleksi lukisannya serta pelukis lain seperti A Shukri Elias, S Amin Shahab, Tuan Azhar Tuan Yusof dan Bayu Utomo Radjikin dalam inlay album ini. Kreatif.
Mungkin dari apa yang anda baca setakat ini, tulisan saya kali ini nampak seperti satu ulasan album. Ya, sekali-sekala apa salahnya, kerana seniman seperti M Nasir ini bukannya datang selalu.
Cuma apa yang saya harap, Warner Music Malaysia yang kini sudah memiliki Nasir tidak akan mempersia-siakan dirinya. Silalah buka laluan yang lebih besar untuk Nasir melangkah lebih jauh dan bantulah dia untuk meletakkan karyanya di tempat yang lebih wajar dan seadilnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan