Halaman

Ahad, Jun 17, 2001

Serangan balas BMG terhadap Warner Music

petikan Utusan Malaysia 17 Jun 2001

APABILA Nora berhijrah ke BMG Music dan muncul dengan album Kirana, Warner Music (syarikat rakaman Nora sebelum ini) segera mengeluarkan album kompilasi lagu-lagu terbaik artis itu.

Perbuatan tersebut dikatakan antara punca yang menyebabkan album sulung Nora dengan BMG Music gagal mendapat sambutan baik daripada peminat seni tanah air.

Kini fenomena yang sama berulang lagi apabila BMG Music pula mengedarkan album lagu-lagu kompilasi M. Nasir ketika penyanyi itu bersama BMG Music. Album itu dilancarkan pada 14 Jun lalu.

M. Nasir yang kini bernaung di bawah Warner Music dijangka muncul dengan album studio terbarunya dua hari sebelum tarikh tersebut.

Perkembangan ini sudah tentu menimbulkan kekeliruan kepada peminat muzik dan peminat Nasir sendiri.

Namun sejauh mana ini dapat mempengaruhi tumpuan peminat muzik sukar untuk diramalkan.

Apapun, BMG Music nampaknya benar-benar terasa kehilangan sifu industri muzik tanah air itu yang telah banyak berjasa kepada syarikat rakaman tersebut.

Jika dilihat pada kulit album lagu kompilasi terbaru Nasir dengan syarikat itu, nyata BMG mengabadikan album tersebut sebagai memperingati segala kenangan, susah senang dan pahit manis bersama Nasir.

Album yang diberi judul Prahara Seni Abadi M. Nasir mengandungi semua karya ajaib Nasir selama mengikat kontrak dengan syarikat rakaman itu.

Menurut Eksekutif Promosi BMG Music, Rohani Ismail, album itu merupakan koleksi peninggalan unggul Nasir dan meninggalkan ribuan memori.

``Kenangan Nasir bersama kami di BMG amat indah dan sukar dilupakan, malah ia kekal bersama ingatan,'' kata Rohani.

Menurut Rohani, biar apa pun anggapan masyarakat, BMG berpendapat album koleksi itu adalah sesuatu yang cukup berharga dan perlu dimiliki oleh peminat setia komposer unggul itu.

Kata Rohani, lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Prahara Seni Abadi dipetik daripada album Canggung Medonan, Akar Manifestasi Akustika, Soundtrack Merah, Srikandi Cintaku dan S.O.L.O.

``Malah turut dimuatkan dua buah lagu bonus ilham M. Nasir dan Brad Parker berjudul Walid dan Dalam,'' kata Rohani lagi.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album itu ialah Mantera Semerah Padi, Akar Kita, Lara, Mustika, Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud dan lain-lain lagi.

Kepada peminat Nasir, anda merupakan orang yang paling layak untuk menilai apa yang berlaku antara BMG Music dan Warner Music

Tiada ulasan:

Catat Ulasan