petikan Utusan Malaysia 19 Mei 2001
Oleh ROSLI MANAH
Dalam keghairahan kebanyakan komposer tempatan meminjam dan mengulangi gaya muzik Barat dalam karya-karya lagu mereka, M. Nasir mencari hala tuju yang baru dalam penciptaan muziknya.
Gaya muzik Barat kelihatan begitu dominan dalam lagu-lagu tempatan. Sebagai produk dalam industri hiburan, muzik Barat dianggap mempunyai nilai komersial tanpa menghiraukan akar budaya muzik tempatan.
Setelah membuat kajian dan penyelidikan tentang sejarah dan arus muzik tempatan, M. Nasir mendapati irama Arab telah sekian lama menjadi akar kepada muzik tempatan di negara ini.
Ini diperkuatkan lagi dengan cara kehidupan dan beragama Islam (di kalangan orang Melayu) yang membuktikan hubungan rapat antara selera dan akar budaya muzik tempatan dengan muzik Arab.
Menyedari hakikat itu, M. Nasir yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu Andalusia tentang sejarah kejatuhan sebuah negara Islam, kini cenderung membawakan irama Arab dalam lagu-lagu ciptaannya.
Irama Arab menjadi teras kepada konsep muzik dunia yang dibawa menerusi album terbarunya, Phoenix Bangkit. Album ini akan dipasarkan 12 Jun depan oleh Warner Music.
``Saya bukan sekadar mahu lari dari muzik Barat sebaliknya kerana minat pada irama Arab,'' kata M. Nasir dalam temu bual dengan Utusan baru-baru ini.
Sebelum ini lagu-lagu ciptaan M. Nasir membawa elemen-elemen muzik adunan tradisional dan moden yang unik. Kebanyakan muzik ciptaan M. Nasir bebas daripada pengaruh Barat malah sangat ketara nilai-nilai tempatan seperti menyelitkan elemen muzik Cina dalam lagu Melayu.
Menurut M. Nasir, orang Melayu dekat dengan budaya Arab sejak dahulu melalui amalan cara kehidupan.
Di dalam menerbitkan lagu-lagu untuk album sulung di bawah label Warner Music itu, kata M. Nasir dia menyelitkan unsur kemelayuan.
``Untuk membuat album yang ingin dipasarkan kepada orang Malaysia, kita harus hasilkan apa yang dekat dengan mereka,'' tegas M. Nasir.
Album tersebut dianggap sebagai album muzik dunia kerana terkeluar dari konsep muzik pop dari Barat, kata M. Nasir lagi.
Kini lagu Raikan Cinta mula diperdengarkan di corong radio sebagai promosi awal sebelum album penuh penyanyi itu dipasarkan.
Lagu-lagu lain yang dijangka mendapat sambutan antaranya, Hijab Kekasih, Sahabat Gua, Masirah, Phoenix Bangkit Dari Abu dan beberapa lagi.
M. Nasir juga mendedahkan. dia memilih irama Arab kerana kedengaran hampir sama dengan irama joget yang cukup terkenal di kalangan peminat muzik Melayu. Irama joget dibawa oleh kedatangan Portugis di Melaka telah melalui proses asimilasi budaya dan kini joget menjadi sebahagian muzik Melayu.
Kata M. Nasir, joget yang dibawa ke rantau Melayu oleh penjajah Portugis itu juga menerima pengaruh muzik Arab.
Menerusi album ini, M. Nasir juga banyak memilih muzik yang segar dan rancak untuk menampakkan kesegaran dan sesuai untuk ditarikan apabila mengadakan persembahan.
Ditanya mengenai perancangan mengadakan konsert, kata Nasir, dia sedang berbincang dengan pihak-pihak berkaitan untuk pelaksanaan konsert itu.
Sekiranya tiada halangan dia akan muncul dalam konsert istimewa sempena kemunculan album itu pada September depan. Sesuai dengan pilihan muzik yang ingin kembali kepada akar umbi Melayu, dia juga memilih lirik yang menyentuh mengenai kisah dahulu kala.
``Saya tidak ceritakan mengenai kisahnya secara langsung sebaliknya perkara lain berkaitan sesuatu kejadian dahulu,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan