Halaman

Jumaat, Disember 17, 1999

Konsert M. Nasir muzik sebagai jambatan

petikan Utusan Malaysia 17 Disember 1999

IRAMA boleh menjadi jambatan yang menghubungkan antara manusia dengan pelbagai perbezaan latar budaya, politik dan kepercayaan beragama. Irama yang sejagat menjadi satu nilai keintiman untuk memahami manusia lain.

Selain memberikan iramanya yang mengasyikkan, lirik yang puitis dan segar juga menjadi pemangkin dalam membina minda kreatif.

Konsep irama inilah yang akan berkumandang dalam konsert M. Nasir di Auditorium Besar Angkasapuri malam esok. Rakaman konsert yang diterbitkan oleh Noriah Kasimin itu akan disiarkan sebagai rancangan khas Hari Raya.

Rentak irama yang selama ini diperjuangkan oleh seniman M. Nasir akan berkumandang di Audititorium Angkasapuri pada malam Sabtu ini.

''Konsert ini akan membawa falsafah yang menyatakan keintiman antara saya dengan pemuzik-pemuzik yang selama ini terlibat secara langsung dalam setiap persembahan saya,'' jelas M. Nasir mengenai konsep persembahan muzikalnya.

M. Nasir memang terkenal sebagai penyanyi yang sentiasa memberikan kesegaran baru pada setiap konsertnya. Ini antara yang membezakan M. Nasir dengan beberapa penyanyi lain yang sekadar menyanyi tetapi tidak berkarya.

M. Nasir menjelaskan, tanpa sebarang gimik, konsert ini akan berlangsung sepertimana persembahannya sebelum ini.

Persembahan M. Nasir secara unplugged ini akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional seperti Jay Jay, Mohar, Rock, Rafi dan Suhaimi.

Mengenai pemilihan lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada rancangan khas itu, M. Nasir memberitahu, dia akan menyanyikan lagu-lagu terbaik nyanyian dan ciptaannya sendiri.

Antaranya ialah Rajawali, Tanya Sama Hud-Hud, Andalusia dan Serikandi Cintaku.

Lagu-lagu ini dipetik daripada dua buah album kompilasi M. Nasir iaitu Terbaik M. Nasir dan yang terbaru Srikandi Cintaku.

Selain itu, M. Nasir buat pertama kalinya akan memperdengarkan beberapa buah lagu terbaru ciptaannya termasuklah sebuah lagu berjudul Dalam.

M. Nasir mahu merayakan konsert ini dengan mengundang beberapa peminat setianya untuk bersama-sama memeriahkan konsert yang akan bermula pada pukul 9 malam.

Ini menurut M. Nasir, dia juga mahu lebih dekat dengan peminat-peminat yang selama ini banyak membantu ke arah peningkatan kariernya.

''Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu jambatan yang turut menyatakan keintiman saya dengan peminat,'' jelasnya lagi.

Pas masuk secara percuma boleh didapati di balai pengawal Kementerian Penerangan mulai hari ini.

Selain itu juga, peminat yang berhasrat untuk menonton persembahan ini boleh menghubungi syarikat rakaman BMG di ta-lian 03-2550035.

Hampir 1,000 keping tiket disediakan secara percuma kepada peminat yang ingin menyaksikan konsert berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Promosi BMG Music, Rohani Ismail berkata, penjualan album Srikandi Cintaku terus meningkat semenjak bulan lalu.

''Selepas lagu Andalusia memenangi Juara Lagu '99 penjualan album Serikandi Cintaku semakin baik. Kami percaya pasaran album ini terus meningkat setelah dijual hampir 30,000 unit seja dipasarkan,'' jelasnya.

Album Serikandi Cintaku memuatkan lagu-lagu terbaik ciptaan M. Nasir dan dinyanyikan semula oleh penyanyi ini dengan menampilkan gubahan muzik yang baru.

Antaranya ialah Nur Nilam Sari, Suatu Masa, Kau Ratnaku dan Kerana.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan