Halaman

Jumaat, Mei 29, 1998

Lagu M. Nasir ke pasaran luar negara

petikan Utusan Malaysia 29 Mei 1998

Ada beberapa penyanyi yang cuba menembusi pasaran luar negara menerusi lagu-lagu berbahasa Inggeris dan berentak moden. Malah banyak yang percaya bahasa Inggeris menjadi jambatan sekalipun sekian banyak penyanyi yang gagal mencapainya.

Tidak banyak penyanyi yang mempunyai keberanian luar biasa untuk membawa lagu-lagu bahasa Melayu dan rentak etnik ke luar negara. Mereka kebanyakkannya tidak yakin bahasa Melayu boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Tetapi M. Nasir percaya dan yakin lagu-lagu etnik boleh menembusi pasaran antarabangsa sekaligus memperkenalkan lagu-lagu yang mempunyai nilai kemelayuan ke pentas antarabangsa.

Dia melihat pasaran lagu-agu etnik Melayu mempunyai masa depan yang cerah di pasaran antarabangsa khususnya di Eropah dan Amerika.

Berdasarkan kepercayaan itu, penyanyi yang terkenal dengan konsep etnik itu sedang giat dalam pembikinan album berbentuk single yang berkonsep sedemikian.

M. Nasir bukan sahaja menggunakan sentuhannya malah turut mengundang pemuzik luar negara, iaitu Brad Parker untuk mencari kesesuaian.

Empat buah lagu yang dirakam untuk tujuan pengenalan kepada lagu-lagunya bagi pasaran luar ialah, Walid, Dalam, Senandung Melayuku dan sebuah lagu Inggeris berjudul I have A name.

''Tidak mustahil lagu-lagu saya diterima kerana muzik latin dari Sepanyol turut menjadi kegilaan peminat muzik di seluruh dunia,'' kata M. Nasir.

Dia juga tidak melihat bahasa sebagai satu halangan untuk lagu-lagu Melayu diketengahkan secara lebih meluas kerana muzik bersifat sejagat dan semua orang boleh menghayatinya.

Brad yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang muzik itu tampil bekerjasama dengan M.Nasir kerana yakin muzik yang dibawakan oleh penyanyi itu adalah sesuatu yang unik.

Sebagai mencerminkan lagu-lagu Melayu, lagu-lagu yang dimuatkan menampilkan muzik daripada alat tradisional gendang, rebana, gambus dengan sedikit sentuhan muzik moden.

Sementara itu album kompilasi lagu-lagu terbaik M.Nasir yang memuatkan dua lagu terbaru iaitu Kias Fansurti dan Andalusia kini mendapat sambutan.

Album tersebut telah mencecah jualan melebihi 20,000 unit dalam masa hampir sebulan dipasarkan. Itu adalah petanda baik dalam kemelesetan ekonomi yang dialami sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan