Halaman

Rabu, Januari 28, 1998

Gagak Kayangan belum ada heroin

petikan Utusan Malaysia 28 Januari 1998

KEGAWATAN ekonomi tidak dijadikan alasan oleh pengarah M. Nasir untuk menangguhkan pembikinan filem terbarunya berjudul Gagak Kayangan dan dia sebaliknya akan memulakan penggambaran sekitar April depan.

Namun, sebagai seorang pengusaha filem, dia turut mengambil kira faktor tersebut dan melakukan mengikut kemampuan diri apatah lagi filem itu diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.

''Kalau mahu tunggu ekonomi pulih kita tidak tahu bila masanya, jadi saya akan tetap meneruskannya,'' kata M.Nasir mengenai filem yang bakal menampilkan Azhar Sulaiman, Norman Hakim dan Hattan itu.

Dia juga pada awalnya bercadang mengundang Awie sebagai salah seorang pelakon utama, namun kerana penyanyi yang membintangi filem Merah arahannya itu mempunyai komitmen lain, dia terpaksa membatalkannya.

Apabila ditanya mengenai pelakon wanita yang akan menyerikan filem itu M.Nasir berkata dia belum lagi bertemu dengan pelakon yang sesuai untuk membawakan watak utama. Ujibakat yang diadakan juga mengecewakannya.

''Apabila filem ini bakal dimulakan penggambaran, barulah saya boleh pastikan siapakah yang akan dipilih sebagai pelakon wanita utama,'' kata M.Nasir semasa ditemui baru-baru ini.

Apabila ditanya pendapatnya mengenai terdapatnya filem Melayu yang sukar mendapat tempat di kalangan penonton, M. Nasir berkata, ia adalah kerana terdapat sesuatu yang tidak sesuai pada filem itu.

''Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada filem itu membuatkan peminat tidak menerimanya.

''Banyak filem yang bagus, tetapi filem yang bagus juga mungkin terdapat sesuatu yang tidak kena dan ia tidak mendapat tempat di pawagam,'' ujar M.Nasir lagi.

Untuk itu, katanya, dia juga turut membuat penilaian daripada filem-filem lain agar apa yang akan dihasilkannya bakal mendapat tempat.

''Untuk menghasilkan filem yang kena dengan selera semua orang, saya harus menilai sama ada cerita itu bersesuaian atau sebaliknya dan saya tidak mahu membohongi diri saya sendiri,'' katanya.

Penilaian tersebut penting kerana terdapat banyak golongan dalam masyarakat yang mempunyai cara tersendiri untuk menilai sesebuah filem,'' katanya.

Menjadi tugas yang sukar bagi setiap penerbit untuk memenuhi kehendak semua pihak kerana terdapat sesetengah elemen yang tidak boleh berjalan serentak, katanya lagi.

Malah, kadang-kadang untuk menekankan sesuatu aspek membuatkan aspek lain terpaksa dikorbankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan