Halaman

Sabtu, April 12, 1986

“Kembara” Tonjol Budaya Kuning?

Petikan Berita Harian 12 April 1986
Oleh Raja Yusoff Ariffin

RANCANGAN Pentas Filem di rangkaian Nasional Radio Malaysia awal minggu lalu mengulas bahawa filem Kembara- Seniman Jalanan menerapkan unsur-unsur budaya kuning.

Jika difikirkan sepintas lalu diakui filem berkenaan seolah olah menerapkan unsur itu berdasarkan pakaian para pelakonnya dan bahasa kata bual yang digunakan.

Tetapi. Jika dihalusi serta dilihat dari satu segi lain yang lebih mendalam dan rasional filem arahan Nasir Jani ini mengandungi pelbagai bentuk sindiran kritikan dan pendedahan bahawa sebenarnya memang  terdapat unsur-unsur budaya kuning dalam masyarakat muda-mudi (juga masyarakat lain) di Malaysia hari ini .

Disebabkan penuh dengan kritikan yang dipaparkan menerusi adegan dan kata bual,  maka filem ini menyelitkan dua jenis kritikan iaitu kritikan ketara dan kritikan tidak ketara.

Apa yang disebutkan terdapat unsur budaya kuning dalam masyarakat muda mudi termasuk dalam apa  termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai kritikan tidak ketara. Gejala yang dipaparkan dalam KSJ memang wujud benar benar berlaku. Tetapi untuk terus menuduh filem ini berunsur budaya kuning secara melulu adalah tidak wajar.

Terlebih dahulu kita harus memikirkan pakaian bagaimanakah yang sepatutnya dan bercorak Malaysia untuk digunakan dalam berlatarbelakang zaman moden sedangkan kita tidak mempunyai pakaian kebangsaan yang dengan sesuai dengan zaman moden ini.

Andainya pelakon pelakon KSJ memakai kemeja dan seluar (contoh pakaian) yang kemas sekalipun itu  belum mencukupi serta bersesuaian. Belum lagi menunjukkan itulah corak pakaian kebangsaan kita. Sebaliknya pakaian sedemikian sendiri diwariskan secara tidak langsung oleh penjajah Barat ( budaya kuning berkaitan dengan Barat) kemudian kita jadikan pakaian kita turun-temurun.

Sikap rasional

Tentu pula tidak sesuai sama sekali jika digunakan pakaian Melayu serta bersongkok dan kain samping atau berkain sarong. Pakaian sebegini lebih sesuai untuk filem filem purba.

KSJ  memaparkan kisah hidup seorang penyanyi jalanan (Bujang) dan penyelok saku (Osman) sebagai watak watak utama. Pakaian selekeh dan ‘rugged’ sedikit tentunya lebih sesuai. Jika kita lihat filem filem melayu sebelum ini ada juga menonjolkan watak watak yang memakai kot dan bertali leher. Memanglah nampak kemas tetapi harus disedari ini juga unsur budaya kuning.(ada juga berpakaian menjolok mata). Tetapi tidak dipertikaikan. Janganlah disebabkan nampak kemas walaupun itu pakaian barat, ia tidak dikatakan unsur budaya kuning.

Kita haruslah bersikap rasional. Jangan melihat dari satu segi yang ketara sahaja.- yang ketara itu dianggap buruk, maka keseluruhannya dianggap buruk belaka.

Filem KSJ sebenarnya cuba mengikis anggapan buruk masyarakat terhadap muda mudi yang berpakaian selekeh dan rugged. Masyarakat biasanya menganggap golongan berkenaan tidak berakhlak, tidak bermaruah dan sebagainya. Melalui KSJ masyarakat cuba disedarkan bahawa ada antara mereka (muda mudi) yang berfikiran baik, berakhlak tinggi, Intelek bersemangat untuk berjuang agar terus hidup, berpendirian teguh dan sebagainya. Kita tidak boleh menilai seseorang berdasarkan rupa paras semata mata.

Teliti watak  Bujang (M.Nasir) dan Osman (Pyanhabib) Memang pakaian dan rambut mereka tidak senonoh (dikatakan berumur budaya kuning tetapi sebaliknya mereka mempunyai pendirian dan keperibadian sendiri.

Bujang adalah seorang  pemuda berjiwa seni yang berfikiran intelek, sering memikirkan nasib bangsanya,  tidak suka berfoya-foya hidup mewah, tidak suka hidup berpura-pura, mempertahankan miliknya (menentang lanun-lanun cetak rompak) dan meminati lagu rakyat bertemakan perjuangan, kemasyarakatan dan sebagainya)

Golongan muda-mudi 

Osman pula seorang pemuda yang juga berjiwa seni dan bersemangat kuat dalam berjuang untuk terus  hidup meskipun caranya ke arah itu wajar tidak dicontohi.

Menyentuh soal kata bual yang digunakan pula, ia juga adalah sindiran, kritikan dan pendedahan terhadap beberapa golongan.

Apa yang dimaksudkan ialah pendedahan terhadap gejala yang memang wujud bahawa golongan muda-mudi tidak tahu atau tidak mahu menggunakan bahasa standard ketika berbual. Mereka menggunakan bahasa yang boleh disebut sebagai bahan rojak dengan istilah -istilah yang difahami, ringkas dan pendek. Istilah-istilah  seperti pun gua,  lu, Brader, lepak dan lain lain sebagaimana terdapat dalam KSJ sering digunakan di kalangan mereka.

Mereka menggunakan bahasa itu kerana menganggap Bahasa Malaysia standard standard agak sukar difahami memeningkan kepala dan melambatkan.

Bukan golongan muda-mudi, tetapi golongan dewasa dan di kalangan pemimpin sendiri juga sering menggunakan bahan yang bercampur aduk ketika berbual. Semasa berucap misalnya, ada pemimpin yang menyelit istilah-istilah Inggeris dalam teks ucapan mereka.

Mungkin ramai yang tidak mahu menyedari ini juga unsur budaya kuning. Jadi siapakah sebenarnya yang patut dipersalahkan?

Satu hal yang menarik dalam hubungan ini ialah secara tidak langsung ia adalah cabaran dan dorongan kepada pihak berkenaan supaya  berusaha menyediakan kata bual kata bual untuk filem dalam Bahasa Malaysia yang seratus peratus standard tetapi tetapi ringkas dan mudah difahami.

Kita sebagai penonton filem tentu tidak mahu kata bual yang dikatakan standard  tetapi panjang dan meleret leret dengan istilah bombastik yang sukar difahami. Ia juga adalah cabaran dan dorongan pihak berkenaan dapat merangka dan corak pakaian yang sesuai untuk filem berlatarbelakangkan moden. Sesuai dalam erti kata keMalaysiaan.

Kesimpulannya, filem KSJ tidak boleh terus dianggap sebagai filem yang tidak bercorak Malaysia dan berunsur budaya kuning. Harus disedari ia memaparkan (selain soal cetak rompak)  kehidupan sebenar masyarakat di Malaysia yang wujud hari ini. Masyarakat Malaysia hari ini hampir keseluruhannya masih tidak bercorak atau berperibadi Malaysia, baik dari segi pemikiran mahu pun pakaian, tutur kata dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan