ANALITIC

Jumaat, Januari 12, 2024

M. Nasir ‘menggila’ gamatkan anak muda

petikan KOSMO 12 Januari 2024

Oleh NUR EMIRA SAIZALI

TAMASYA Anak Muda, acara anjuran Luncai Emas yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya menghimpunkan barisan artis popular, termasuklah Datuk M. Nasir, Amir Jahari, Pitahati, Margasatwa, Iqbal M. dan Fazleena & The Lasykar.

MERIAH dalam acuan sendiri. Tamasya Anak Muda (TAM) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Januari lalu.

Acara yang diadakan di JioSpace, Petaling Jaya tersebut menghimpunkan barisan artis popular, termasuklah Datuk M. Nasir, Amir Jahari, Pitahati, Margasatwa, Iqbal M. dan Fazleena & The Lasykar.

Meskipun tidak segempak konsert-konsert arus perdana lain, TAM tetap dilihat berjaya menghimpunkan kelompok anak muda yang rata-rata penyokong dan pencinta muzik Nusantara.

Boleh dikatakan, acara anjuran Luncai Emas Sdn. Bhd. tersebut ibarat lokasi ‘healing’ selain antara konsert pembuka bagi tahun 2024.

Selain konsert pada hari kedua, hari pertama dimeriahkan dengan pelbagai acara dan program diadakan, antaranya melibatkan Tamasya Sunburst Marketplace yang menampilkan jenama terkemuka, kedai unik serta instalasi seni yang menarik serta muzik ‘busking’ untuk dinikmati pengunjung.

BAND yang berpaksikan irama 1970-an, Margasatwa tidak ketinggalan menjadi daya tarikan Tamasya Anak Muda anjuran Luncai Emas baru-baru ini. – AFIQ RAZALI

Hari kedua konsert dibuka dengan persembahan Fazleena & The Lasykar yang terkenal dengan karya-karya puitis membuai emosi.

Menerusi persembahannya, Fazleena mendendangkan lima buah lagu antaranya Sederhana, Bertahan dan Kota Kenangan.

Tidak menunggu lama, penyanyi meningkat naik, Arish Mikhael pula memeriahkan pentas dengan lagu Mulanya Di Sini, Antara Puisi dan Nukilanmu.

Ariel berjaya memukau ramai dengan kehebatan vokal yang sebelum ini kerap disamakan dengan penyanyi legenda, Allahyarhaam Sudirman Arshad.

Mengambil alih pentas, Satwo dan Leaism menghiburkan penonton menerusi nyanyian bertenaga selain sebagai persembahan terakhir bagi sesi pertama tersebut.

Memasuki babak kedua, kumpulan Margasatwa menghangatkan pentas dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu pop Nusantara yang diperjuangkan.

Menyampaikan tujuh buah lagu seperti Yang Asli, Ego dan Asmara Botol Kaca, termasuk single baharu, Kasa Rubia, ternyata kemunculan Margasatwa antara persembahan yang paling dinanti-nanti ramai pada hari tersebut.

Kehangatan konsert diteruskan Amir Jahari yang berjaya memukau emosi ramai dengan lagu-lagu berhantunya iaitu Ingin Pulang, Tanpamu dan Penghibur Jalanan.

Persembahan Amir juga dilengkapkan dengan runut bunyi filem Imaginur berjudul Hasrat yang bakal berentap pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 pada Mac depan.

Amir berjaya menutup segmen kedua dengan cemerlang sebelum diteruskan oleh kumpulan Pitahati dan Iqbal M dalam segmen ketiga.]

PADA usia 66 tahun, aura M. Nasir sebagai penghibur tidak pernah padam bahkan mampu menguasai kepala anak-anak muda zaman sekarang.

M. Nasir ‘menggila’

Persembahan paling dinanti-nanti ramai, kemunculan M.Nasir pada malam tersebut membuatkan seramai 1,500 penonton pulang dengan senyuman puas di wajah masing-masing.

Pada usia emas 66 tahun, M. Nasir masih berjaya memberi persembahan bertenaga selama satu jam tanpa henti menerusi rangkaian 10 buah lagu popularnya.

“Terima kasih kerana datang, marilah anak muda bersatu melawan kesesatan,” laungnya sebelum persembahan.

Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana antara lagu yang didendangkan pada minit awal persembahan sebelum para penonton ‘naik minyak’ berjoget sepanjang Raikan Cinta dinyanyikan.

Meriahnya seperti berada dalam sebuah pesta tarian!

Sifu muzik penuh aura itu juga tidak ketinggalan menyampaikan hits sepanjang zamannya, Apokalips, Phoenix Bangkit, Falsafah Cinta dan Juwita sebelum mengakhiri persembahan dengan Mentera Semerah Padi serta Ada.

Membuat kejutan, M. Nasir turut menyampaikan rangkaian lagu medley ciptaannya yang dipopularkan kumpulan Search dan Wings iaitu Gadisku, Hukum Karma dan Pawana dengan penuh bertenaga.

Pada malam tersebut, M. Nasir diiringi barisan pemuzik terdiri daripada Aznan Alias (gitar), Norman (bass), Ujang (dram), Firdaus (Keyboard) dan Pa’ang (perkusi).

Acara turut dijayakan Sunburst Store, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), SIAR dan Fung Keong serta disokong Yayasan Hasanah dan Arts FAS.

AMIR JAHARI melunakkan halwa telinga peminat dengan lagu-lagu hitsnya.

Rabu, Januari 03, 2024

Pemain keyboard Kembara meninggal dunia

petikan Sinar Harian 3 Januari 2024

PEMAIN keyboard kumpulan Kembara, Md Shah Othman meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru tengah hari tadi.

Menurut menantunya, Nazrul Tahir, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan kanser kelenjar selepas disahkan menghidapnya sejak setahun yang lalu.

Md Shah, 73, merupakan tulang belakang yang bersama Kembara sejak kumpulan itu merakamkan album pertama.

Pada 1994, Md Shah secara rasmi diperkenalkan sebagai anggota Kembara selepas kumpulan itu tampil dengan lima anggota dan menerbitkan album 1404 Hijrah.

Kali terakhir Allahyarham beraksi bersama Kembara ketika konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah di Dewan Plenarry, Kuala Lumpur Convention Centre pada 2022.

Selain bersama Kembara, Allahyarham juga merupakan pemain kibod kumpulan Ilusi yang popular dengan lagu, Segalanya Ku Terima. - Awani

Ahad, Disember 31, 2023

M Nasir okay tak masuk AJL

 petikan Harian Metro 31 Disember 2023

Ramlah Zainal 

Kuala Lumpur: Komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, menerima dengan hati yang terbuka apabila lagu ciptaannya, Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana gagal mara ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

M Nasir berkata, pihaknya juga akur dengan keputusan juri membabitkan pemilihan lagu yang mara ke acara berprestij itu.

"Kita kena terimalah apa yang juri rasa dan fikir masa proses penjurian itu. Ada lagu lain yang dicalonkan kali ini mungkin lebih bagus dari lagu (Menyantun Kasih) itu," katanya.

Mengenai pemilihan 12 lagu yang mara pula, kata M Nasir, pada pandangannya semua lagu yang berjaya mara ke AJL38 juga okay.

"Ia bergantung pada 'mood' dan 'rasa' keadaan sekarang," katanya.

Sementara itu, ditanya lagu untuk Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) pula, kata M Nasir, selaku Duta Kemanusiaan atau 'Goodwill Ambassador', dia juga ada perancangan untuk menghasilkan lagu khusus untuk persatuan itu.

"Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mendekatkan lagi Mercy Malaysia dengan masyarakat," katanya.

Kali terakhir M Nasir tampil mempertandingkan karyanya di AJL adalah menerusi lagu Awan Nano nyanyian Hafiz Suip yang turut diangkat sebagai Juara Lagu ke-26 pada 2011.

Jumaat, Disember 29, 2023

Keperibadian M Nasir layak jadi Duta MERCY Malaysia

petikan Berita Harian 29 Disember 2023

Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my

M Nasir terbuka hati terima pelawaan MERCY Malaysia atas dasar keprihatinan terhadap situasi menimpa dunia, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan. - NSTP/Sadiq Sani

KUALA LUMPUR: Selepas 24 tahun ditubuhkan, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) buat kali pertama memilih individu di kalangan selebriti iaitu Datuk M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atau 'Goodwill Ambassador'.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, pelantikan M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atas usaha mempromosikan nilai dan amalan kemanusian secara lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat.

"Kami berbesar hati M Nasir yang juga tokoh seni menjadi duta MERCY Malaysia. Usaha dan penelitian melantik M Nasir mengambil masa selama setahun sebelum melamarnya.

"Selain itu, lantikan ini dibuat secara berhati-hati. Kami sedar sekiranya tersalah pilih duta, apa sahaja kontroversi yang bakal timbul mungkin memberi impak buruk kepada kami," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MERCY Malaysia dan M Nasir di Dataran Muzium Negara, di sini, semalam.

Mengulas pemilihan M Nasir sebagai duta selama tiga tahun, Ahmad Faizal berkata, perwatakan dan keperibadian dimiliki komposer dan penyanyi legenda itu memiliki tarikan kuat.

"Selain tarikan, M Nasir juga 'superstar' dalam bidang muzik dan wajahnya turut dikenali dalam bidang perfileman. Itu antara faktor M Nasir seorang yang boleh didekati dan rendah hati untuk menjadi duta.

"Antara lain, sikap M Nasir yang sangat rapat dengan masyarakat bukan hanya golongan elit, malah orang biasa juga. Tarikannya melangkaui batasan sosial daripada pelabagai lapisan masyarakat.

"Jadi, kami kira tarikan M Nasir begitu luas dan kuat," katanya kepada BH Online.

M Nasir (dua dari kiri) dan Ahmad Faizal (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MERCY Malaysia dan M Nasir di Dataran Muzium Negara, semalam. - NSTP/Sadiq Sani

Sementara itu, M Nasir berkata, dia terbuka hati menerima pelawaan MERCY Malaysia atas dasar keprihatinan terhadap situasi menimpa dunia ketika ini, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan.

"Selepas melihat keluarga saya dan merenung apa yang berlaku kepada dunia, ia membuka hati. Banyak perkara yang buat saya terbuka terutama apabila melihat keluarga.

"MERCY Malaysia sememangnya sudah berkembang, saya menjadi duta ketika persatuan ini sudah berada pada tahap yang baik.

"Tanpa saya, mereka juga boleh jalan sendiri. Tapi, saya sedang berbincang dengan MERCY Malaysia untuk mendapatkan banyak perkara yang boleh diberikan kepada masyarakat melalui persatuan ini.

"Mungkin saya boleh bantu daripada sudut itu. Kalau dari segi wang ringgit, mungkin saya tidak boleh bagi, tapi boleh cari duit bersama," katanya.

Kerjasama strategik MERCY Malaysia dan M Nasir antara lain untuk memberi dorongan kepada sektor kemanusian di Malaysia dan rantau ini khususnya melalui usaha dengan cara pengukuhan falsafah dan advokasi kemanusian melalui seni, budaya dan muzik.

Ini termasuk menjadikan seni dan muzik sebagai platform komunikasi massa serta strategik bagi penyebaran nilai, prinsip dan maklumat kemanusiaan.

'Kita semua perlu bekerja, takkan nak berkabung saja di rumah?' - M Nasir

petikan Harian Metro 29 Disember 2023

Ramlah Zainal  am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Boleh buat konsert tapi jangan berlebihan. Anda hendak semua orang berkabung di rumah? Semua orang perlu bekerja dan bukan artis saja," kata komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, ketika diminta mengulas dakwaan netizen mengatakan golongan artis tidak sensitif dengan menganjurkan konsert ketika rakyat Palestin berdepan serangan Israel ketika ini.

M Nasir berkata, sebagai penghibur, mereka hanya melakukan kerja untuk menghiburkan orang ramai yang juga mahukan bahan hiburan.

"Selain menghiburkan orang, mereka juga perlu sedar dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.

"Boleh buat konsert kerana orang tetap mahukan hiburan tapi buatlah pada tahap yang sederhana," katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan Konsert Sifu dan Aku bersama Datuk Hattan, M Nasir berkata, setakat ini, persiapan berjalan lancar seperti direncanakan.

Konsert Sifu dan Aku bakal menggegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari depan.

"Dari segi jualan tiket, saya tidak tahu perkembangan setakat ini. Saya pun nak kena tanya (penganjur). Tapi bila orang yakin nak buat, saya juga yakin semuanya berjalan lancar. Insya-Allah akan dapat sambutan ," katanya.

Ditanya pandangan ada konsert artis yang terpaksa ditunda kerana jualan tiket kurang memberangsangkan, M Nasir berkata, dalam dunia perniagaan ini, bukan semua konsert yang dirancang akan berjaya.

"Ada masanya konsert yang dirancang tak jadi, itu nasiblah. Memang kita dengar artis rancak buat konsert ketika ini tapi bukan semuanya menjadi," katanya.


Rabu, Disember 27, 2023

M Nasir harap karya jadi inspirasi anak muda

petikan Berita Harian 27 Disember 2023

Oleh Khairil Khusyairi

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer legenda, Datuk M Nasir meluahkan rasa teruja apabila bakal beraksi di festival Tamasya Anak Muda pada 5 dan 6 Januri depan.

Menurut M Nasir, peluang untuk berada bersama bakat-bakat baharu di satu pentas adalah momen yang berharga seiring dengan kepelbagaian muzik yang harus dinikmati setiap lapisan.

"Bukan selalu aku beraksi bersama anak-anak muda di dalam suatu acara.

"Tapi aku percaya bahawa keindahan muzik itu tidak mengira umur dan harus dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat dan rakyat jelata," tulisnya.

Dalam pada itu, pencipta lagu popular Tiara ini juga berharap karya-karyanya menjadi contoh buat anak muda kini.

"Semoga karya-karya yang aku hasilkan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda masa kini dan masa hadapan.

"Kali ini aku cuba memberikan persembahan yang bertenaga seperti anak-anak muda ini! Mana suara para Sahabat M.Nasir?," tulisnya di platform X.


Festival Tamasya Anak Muda yang bakal berlangsung di Jiospace, Petaling Jaya itu akan menyatukan pelbagai bakat-bakat tempatan dalam satu platform.

Di atas pentas, pengunjung akan disajikan dengan persembahan langsung daripada artis-artis dan kumpulan ternama seperti Leaism, Amir Jahari, Arish Mikael, Pitahati, Margasatwa, Satwo, Iqbal M., Fazleena & The Lasykar, dan Jemput Dengar (DJ).

Tamasya Anak Muda dianjurkan oleh Luncai Emas ini merupakan pintu kepada revolusi budaya yang diilhamkan oleh seni dan muzik. Ia meraikan kepelbagaian dan perpaduan antara tradisi dan kekinian dalam satu platform untuk menggerakkan minda generasi muda. - XTRA

TIKET : https://www.jiotix.asia/events/tamasya-anak-muda-pesta-jiwa-rakyat




Selasa, Disember 19, 2023

Rebut gelaran penyanyi nombor satu negara? Bagi saya itu bukan berita – M. Nasir

 petikan Utusan Malaysia 19 Disember 2023

KUALA LUMPUR: “Bagi kamu, itu satu beritakah? Pada saya, bukan.”

Demikian reaksi awal komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M. Nasir apabila ditanya perbalahan maya yang berlaku antara beberapa kelab peminat yang berebut gelaran penyanyi nombor satu negara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, M. Nasir berkata, setiap penyanyi mempunyai peminat dan kemuncak karier masing-masing sehinggalah satu masa nanti, takhta itu akan diambil alih atau mungkin kekal dimiliki oleh artis tersebut.

“Industri seni ini ada piramidnya. Kalau ada lima tingkat, maksudnya penyanyi nombor satu negara akan berada paling atas. Setiap orang ada zaman kemuncaknya dan satu hari nanti mungkin diambil alih.

“Tetapi ada yang masih dan kekal sebagai penyanyi sohor negara. Peminat yang menentukan sama ada dia layak atau tidak berada di kedudukan tersebut. Ada sensasi, ada cerita dan ada kejatuhannya.

“Saya sendiri tidak tahu hendak komen bagaimana. Sama ada penyanyi, pelakon atau pengacara, semua ada kemuncak karier mereka,” ujarnya.

Komposer Tanya Sama Itu Hud Hud dan Raikan Cinta it berkata demikian selepas sidang media Konsert Sifu & Aku yang turut menampilkan anak muridnya, Datuk Hattan baru-baru ini.

Konsert Sifu Dan Aku itu dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group. Sementara radio rasmi adalah Era Sabah.

Dalam pada itu, Borneo Excursions adalah agensi pelancongan rasmi untuk Konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.

Tiket konsert boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas).

Ditanya berhubung ‘keengganan’ biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak mahu menerima gelaran tersebut, M. Nasir menjawab;

“Ini bukan soal mahu atau tidak, bila kita melangkah ke dalam industri seni, kita sudah dimiliki peminat ibaratnya.

“Jadi, hendak atau tidak, itu peminat yang beri,” ujarnya.

Tak Pernah Rasa Susah Punca Lirik Sekarang Tiada ‘Jiwa’? M. Nasir – “Ini Salah Generasi Di Zaman Saya.”

 petikan Media Hiburan 19 Disember 2023

Aizam Manaf 

Penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir berpandangan antara faktor mengapa lagu-lagu masa kini kurang penjiwaan daripada aspek lirik adalah disebabkan perubahan zaman.

Menurut M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed, pemikiran mereka yang lahir di era moden ini tidak sama dengan mereka yang pernah melalui getir hidup ketika negara sedang membangun.

“Orang sekarang sudah tak fikir lagi perkara-perkara yang puitis. Cuba tanya budak-budak belasan tahun, apa yang mereka fikirkan sekarang?

“Kadang-kala tiada apa yang mereka fikirkan. Minda mereka kosong. Ini semua salah generasi saya yang kini sudah bergelar ibu bapa.

“Kita dilahirkan ketika negara sedang di dalam fasa membangun dan kebanyakkan daripada kita adalah golongan miskin.

“Kemudian, bila kehidupan kita sudah menjadi, anak-anak ini tidak melalui fasa kemiskinan. Mungkin masih ada lagi yang miskin tapi kesusahannya berbeza berbanding zaman dahulu,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Keroncong Untuk Ana itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert ‘Sifu & Aku’ baru-baru ini.

Katanya lagi, golongan muda masa kini kurang pendedahan tentang kepayahan hidup kerana segala kemudahan telah pun disediakan oleh ibu bapa.

“Jiwa mereka tidak diisi dengan keperihan, kesusahan dan penderitaan masa lalu. Ibu bapa zaman dahulu tak mahu anak mereka ketika ini berasa susah. Mereka tak ajar erti kesusahan dan terlalu menjaga anak-anak.

“Sebagai contoh, mereka tak bagi anak bermain di tepi longkang atau tempat-tempat berbahaya. Silap-silap, ayam pun mereka tak pernah jumpa. Tahu makan sahaja.

“Pada saya, pembelajaran tentang kehidupan itu tidak ada. Mereka tidak merasai pengalaman itu,” ulasnya.


Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan jolokan sifu ini turut berpandangan segelintir anak muda masa kini kurang minat untuk mendalami ilmu sastera.

“Konsentrasi kita hanya terletak kepada pembangunan materi. Kalau kita tanya kepada golongan muda ini, adakah mereka berminat dengan sastra?

“Kalau boleh tak nak pandang pun pendidikan sastera itu. Mereka tak faham mengapa perlunya pendidikan sastera dan penguasaan bahasa ini.

“Jadi, kita tak dapat nak hasilkan artis-artis yang mampu mencipta lirik-lirik yang puitis. Maksudnya, ini semua salah mereka di zaman saya.

“Kita tak nak anak kita lalui apa yang kita lalui. Kita minta mereka belajar tinggi-tinggi. Pendedahan mereka juga kita kawal. Jadi, mereka tidak boleh berkarya. Tiada apa yang mereka nak perjuangkan,” akhirinya.

Jumaat, Disember 15, 2023

SFMM 38 : M Nasir percaya peluang sama rata semua calon

petikan Berita Harian 15 Disember 2023

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR : Kembali bersaing pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 selepas 12 tahun tidak mempertaruhkan karya di pentas pencarian lagu terbaik itu, Datuk M Nasir, 66, percaya semua pengkarya bertanding memiliki peluang sama rata.

Menyangkal dakwaan mampu menepis pesaing dengan mudah atas reputasi dibina, M Nasir yang bolos dengan lagu ciptaan Menyantun Kasih dendangan Siti Nordiana dan lirik dihasilkan Keon, terkejut tatkala dikhabarkan menjadi antara calon SFMM 38.

"Saya ingat tidak perlu bertanding lagi, tetapi lagu itu (Menyantun Kasih) untuk Siti Nordiana," katanya ditemui pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 di ibu negara, baru-baru ini.

Saingan SFMM 38 yang dibawakan khas penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile, bermula hari ini hingga lusa, mempertaruhkan 30 lagu.

Ditanya apakah calon lain perlu gentar berdepan dengannya yang dianggap 'gergasi' industri muzik tempatan, M Nasir berkata, semua calon SFMM 38 tidak perlu takut.

"Semua orang ada peluang menang. Sekarang banyak karya dan komposer yang bagus-bagus," katanya.

M Nasir berkata, sejak tidak bersaing di pentas SFMM, beliau banyak mencipta lagu baharu, namun belum bersedia memberikan ciptaannya itu kepada penyanyi lain.

"Ramai penyanyi minta lagu saya seperti Naqiu, Hazama dan beberapa orang lain. Saya sedang usahakan dan sebenarnya, saya tidak berhenti menulis.

"Mereka yang minta lagu semuanya bagus-bagus. Cuma saya belum sedia 'lepaskan' lagu-lagu dihasilkan," katanya.

Menafikan dirinya selektif dalam menyerahkan lagu ciptaan kepada penyanyi lain, M Nasir sentiasa mengharapkan yang terbaik.

"Saya bukanlah selektif. Saya mahu penyanyi yang mendendangkan lagu saya berjaya. Saya mahu orang suka apabila mereka dengar lagu ciptaan saya.

"Berdasarkan pengalaman, saya tahu lagu macam mana orang suka. Tetapi, apa yang saya jangka tidak semestinya betul. Ada kalanya telahan saya silap.

"Kalau boleh, saya mahukan lagu dihasilkan berbeza daripada karya sebelum ini. Saya tidak mahu lagu saya dikatakan sama dan tiada perubahan," katanya.

Sepanjang kariernya, M Nasir menjulang trofi Juara Lagu sebanyak empat kali menerusi lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud pada 1994, Ghazal Untuk Rabiah (1997), Andalusia (1999) dan Awan Nano (2011).

Rabu, Disember 13, 2023

Pertama kali berkongsi satu pentas, Hattan dedah perjalananawal berguru dengan M. Nasir

petikan Mstar 13 Disember 2023 8:30 AM


M. Nasir (kiri) dan Hattan sudah lama berkolaborasi dalam perjalanan kerjaya seni.

DATUK M. Nasir merupakan salah seorang fi gura yang cukup berpengaruh dalam perjalanan kerjaya seni penyanyi DatukHattan.

Menganggap individu itu sebagai guru, Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, 59, turut meluahkan rasa teruja apabila diberipeluang sekali lagi bergandingan dalam sebuah konsert yang diberi nama

Konsert Sifu Dan Aku.

Kata Hattan, persembahan gabungan mereka berdua nanti juga bakal menceritakan perjalanan kerjaya sejak awalpembabitan dalam dunia seni sehingga kini.

"Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu memori indah untuk kerjaya seni kerana kita kongsi satu pentas bersama didalam satu konsert. Jadi, pada malam itu kami menyanyikan semua lagu hit.

"Sejak mula saya berguru dengan M. Nasir, belajar terbit lagu, menyanyi dan semua dari zaman dulu. Kiranya, konsert iniadalah klimaks pada perguruan saya bersama beliau," katanya.

Dalam konsert yang akan berlangsung pada 3 Februari tahun depan itu nanti kedua-dua mereka akan mendendangkan lagu-lagu popular selain mempunyai sejarah tersendiri.

Malah ia juga menjadi tanda persahabatan dua insan seni yang sudah sekian lama mencipta nama dan kekal bertahanhingga hari ini.

"Memang ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Rugi kalau orang tak datang kerana dalam penceritaankonsert ini saya akan kongsi bagaiamana mengenali M. Nasir sehingga saat ini.

"Saya juga pernah tampil dengan album berjudul Palestin Untuk Palestin yang diterbitkan oleh beliau," ujarnya

Sementara itu, M. Nasir pula berkata konsert gabungan mereka ini juga menjadi satu cabaran untuk membuktikan dia benar-benar telah menyerlahkan bakat dan potensi Hattan sebagai anak didiknya.

Acara ini juga merupakan pertama kali gabungan mereka berdua dalam sebuah konsert.

"Saya anggap persembahan ini satu cabaran memandangkan hubungan saya dengan Hattan sudah lama. Dia menyerlahkanbakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya.


"Selepas sekian lama bekerjasama, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasikami," jelasnya.

Konsert ini bakal berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC).

Tiket sudah mula dijual pada harga bermula RM188 untuk tempat duduk bebas dan RM988 untuk VIP.