Halaman

Jumaat, April 24, 2026

KONSERT DATO' M.NASIR CIPTA 4

Sebuah hadiah hari jadi dari sang MAESTRO sendiri buat para peminat.


Jatuh pada tanggal keLAHIRANnya,

4 Julai 2026 bakal menyaksikan eraiaan cinta dalam irama dan lagu yang dipersembahkan dalam DATO’ M.N47IR CIPTA 4. 💖


"..Jangan padamkan mentari cinta

Jangan padamkan jernih cinta kristal.."


JANGAN padamkan kemeriahan yang pernah kita bikin bersama pada rangkaian CIPTA 1, 2, 3 dan RAYA dahulu.


Masa untuk bergabung semula untuk bikin #MalamIniGuaJadik di lokasi dan masa yang sama.


Cuma tarikhnya berbeza dan pasti semangat yang semakin meluap-luap untuk sama-sama menyanyikan semua lagu-lagu popular dan HITS Dato’ M.Nasir.


Jumpa 4 Julai ini!


📍INFORMASI


Artis: DATO DR HAJI M NASIR

Acara: DATO’ M.N47IR CIPTA 4

Tarikh: 4 Julai 2026

Lokasi: UNIFI ARENA Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

PENGANJUR: ICON ENTERTAINMEN


📍Kategori Tiket: (Semua Kategori Adalah Duduk)


RM 238 (Mentera Semerah Padi)

RM 338 (Sekuntum Bunga Di Gurun Sahara)

RM 458 (Andainya Aku Pergi Dulu)

RM 488 (Mahligai Syahdu)

RM 528 (Sentuhan Kecundang)

RM 588 (Cinta Kristal)


📍PEMBELIAN TIKET: www.ticket2u.com.my/Cipta4


Tema Pakaian: BATIK INJECTION


C I P T A 4

M A L A M N I G U A J A D I K ! ! 🤟🏻


#datomnasir

#datodrhajimnasir

#hajiSIFU

cipta4

malamniguajadik 






Selasa, April 21, 2026

'Sifu' mahu terus berkarya

 petikan Berita Harian - 21 April 2026

Oleh Affan Rostam 


M Nasir melihat perjalanan 47 tahun dalam dunia seni sebagai satu takdir yang membentuk dirinya. Foto NSTP/Amirudin Sahib

IPOH: Hampir lima dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Datuk M Nasir menganggap perjalanan dilaluinya sebagai takdir yang mencorakkan jiwa dan dirinya hingga ke hari ini.

Mula melangkah sebagai anak seni sejak 1979, M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed yang kini berusia 68 tahun tidak lagi melihat bidang diceburi sebagai kerjaya semata-mata.

Sebaliknya, komposer dan penyanyi yang digelar 'Sifu' itu menyifatkan seni sebagai ruang menzahirkan kreativiti serta memahami erti kehidupan yang lebih luas melalui karya.

"Bidang ini terlalu istimewa dan saya rasa saya sudah ditakdirkan begini. Dulu saya sukar menerimanya kerana tidak tahu arah yang perlu dituju.

"Tetapi kini saya terima bahawa arah itu sudah ada. Saya masih berjalan dan bersyukur masih aktif pada usia ini," katanya pada sidang media pengumuman konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4 di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, baru-baru ini.

Mengimbas perjalanan seni yang mencecah kira-kira 3,000 diskografi, M Nasir mengakui tidak pernah merancang pencapaian tersebut.

Katanya, setiap karya terhasil secara semula jadi, berasaskan kreativiti dan keperluan mencari rezeki.

"Saya tidak pernah fikir secara serius. Pada awalnya hanya untuk mengekspresikan kreativiti dan mencari rezeki.

"Perjalanan itu dipengaruhi pengalaman hidup hingga membentuk karya yang ada hari ini. Saya percaya semuanya mengikut jalan yang ditentukan Tuhan," katanya.

M Nasir turut terbuka bekerjasama dengan bakat baharu, namun mengakui kekangan masa menjadi cabaran utama.

"Saya masih meneliti bakat yang sesuai. Ramai yang bagus dan saya masih mencipta lagu," katanya.

Beliau berkata, kolaborasi dengan penyanyi baharu atau lama tetap terbuka, namun perlu kepada kesesuaian masa.

"Kekangan masa menjadi cabaran. Mungkin belum sampai waktunya," katanya.

Menyentuh perubahan industri muzik, beliau melihat dunia digital sebagai faktor utama mengubah corak penerimaan karya.

"Segalanya bergerak pantas. Orang mengejar sensasi kerana terlalu banyak pilihan. Fokus penonton semakin terhad.

"Algoritma media sosial juga mempengaruhi apa yang dilihat pengguna," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesabaran masih penting dalam menghasilkan karya berkualiti.

"Karya yang baik memerlukan masa untuk dihayati. Tetapi kini ramai mahukan sesuatu yang segera dan tular," katanya.

Dalam pada itu, M Nasir terbuka untuk kolaborasi dengan pengkarya dari pelbagai latar.

"Dengan sesiapa pun saya terbuka. Saya suka cabaran menggabungkan kreativiti berbeza," katanya.

Terdahulu, selepas kejayaan siri Cipta, M Nasir kembali dengan DATO' M.N47IR CIPTA 4 yang dijadual berlangsung 4 Julai depan di Unifi Arena Kuala Lumpur bersempena ulang tahun kelahirannya ke-68.

Pengumuman konsert dibuat dalam tren KTMB dari Kuala Lumpur ke Ipoh, dalam acara Expres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir ke Ipoh.

Penganjur turut mengumumkan kehadiran Melly Goeslaw sebagai artis undangan.

Melly berkata beliau terbuka untuk kolaborasi dan menyifatkan M Nasir sebagai figura luar biasa dalam dunia seni.

"Beliau seorang pujangga. Liriknya penuh makna dan bersifat 'bersayap'," katanya.

Melly turut menyifatkan M Nasir sebagai idolanya selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4 bertemakan Batik Injection dijangka menampilkan 30 hingga 40 lagu termasuk segmen medley.

Jualan tiket bermula RM238 hingga RM588 akan dibuka pada 24 April ini menerusi platform Ticket2u.

Ahad, April 19, 2026

Khamis, April 16, 2026

M Nasir, Melly Goeslaw kongsi pentas di Cipta 4

 petikan Berita Harian 16 April 2026

Oleh Affan Rostam

M Nasir menjanjikan persembahan berskala mega dengan himpunan karya terbaik sepanjang kariernya. Foto NSTP/Amiruddin Sahib

IPOH: Selepas kejayaan tiga konsert di bawah jenama Cipta termasuk Cipta Raya yang mencetus fenomena luar biasa pada 2024 dan 2025, Datuk M Nasir meneruskan langkah dengan penganjuran konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4.

Masih di bawah kelolaan penganjur sama, Icon Entertainment, konsert itu dijadualkan berlangsung sempena ulang tahun kelahiran ke-68 maestro muzik tersohor berkenaan pada 4 Julai depan di Unifi Arena Kuala Lumpur.

Menariknya, pengumuman konsert dibuat menerusi sidang media khas di dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Ipoh, hari ini.

Pada acara yang dinamakan Expres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir Ke Ipoh itu, penganjur turut membuat kejutan apabila mengumumkan komposer dan penyanyi legenda Indonesia, Melly Goeslaw sebagai artis undangan.

Penyanyi yang digelar 'The Queen of Soundtracks' itu turut hadir memeriahkan sidang media dan sempat menyampaikan petikan lagu ciptaan M Nasir yang dipopularkan kumpulan Search, Fantasia Bulan Madu, selain lagu popularnya, Butterfly.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata penyatuan dua komposer hebat dari negara serumpun itu bakal menjadi pengalaman berharga buat peminat.

"Salah seorang artis jemputan ialah pencipta lagu tersohor dari Indonesia dan kita satukan bersama M Nasir di satu pentas.

"M Nasir tidak pernah digandingkan, sama ada secara 'on air' atau 'off air', bersama Melly. Inilah keistimewaan Cipta 4 yang menghimpunkan dua komposer hebat rantau ini.

"M Nasir mempunyai kira-kira 3,000 lagu, manakala Melly sekitar 700 karya. Sebagai penganjur, kami bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, sebaliknya memastikan persembahan ini mencapai standard tersendiri," katanya.

Pada masa sama, M Nasir berkata, segala perancangan termasuk konsep persembahan sudah diperhalusi bersama pihak penganjur bagi memastikan kelancaran konsert berskala mega itu.

"Segala konsep dan pengisian malam konsert sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas perbincangan, saya harap semuanya berjalan lancar.

"Kita hidup dalam masyarakat yang menghargai keaslian. Jadi saya harap karya asli seperti siri Konsert Cipta terus diterima dan menjadi kesukaan ramai," katanya.

Sementara itu, Melly meluahkan keterujaan untuk berkongsi pentas bersama M Nasir dan menyifatkan peluang itu sebagai satu penghormatan besar.

"M Nasir ialah komposer besar di Malaysia. Ini penghormatan buat saya apabila diundang sebagai penyanyi jemputan.

"Saya meminati karya beliau dan banyak lagunya turut popular di Indonesia. Selain berduet, saya berharap dapat menggubah lagu bersama beliau," katanya.

Konsert bertemakan Batik Injection itu dijangka menampilkan antara 30 hingga 40 lagu termasuk segmen medley yang menjadi identiti siri Cipta.

Jualan tiket bagi semua kategori, bermula dari RM238 hingga RM588, akan dibuka pada 24 April ini menerusi platform Ticket2u