petikan Utusan Malaysia 25 Disember 2000
Demikian kata komposer M. Nasir tentang masa depan dan pencapaian dalam industri muzik tempatan. Kini setelah hampir berakhir tahun 2000, kenyataan M. Nasir memang ada kebenarannya.
Bukan sahaja karyawan muzik malah masyarakat yang peka tentunya dapat melihat kecelaruan ini apabila menelaah industri yang kelihatan meriah dan penuh dengan warna-warni.
Hakikatnya industri muzik masih di takuk lama. Karya-karya muzik yang hebat sukar untuk dicari sekalipun banyak pertandingan dan banyak pula juaranya.
Peluang artis tempatan semakin genting apabila penjualan album luar negara (Inggeris) jauh lebih besar daripada artis tempatan.
Ini membuatkan syarikat rakaman terutamanya label antarabangsa yang banyak memberi tumpuan kepada album luar dan meminggirkan album tempatan.
Artis tempatan umpama melukut di tepi gantang, masuk tidak bertambah dan keluar tidak berkurang kerana sumber pendapatan syarikat rakaman antarabangsa terletak pada album luar negara.
Penumpuan syarikat rakaman pada tahun ini lebih kepada memasar dan mempromosikan album artis luar memandangkan ia tidak membabitkan kos pengeluaran yang mahal.
Syarikat rakaman juga memberikan lebih penumpuan kepada album-album bercorak kompilasi yang juga tidak menggunakan kos besar sepertimana album baru.Tidak hairan lebih setengah daripada album yang diterbitkan oleh syarikat rakaman di tahun 2000 adalah album kompilasi.
Antara tahun 1996 hingga tahun 2000, syarikat rakaman telah mengurangkan bilangan artis tempatan sehingga lebih 60 peratus.
Akibat kegawatan ekonomi pada tahun 1998, syarikat rakaman antarabangsa BMG Music misalnya telah mengurangkan artis mereka daripada 45 kepada 12 orang, Warner Music dari 26 orang kepada lapan orang dan Sony Music hanya tinggal kira-kira sepuluh artis.
Setelah hampir dua tahun ekonomi negara kembali pulih tidak ada sebarang pertambahan artis tempatan yang dilakukan.
Malah sebuah syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music membuat keputusan drastik dengan menutup Bahagian Melayu yang sebelum ini ditubuhkan untuk mempromosikan album artis seperti Camelia, Khaty Ibrahim dan Alleycats.
Khabarnya juga dalam masa terdekat ini sebuah lagi syarikat rakaman antarabangsa juga akan mengambil keputusan menutup bahagian promosi Melayu, walaupun mempunyai barisan artis popular dan ternama.
Tindakan syarikat rakaman seperti ini membuatkan banyak artis berbakat besar tersisih daripada industri dan peminat mereka sendiri.
Dan ia adalah sesuatu yang paling tidak adil apabila artis sering 'dikambinghitamkan' di dalam pelbagai situasi sedangkan pihak artis tidak mempunyai lain tempat untuk mengadu masalah dan tekanan yang mereka hadapi.
Persatuan artis? Apalah diharap kepada persatuan yang diibaratkan 'hidup segan mati tak mahu.' Tidak banyak sumbangan yang mampu diberikan oleh persatuan seperti Persatuan Pencipta, Penulis Lagu dan Lirik (Papita), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahupun beberapa persatuan lain.
Sementara itu perkembangan dalam bidang penciptaan lagu-lagu juga tidak banyak yang boleh dibanggakan untuk tahun ini.
Muzik kita masih berada di takuk lama dan seperti di era 80-an. Keadaan ini jauh sekali untuk mewakili zaman ini.
Tetapi ini tidak bermakna karyawan muzik dipersalahkan seratus peratus memandangkan masyarakat sendiri tidak suka kepada perubahan yang ketara.
Tambah mengelirukan karyawan apabila syarikat rakaman juga tidak mahu melakukan banyak perubahan di dalam bidang penciptaan sebaliknya memberi fokus kepada bentuk lagu-lagu yang sedia ada.
Ini menyebabkan semakin banyak komposer memilih pendekatan popular, stereotaip dan mendayu-dayu kerana lagu begini diminati ramai.
Malah tahun ini langsung tidak ada kesinambungan terhadap lagu-lagu seperti Tanya Sama Itu Hud-Hud, Rajawali, Isabella, Bonda atau Mentera Semerah Padi yang telah membawa jiwa dan semangat tempatan.