Halaman

Ahad, Mac 15, 1992

Ahad, Mac 01, 1992

M. Nasir Cipta Sejarah Hasilkan Lagu Inggeris

petikan Berita Harian Singapura, 1 Mac 1992

Komposer terkemuka, M. Nasir, telah mencipta satu lagi sejarah dalam perjuangan seninya dengan menghasilkan sebuah lagu Inggeris berjudul *Monsoon Dance*. Lagu itu dicipta, ditulis, dan dinyanyikan oleh M. Nasir sendiri. Ia dimuatkan dalam album terbaharunya, berjudul *Saudagar Mimpi*, yang akan diedarkan di Singapura tidak lama lagi. Seorang yang sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu, Nasir telah mencipta lagu berentak bosanova moden itu semasa musim tengkujuh yang lalu.

Lagu yang judulnya diilhamkan daripada musim tengkujuh itu akan dihantar ke satu seminar muzik di Australia menerusi syarikat rakaman BMG. Menurut Nasir, sebutan dalam lagu itu ada sedikit percampuran pengaruh Melayu dan Inggeris.

Mengenai lagu ini, Nasir berkata: "Saya lebih suka lagu Melayu boleh diterima di peringkat antarabangsa. Masalahnya, pendengar asing begitu prejudis mengenai bahasa. Mereka lebih mudah menerima bahasa Inggeris. Malah, kebanyakan artis Britain menggunakan bahasa gaya Amerika apabila merakamkan lagu.

"Bukanlah tujuan sebenar saya untuk menembusi pasaran itu, tetapi jika ia diterima, itu adalah satu kejayaan. Yang penting menerusi album ini ialah gagasan yang cuba saya perjuangkan," katanya.

Dalam album terbaharu ini, Nasir turut memuatkan lagu berentak masri, *Apokalips*, berdasarkan perkataan Greek yang membawa erti wahyu. "Lagu ciptaan saya dan lirik Loloq, *Keroncong Nostradamus* pula lebih berbentuk pertanyaan. Nostradamus adalah ahli nujum yang hidup pada abad ke-16, pernah membuat ramalan sehingga akhir dunia dan ada antara ramalannya menjadi kenyataan," kata Nasir.

Lagu *Di Jalan Sesat* yang berentak *southern rock* pula mengisahkan manusia yang mencari keredaan Tuhan, sementara *Hidayah* menyingkap kisah seorang pengembara yang mencari petunjuk dan jalan hidupnya. Lagu *Inang Pulau Kencana* pula mengisahkan imaginasi manusia mencari kebahagiaan, sementara *Gurindam Gunung Tahan* menyingkap semangat dan lambang kemelayuan.

Beberapa lagu lain yang dimuatkan dalam kaset itu ialah *Di Balik Cermin Mimpi*, *Gong Impian*, serta *Insan dan Manikam*.