Khamis, Disember 17, 2015

Ramli Sarip & M. Nasir Dalam Konsert Di Tujuh Universiti

petikan Mstar 17 Disember 2015
Oleh : Mohd Al Qayum Aziziqayumazizi@thestar.com.my


M. Nasir (kiri) dan Ramli Sarip akan menjelajah ke tujuh universiti. FOTO: SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Dua legenda rock iaitu Datuk Ramli Sarip dan Datuk M. Nasir bakal bergabung menjayakan 'Ramli Nasir Uni Tour 2016' di tujuh buah universiti di seluruh Malaysia bermula 13 Febuari hingga 9 April 2016.

M. Nasir berkata, konsert berkenaan bakal memperlihatkan mereka berkongsi pengalaman seni bersama mahasiswa menerusi Wacana Seni Muzik yang diadakan sebelum konsert berlangsung.

"Kita bukan sahaja ingin menghiburkan peminat tetapi ingin berkongsi pengalaman, memberi semangat dan mengajak mahasiswa menjadi kreatif dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.

M. Nasir (kiri) dan Ramli Sarip.

"Sehubungan itu kami sepakat memilih tujuh buah universiti untuk konsert jelajah ini yanh bakal berlangsung bermula Febuari depan," katanya kepada mStar Online.

Penyanyi itu ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Ramli Nasir Uni Tour 2016 akan menjelajah di tujuh buah universiti iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Alor Gajah, Melaka, Universiti Sains Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tambahnya, Wacana Seni Muzik akan berlangsung pada sebelah pagi manakala konsert di sebelah malam dan tajuk yang bakal dibincangkan akan diberi oleh pihak universiti.

"Kami mahu konsert jelajah ini nanti menjadi medan ilmu kepada mahasiswa yang hadir dan ia bukan hiburan kosong," ujarnya.

M. Nasir berkata, dia teruja dapat bergandingan dengan Ramli menerusi konsert itu kerana vokalis kumpulan Sweet Charity itu adalah idolanya.

"Saya masih ingat sebelum menjadi artis saya sering hadir menonton persembahannya di Singapura dan dapat bergandingan dengan beliau adalah satu penghormatan.

"Seingat saya kali terakhir kami berkongsi pentas mengadakan konsert di universiti pada tahun 1982 di  UKM dan konsert jelajah kali ini pasti mengimbau banyak kenangan," ujarnya.


M. Nasir (empat dari kiri) dan Ramli Sarip (lima dari kiri) bersama pemuzik yang akan mengiringi persembahan mereka.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pada konsert itu nanti mereka akan menyampaikan rangkaian lagu terbaik yang mempunyai sejarah tersendiri kepada karier seni mereka.

Jelasnya lagi, setiap persembahan akan berlangsung selama dua jam yang turut terbuka kepada orang awam.

"Dalam mengadakan persembahan kami akan menyelitkan kisah sejarah tentang lagu disampaikan dan berharap ia akan menjadi input kepada mereka.

"Kami masih belum putuskan lagu akan disampaikan tetapi seleksi terbaik untuk semua yang hadir," katanya.

Ramli menambah, konsert itu nanti turut menggunakan persembahan 'live' daripada pemuzik handalan seperti Tom Anuar (dram), Aznan Alias (Gitar), Along Exists (Gitar) dan Roza Rasul (Keyboard).

Dalam perkembangan lain, kedua-dua penyanyi itu terlebih dahulu akan menghiburkan peminat pada 1 Januari ini menerusi konsert Ramli & Nasir: Brotherhood in Music di Esplanade Singapura.

Tiket bagi menyaksikan Ramli Nasir Uni Tour 2016' akan diuruskan oleh pihak universiti dan hanya dijual pada 1 Januari ini.

2 ulasan:

deaf-angel berkata...

It would be interesting to know the full setlist of rheir show in Singapore soon.

Saudagar Mimpi ... berkata...

jom Deaf nanti buat setlist harapan.....