Rabu, September 16, 2015

Aura berbisa M Nasir

petikan Harian Metro 16 September 2015
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Mantap, menghiburkan dan terbaik. Inilah perkataan sesuai bagi membayangkan kemeriahan Konsert Kembara M Nasir 2015 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang yang dihadiri hampir 2,000 penonton, baru-baru ini.

Sambutan memberangsangkan di dua lokasi sebelum ini di Kuantan, Pahang dan Pasir Gudang, Johor membuktikan aura Datuk M Nasir, 58, masih lagi berbisa.

Pemilihan lagu menarik dan diiringi pemuzik hebat menjadikan persembahan M Nasir pada malam itu akan terus diingati terutama selepas dia lama tidak mengadakan persembahan di Pulau Pinang.

M Nasir berkata, kejayaan sesuatu persembahan adalah hasil gandingan mantap di antara penyanyi, pemuzik dan peminat.

“Kepuasan peminat adalah keutamaan kami. Terima kasih atas kehadiran semua dan inilah hadiah buat anda,” katanya.

M Nasir juga kini sibuk dengan penerbitan lagu untuk Ella dan albumnya sendiri tidak lama lagi.

“Saya mempertaruhkan lapan lagu. Ia masih lagi mengekalkan konsep moden kontemporari, nusantara dan kemelayuan,” katanya yang turut bersyukur kerana terus dihargai peminat selepas lebih 40 tahun terbabit dalam bidang seni.

Dalam konsert itu M Nasir membawakan lagu popularnya seperti Apokalips, Mustika, Rajawali Terbang Tinggi, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Hijab Kekasih, Phoenix Bangkit Dari Abu, Juwita, Bonda dan banyak lagi.

Beliau turut membawakan lagu-lagunya ketika bersama kumpulan Kembara seperti Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana dan Gerhana.

Konsert jelajah ini akan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 November ini.

Dalam pada itu, konsert berkenaan turut menampilkan Fynn Jamal dalam persembahan pembuka.

Fynn yang diiringi band diketuai pemuzik AG Coco membawakan lagu-lagunya seperti Suatu Pernah, Tahu, Sepertinya, Arjuna Beta dan Terbang Tunduk.

Fynn ketika ditemui berkata, dia amat bertuah kerana impiannya untuk berkongsi pentas dengan M Nasir menjadi kenyataan.

Selain Pulau Pinang, Fynn turut tampil dalam konsert di Pasir Gudang dan Kuantan, sebelum ini.

“Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar, namun dalam masa sama bangga kerana dapat menghiburkan peminat di sini. Pastinya ia satu kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan begitu saja terutama dapat berkongsi pentas dengan M Nasir,” katanya.