Ahad, Mac 01, 2015

Demi pembangunan pascabanjir

petikan Utusan Malaysia 1 Mac 2015


KUALA LUMPUR 22 FEBUARI 2015 - Persembahan Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Hattan pada Konsert Doa Langit dan Bumi anjuran Kumpulan AmBank di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur di sini hari ini.

PASTI ramai yang masih terkesan dengan bencana banjir yang melanda negara khsususnya negeri di pantai timur pada penghujung tahun lalu.

Dan nama-nama besar Ramli Sarip, M. Nasir, Hattan dan Awie yang mempunyai pengaruh tersendiri bergabung di satu pentas demi menjayakan satu misi - mengumpul dana bagi pembangunan pascabanjir.

Ramli sendiri sebagai pencetus idea mengatakan bahawa artis yang bekerjasama pada Konsert Doa Langit dan Bumi mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik khalayak dan dia sememangnya memanfaatkan pengaruh yang mereka miliki dalam usaha untuk merealisasikan sasaran mengumpul kutipan sebanyak RM500,000.

Malah Papa Rock itu berharap, konsert amal seperti itu tidak terhenti di situ sahaja malah mampu menjadi platform terbaik untuk membuka lebih banyak peluang penganjuran seumpamanya termasuk konsert jelajah.

Ini kerana pengumpulan dana secara berterusan adalah sesuatu yang diperlukan demi memastikan mangsa banjir yang saban tahun menghadapi bencana tersebut dapat diberi bantuan dengan segera.

“Dalam industri, kita tengok apa yang boleh kita lakukan dengan cepat dan yang bagus untuk kita pergi kepada khayalak dan mendapatkan sokongan mereka.

“Penganjuran konsert seperti ini merupakan satu platform terbaik untuk mengumpul dana dan saya juga mendapat kerjasama yang amat baik daripada para artis terlibat,” kata Ramli yang turut mengikuti rombongan bantuan Kumpulan Ambank ke Kuala Krai, Kelantan.

Dia yang melihat kesukaran hidup yang dilalui oleh mangsa banjir dan bagaimana mereka bangkit untuk meneruskan kehidupan kemudiannya mengajukan rancangan untuk menganjurkan satu konsert bagi mengutip dana kepada pengerusi bank tersebut, Tan Sri Azman Hashim yang memberi sokongan kepada ideanya itu.

Konsert Doa Langit dan Bumi dianjurkan oleh Kumpulan AmBank, Rasamusic Sdn. Bhd. dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berlangsung hujung minggu lalu.

Sementara itu, Azman melahirkan rasa gembiranya dengan sambutan yang diterima daripada khalayak apabila 2,000 penonton memenuhi Dewan Merdeka, PWTC termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Kutipan kita mencapai sasaran dan kita akan mengagih-agihkan sumbangan kepada semua mangsa banjir di seluruh negara dengan secepat mungkin,” katanya.

Penuh makna

Menyajikan sebuah persembahan yang menghiburkan, jika diamati, setiap pemilihan lagu yang didendangkan oleh artis terlibat mempunyai maksud tersendiri yang sudah pastinya mampu memberi sokongan dan semangat buat mangsa banjir dan mereka yang terlibat dengan bencana.
Ramli sebagai peneraju utama membuka tirai persembahan dengan lagu Warisan Alam, Hilang Gelap Terbitlah Terang dan Doa yang penuh bermakna.

Awie juga menggamatkan suasana dewan dengan celotehnya yang bersahaja dan dendangan lagu Romania, Sayap Ilusi dan Hukum Karma.

Kemunculan Hattan bukan sahaja menghiburkan dengan lagu Biso Bonar, Hani dan Memburu Rindu malah sempat menitipkan kata-kata semangat buat mangsa banjir terutama kanak-kanak.

Menariknya, Hattan juga sempat berduet dengan Azman menyampaikan lagu Apo Nak DiKato sebelum Pengerusi AmBank itu mempersembahkan lagu What A Wonderful World.

Tidak sahaja dibuai dengan lagu yang mengusik jiwa, M. Nasir misalnya muncul dengan lagu pembawa semangat seperti Phoenix Bangkit, Apokalips dan Mentera Semerah Padi.

Menutup tirai persembahan, Ramli memilih lagu Bukan Kerana Nama, Kau Yang Satu, Berita Gempa, Musibah, Keliru dan Batu.

Namun persembahan daripada Ramli tidak akan sempurna tanpa mendendangkan lagu Teratai Dan Kamelia malah penyanyi itu turut menjemput M. Nasir dan Hattan untuk sama-sama mendendangkan Kamelia yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Melengkapkan persembahan dengan iringan kumpulan The Soul Journey yang dianggotai pemuzik handalan seperti Man Kidal (gitar utama), Aji Samin (gitar kedua), Tom Anuar (deram), Fauzie Zain (bass), Rozario Rasul (keyboard utama), Uda (keyboard kedua/violin/akordian), Paang Zaman (perkusi utama) dan Boy Razli (flute/gambus), Dakmie menjadi artis pembuka tirai dengan lagu Yang Terindah dan Tangisan Sebatang Tamar.

Selain persembahan, layar turut menyiarkan beberapa klip kesan bencana banjir yang berlaku selain lawatan Kumpulan AmBank dan Ramli ke Kuala Krai.

Gambar tambahan